peperiksaan tauliah

IPOH, 1 MEI 2017 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 telah berakhir semalam. Peperiksaan secara bertulis ini telah diadakan selama dua hari bermula hari Sabtu. Ia merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dengan Jabatan Mufti Negeri Perak sebagai urusetia peperiksaan.

Lokasi peperiksaan bagi calon baru masih dikekalkan seperti tahun lalu iaitu Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bagi calon mengulang pula, peperiksaan pada tahun ini diadakan di Bilik Kuliah Al-Ghazali, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri). Ketua Pengawas yang telah dilantik bagi peperiksaan tahun ini ialah A.F. Tuan Haji Kamaruddin Bin Adam dan A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa. 12 orang pengawas juga telah dilantik dari kalangan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak.

Sebelum bermula peperiksaan, Ketua Pengawas telah membacakan peraturan peperiksaan kepada semua calon. Sebanyak 4 peperiksaan diadakan pada hari pertama iaitu bagi subjek Hadith, Fiqh, Tauhid dan Tafsir, manakala 3 lagi peperiksaan bagi subjek Tasawuf, Sirah dan Aliran Pemikiran Semasa diadakan pada hari kedua. Seramai 230 calon baru telah hadir untuk menduduki peperiksaan ini. Subjek Tasawuf mencatatkan calon mengulang yang paling ramai iaitu seramai 71 orang.

Peperiksaan ini berakhir pada pukul 3.30 petang hari Ahad. Calon yang telah lulus peperiksaan bertulis ini akan dipanggil kemudian untuk sesi temuduga lisan bagi menentukan kelayakan mereka sebagai Guru Agama Tauliah Negeri Perak.

 

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel