• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
exec talk gerik

GERIK, 19 MEI 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya meneruskan program tahunan iaitu Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak pada tahun ini. Semalam program tersebut telah diadakan dengan jayanya. Kali ini daerah Gerik telah dipilih sebagai lokasi program. Ia telah diadakan di Dewan Serbaguna Daerah Gerik dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gerik sebagai penganjur bersama.

Kehadiran program kali ini menjangkau seramai 350 orang dengan penyertaan oleh Guru-guru Tauliah Mengajar Agama Islam, Guru Pendidikan Islam (GPI) Daerah Hulu Perak, para imam dan Jawatankuasa Masjid Daerah Hulu Perak, para penghulu serta ketua dan wakil jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Gerik. Turut hadir Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Dato’ Ar.LA Meor Roslan Bin Dato’ Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Zamakhshari Bin Hanipah serta Pegawai Tadbir Agama Daerah Gerik, S.F. Tuan Haji Supian Bin Abdul Latif.

Mufti Negeri Perak YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah memberikan tausiah dan nasihat kepada semua yang hadir, diikuti dengan ceramah oleh S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak yang bertajuk ‘Menghadapi Perselisihan Dalam Isu Agama’. Antara intipati yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah tugas dan tanggungjawab individu muslim, hakikat perselisihan, perselisihan dalam isu agama, adab di dalam perselisihan serta keperluan kepada pihak berautoriti.

Selesai ceramah, sesi soal jawab diadakan. Beberapa orang hadirin telah mengajukan soalan kepada Mufti dan Timbalan Mufti. Antara yang menarik ialah persoalan mengenai arahan kepada masjid dan surau di seluruh negeri Perak bagi melaksanakan solat sunat tarawikh sebanyak 20 rakaat dan larangan tazkirah sebelum dan antara solat sunat tarawikh. Program berakhir sekitar jam 1.00 petang.

 

exec talk gerik  

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel