• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Kertas Kerja Sempena Program Rukyah Hilal Ramadhan 1438H

Berikut adalah kertas kerja Prinsip Jalan Tasawuf Shaykh al-Junayd al-Baghdadi yang akan dibentangkan sempena Program Rukyah Hilal Ramadhan 1438H pada 26 Mei 2017 (Jumaat) anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak:

Prinsip Jalan Tasawuf Shaykh al-Junayd al-Baghdadi (versi PDF)

Sebarang pertanyaan sila kemukakan melalui email Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau telefon +605 254 5332

Sekian. Terima kasih.

Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak di Daerah Gerik

exec talk gerik

GERIK, 19 MEI 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya meneruskan program tahunan iaitu Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak pada tahun ini. Semalam program tersebut telah diadakan dengan jayanya. Kali ini daerah Gerik telah dipilih sebagai lokasi program. Ia telah diadakan di Dewan Serbaguna Daerah Gerik dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gerik sebagai penganjur bersama.

Kehadiran program kali ini menjangkau seramai 350 orang dengan penyertaan oleh Guru-guru Tauliah Mengajar Agama Islam, Guru Pendidikan Islam (GPI) Daerah Hulu Perak, para imam dan Jawatankuasa Masjid Daerah Hulu Perak, para penghulu serta ketua dan wakil jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Gerik. Turut hadir Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Dato’ Ar.LA Meor Roslan Bin Dato’ Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Zamakhshari Bin Hanipah serta Pegawai Tadbir Agama Daerah Gerik, S.F. Tuan Haji Supian Bin Abdul Latif.

Mufti Negeri Perak YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah memberikan tausiah dan nasihat kepada semua yang hadir, diikuti dengan ceramah oleh S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak yang bertajuk ‘Menghadapi Perselisihan Dalam Isu Agama’. Antara intipati yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah tugas dan tanggungjawab individu muslim, hakikat perselisihan, perselisihan dalam isu agama, adab di dalam perselisihan serta keperluan kepada pihak berautoriti.

Selesai ceramah, sesi soal jawab diadakan. Beberapa orang hadirin telah mengajukan soalan kepada Mufti dan Timbalan Mufti. Antara yang menarik ialah persoalan mengenai arahan kepada masjid dan surau di seluruh negeri Perak bagi melaksanakan solat sunat tarawikh sebanyak 20 rakaat dan larangan tazkirah sebelum dan antara solat sunat tarawikh. Program berakhir sekitar jam 1.00 petang.

 

exec talk gerik  

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

GARIS PANDUAN DAN TATACARA

Berikut adalah senarai Garis Panduan yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Mufti Negeri Perak:

  1. GARIS PANDUAN TATACARA PEMBACAAN DOA DALAM MAJLIS RASMI DAN SEPARA RASMI
  2. GARIS PANDUAN PEMBACAAN AL-QURAN DALAM MAJLIS RASMI DAN SEPARA RASMI
  3. GARIS PANDUAN TATACARA PELUPUSAN HARTA MASJID
  4. GARIS PANDUAN KARNIVAL DAN HIBURAN YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM
  5. GARIS PANDUAN PENGGUNAAN LOGO

Sebarang pertanyaan sila kemukakan melalui email Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau telefon +605 254 5332

Sekian. Terima kasih.

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.3/2017

perhimpunan bulan mei

IPOH, 15 MEI 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi pegawai dan kakitangan jabatan buat kali ketiga pada tahun ini pagi tadi. Perhimpunan ini dihadiri oleh YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria selaku Ketua Jabatan bersama 23 orang pegawai dan kakitangan jabatan serta 2 orang pelajar yang sedang menjalani latihan industri di jabatan ini.

 

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma’ al-Husna. Bacaan doa dipimpin oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi sebelum tausiyah yang disampaikan oleh S.S. Tan Sri Mufti. Selesai tausiyah, Ketua Pembantu Tadbir, Tuan Haji Roslan Bin Borhan dijemput bagi menyampaikan taklimat aktiviti bahagian dan jabatan bagi Bulan Mei 2017.

