penyampaian tauliah

IPOH, 17 APRIL 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 semalam. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah diadakan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Seramai 81 orang yang telah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga lisan tahun lalu telah dijemput bagi menerima watikah tauliah pada majlis kali ini. Watikah tauliah telah ditandatangani dan disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua (YDP)  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin.

Turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan S.F. Tuan Haji Asad Bin Awang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JAIPk. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga bagi para penerima watikah.

Sebelum penyampaian watikah, S.S. Tan Sri Mufti Perak dan YDP MAIAMP telah memberikan tausiyah dan ucapan nasihat kepada semua tetamu terutamanya para penerima watikah. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan sesi fotografi diadakan bagi para penerima watikah tauliah, diikuti jamuan makan tengah hari.

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak

FaLang translation system by Faboba