fiqh jihad IPOH, 8 NOVEMBER 2016 – Bengkel Fiqh Jihad 2016 telah diadakan dengan jayanya pada 7 hingga  8 November bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan As-Syafie, Masjid Sultan Idris Shah II. Bengkel tersebut merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan untuk memberi pencerahan dan pendedahan kepada pegawai-pegawai dan guru-guru agama berkaitan isu-isu jihad dan jihad yang sebenar mengikut kacamata Islam. Pembentang yang telah diundang khas untuk program ini ialah S.F. Ustaz Ahmad Fauwaz Bin Fadzil, Konsultan Syariah Telaga Biru Sdn. Bhd.

Bengkel tersebut bermula dengan pembentangan slot oleh pembentang undangan dan sesi soal jawab pada hari pertama. Pada hari kedua, pembentangan slot diteruskan dan diikuti dengan pembentangan laporan berkaitan isu DAESH di Malaysia oleh wakil dari Unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Selesai pembentangan laporan tersebut, diadakan sesi dialog antara para peserta dengan kedua-dua pembentang tersebut.

Kira-kira 100 orang peserta yang hadir terdiri dari pegawai-pegawai dari jabatan dan organisasi agama, guru-guru tauliah serta pegawai-pegawai dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Bengkel berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Dalam ucapan penutupan beliau menegaskan; “Cabaran paling utama yang dihadapi oleh jabatan dan organisasi agama ialah golongan-golongan agama yang pelbagai pandangannya tidak berlapang dada antara satu sama lain, dan diharapkan bengkel ini boleh melembutkan hati sesama mereka melalui kesatuan pemikiran (wehdatul fikri) mengenai isu jihad ini”.

Cetak

FaLang translation system by Faboba