• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
 alfatih

IPOH, 20 DISEMBER 2017 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah menganjurkan Program Taklimat dan Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak semalam. Ia diadakan di Royal Perak Golf Club, Ipoh. Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan urus setia pelaksana untuk program kerajaan negeri ini.

Program ini diadakan untuk memberi penerangan tentang modul yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin semua peringkat organisasi dalam negeri Perak untuk dilaksanakan di organisasi masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan dalam membentuk khaira ummah.

Pembentangan-pembentangan telah disampaikan oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, Y.Bhg. Profesor Dato' DR. Mohammad Redzuan Bin Othman, Naib Canselor UNISEL Kampus Shah Alam, Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union Of NGOs Of The Islamic World, Gombak, dan Mejar Suriani Binti Omar, Pegawai Agama TLDM Lumut.

Kira-kira 150 orang peserta telah hadir. Mereka terdiri daripada pengurusan tertinggi sekolah-sekolah sekitar Ipoh, pegawai-pegawai tadbir agama, pegawai-pegawai penyelaras masjid dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Ipoh.

Program ini merupakan program bersiri dan akan diadakan lagi pada masa akan datang di tempat yang pelbagai.

alfatih alfatih  

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel