liqa KUALA TERENGGANU, 11 DISEMBER 2017 – Program Liqa’ Mahabbah Jabatan-jabatan Mufti Zon Utara dan Zon Timur telah berakhir dengan jayanya semalam. Program dwi-tahunan ini merupakan program pertandingan sukan permainan luaran dan dalaman yang melibatkan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan mufti negeri zon utara. Negeri Terengganu terpilih sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Pada kali ini juga program ini telah dilebarkan penyertaannya ke negeri zon timur yang menyaksikan negeri Pahang menyertainya buat kali yang pertama.

Terdapat 6 jenis sukan permainan yang dipertandingkan sepanjang 2 hari program ini iaitu badminton, futsal, ping pong, congkak, karom dan boling. Turut dipertandingkan ialah acara perbarisan kontinjen terbaik. Program membuka tirai pada pagi Sabtu lalu melalui acara pembukaan yang telah dirasmikan oleh S.S. Dato’ Dr. Haji Zulkifly Bin Haji Muda, mufti Negeri Terengganu. Ia diikuti dengan acara badminton, ping pong, congkak dan karom pada hari tersebut. Program bersambung dengan acara futsal dan boling pada keesokannya.

Tuan rumah iaitu jabatan Mufti Negeri Terengganu telah muncul johan keseluruhan dengan memenangi 2 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Manakala tempat kedua disandang oleh Jabatan Mufti Negeri Perak dengan mengumpul 2 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa. Turut menyertai program ini ialah Jabatan Mufti Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang. Pingat emas kontinjen Perak adalah menerusi sukan badminton dan congkak, pingat perak menerusi sukan boling lelaki dan perempuan, manakala pingat gangsa menerusi sukan ping pong dan karom. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang terutamanya kontinjen Perak yang telah memberi tentangan sengit kepada kontinjen tuan rumah! Semoga berjumpa lagi pada tahun 2019.

2 3 5

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel