mufti perak
 
Saya ingin merujuk kepada tindakan Joint Action Group on Gender Equality (JAG) iaitu Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender dan Gender Equility Initiative (GEI) iaitu Inisiatif Kesaksamaan Gender yang telah memberikan anugerah bagi kategori ‘Penghinaan Intelektual’ kepada saya dan anugerah seumpamanya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di satu program Majlis Anugerah Aiyot Wat Lah! anjuran mereka.
 
Menurut laporan sebuah portal liberal, kategori ‘Penghinaan Intelektual’ itu dianugerahkan kepada pihak yang membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali. Ia adalah rentetan dari kenyataan saya pada April tahun lalu mengenai “ konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak ”. Saya juga ada mengatakan “ Nabi Muhammad juga berkata isteri mesti patuh walaupun di atas belakang unta ”. Berikut adalah jawapan saya kepada pihak berkenaan berkaitan isu ini:
  1. Saya berpandangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka dengan kerelaan sendiri telah menyerlahkan tahap kejahilan yang maksimum dalam Hal yang berkaitan dengan Agama Islam, perbezaan antara nas syarak, pandangan ulama’ serta pendekatan pengurusan hal ehwal Islam. Lebih parah lagi bilamana kenyataan ini disebarkan secara terbuka yang boleh menimbulkan kecelaruan terhadap masyarakat.
  2. Tindakan golongan ini dan mereka yang senada dengan mereka bertujuan menjarakkan masyarakat daripada agama dan menganggap agama itu satu kongkongan. Oleh itu, keghairahan mereka dengan memburuk-burukkan ulama’ dan institusi agama adalah prinsip asas golongan liberalis yang cuba dipaksa pakai kepada umat Islam di Malaysia.
  3. Keadaan ini lebih jelas apabila “trend” memburuk-buruk tokoh dan institusi agama digiatkan dan seringkali berlaku tindakan mereka mengambil kenyataan atau ucapan terpilih tanpa melihat kepada skop yang sebenar dan lebih luas. Pada hemat saya tindakan ini ternyata berniat jahat.
  4. Secara asasnya, saya menerima keterbukaan dalam berfikir, berkata dan berkelakuan, namun kita punya keterikatan syarak yang memandu akal manusia. Tindakan mereka juga seperti mengajak orang lain bersifat terlalu terbuka namun, mereka sendiri bersikap jumud dan sering mendahulukan logik akal, rasional daripada panduan nas syarak.
  5. Kenyataan saya berkaitan ‘isteri tidak boleh menolak kehendak suami walaupun di atas belakang unta’ adalah bersumberkan keterangan hadis yang bermaksud:
“ Daripada Abdillah bin Abi Aufa, ia berkata, Ketika Mu’az datang dari Syam ia bersujud kepada Nabi SAW. Nabi SAW lalu bertanya pada Mu’az, apa yang kamu lakukan ini? Mu’az menjawab; ketika aku sampai Syam, aku menyaksikan penduduk Syam sujud kepada para pimpinan dan pendeta mereka, aku menyukai hal itu dan kami akan laksanakan terhadap engkau. Rasulullah kemudian bersabda: Jangan kamu lakukan hal itu, sesungguhnya jika aku ( boleh ) memerintahkan seseorang bersujud kepada selain Allah SWT, pasti aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamannya, seorang isteri dianggap belum memenuhi kewajiban terhadap Allah sebelum ia menunaikan kewajiban terhadap suaminya, sehingga jika saja seorang suami meminta isterinya ketika isterinya itu berada di atas punggung unta, isterinya tidak boleh menolak ”. Hadis Riwayat Ibnu Majah (kitab nikah no. 1843) dan Imam Ahmad (no. 18591). Ini menunjukkan tatacara yang sarat dengan kesopanan serta panduan  Syarak  dalam kehidupan berkeluarga bertujuan mewujudkan keintiman dan kasih sayang antara pasangan.
 
Saya menegaskan bahawa adalah wajar kenyataan dan tindakan terbuka yang menghina ulama’ dan institusi agama dihentikan bagi membina kerukunan antara pelbagai agama dan kaum di negara ini. Di samping itu, ia adalah bagi memelihara ketinggian agama Islam dan meletakkannya sejajar dengan kedudukannya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3. Agama bagi Persekutuan; (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
 
TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI HARUSSANI BIN HAJI ZAKARIA
Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak

FaLang translation system by Faboba