exam tauliah IPOH, 24 APRIL 2016 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2016 telah berakhir dengan jayanya pada hari ini. Peperiksaan yang merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak telah berlangsung pada tahun ini selama 2 hari bermula hari Sabtu sehingga Ahad (23-24 April 2016). Peperiksaan kali ini diadakan di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, melibatkan sebanyak 7 subjek iaitu Hadith, Feqah, Tauhid, Tasawuf, Sirah, Tafsir, dan juga Aliran Pemikiran Semasa yang merupakan subjek baru yang diperkenalkan pada tahun 2014. Seramai 144 orang calon baru yang memohon telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan bertulis ini manakala 122 orang lagi merupakan calon yang mengulang dari pelbagai subjek.
Menurut Ketua Pengawas Peperiksaan, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, beliau berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan pada kali ini, katanya; “Alhamdulillah, peperiksaan pada tahun ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kontroversi peniruan dan kelewatan berlaku”. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 9 orang pengawas lain yang turut membantu, tambah beliau; “tanpa kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada para pengawas peperiksaan tidak mungkin peperiksaan ini dapat berjalan dengan baik”.

Sebanyak 4 subjek diadakan peperiksaan pada hari Sabtu bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 5.30 petang, manakala 3 lagi subjek bersambung pada esoknya bermula pada waktu yang sama dan berakhir pada jam 3.30 petang. Peperiksaan pada kali ini menyaksikan sebanyak 80 peratus calon yang baru telah hadir menduduki kesemua subjek peperiksaan.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak

FaLang translation system by Faboba