Antara aktiviti dan program utama jabatan yang akan diadakan pada bulan ini ialah Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak Bil/1/2017 di Gerik, Kaunter Khidmat Pelanggan dan Pameran Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Kuala Kangsar, dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan bagi tahun 1438H / 2017M.

 

Pada perhimpunan kali ini, tausiyah S.S. Tan Sri Mufti menekankan beberapa perkara berkaitan prestasi serta kecemerlangan pegawai dan kakitangan penjawat awam yang menjadi aset dan memainkan peranan penting dalam menjaga imej sesuatu jabatan atau agensi kerajaan. Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada 3 orang pegawai dan kakitangan yang telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat jabatan bagi tahun 2017.

 

perhimpunan bulan mei perhimpunan bulan mei

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Bengkel Dan Cerapan Hilal Syaaban 1438H / 2017M

cerapan SEGARI, 28 APRIL 2017 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya menganjurkan Bengkel dan Cerapan Hilal Syaaban 1438H / 2017M. Program yang bertempat di Baitul Hilal ini bermula pada jam 4 petang semalam. Ia bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu falak dan aplikasinya dalam ibadat serta menimbulkan minat di kalangan para pelajar untuk mendalami ilmu falak sekurang-kurangnya pada tahap fardu ain.

Peserta yang terlibat ialah ahli Kelab Falak bagi sekolah-sekolah menengah agama Negeri Perak antaranya Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah dan Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah. Turut hadir sebagai peserta Ahli Kariah Masjid An-Nasriyah, Setiawan dan pelajar daripada Maktab Rendah Sains MARA, Sungkai.

Program bermula dengan sesi Bengkel Cerapan Hilal yang dikendalikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan sesi Cerapan Hilal yang diuruskan oleh semua pegawai dan kakitangan bahagian Falak. Program berakhir selepas solat maghrib dan makan malam sekitar jam 9.00 malam. Semoga program ini mendapat ganjaran kebaikan oleh Allah SWT.

cerapan cerapan

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak Tahun 2017

peperiksaan tauliah

IPOH, 1 MEI 2017 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 telah berakhir semalam. Peperiksaan secara bertulis ini telah diadakan selama dua hari bermula hari Sabtu. Ia merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dengan Jabatan Mufti Negeri Perak sebagai urusetia peperiksaan.

Lokasi peperiksaan bagi calon baru masih dikekalkan seperti tahun lalu iaitu Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bagi calon mengulang pula, peperiksaan pada tahun ini diadakan di Bilik Kuliah Al-Ghazali, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri). Ketua Pengawas yang telah dilantik bagi peperiksaan tahun ini ialah A.F. Tuan Haji Kamaruddin Bin Adam dan A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa. 12 orang pengawas juga telah dilantik dari kalangan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak.

Sebelum bermula peperiksaan, Ketua Pengawas telah membacakan peraturan peperiksaan kepada semua calon. Sebanyak 4 peperiksaan diadakan pada hari pertama iaitu bagi subjek Hadith, Fiqh, Tauhid dan Tafsir, manakala 3 lagi peperiksaan bagi subjek Tasawuf, Sirah dan Aliran Pemikiran Semasa diadakan pada hari kedua. Seramai 230 calon baru telah hadir untuk menduduki peperiksaan ini. Subjek Tasawuf mencatatkan calon mengulang yang paling ramai iaitu seramai 71 orang.

Peperiksaan ini berakhir pada pukul 3.30 petang hari Ahad. Calon yang telah lulus peperiksaan bertulis ini akan dipanggil kemudian untuk sesi temuduga lisan bagi menentukan kelayakan mereka sebagai Guru Agama Tauliah Negeri Perak.

 

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Kursus Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja di INTURA

mpk SUNGAI PETANI, 24 APRIL 2017 – Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Utara (INTURA) telah mengadakan Kursus Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja. Kursus ini diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sungai Petani selama tiga hari dan berakhir semalam. Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlibat sebagai peserta kursus ini.

Kursus ini bertujuan membuat pengemaskinian dan penambahbaikan kepada MPK jabatan serta fail meja semua pegawai dan kakitangan jabatan. Ia bagi memastikan penambahbaikan kualiti kecekapan dan keberkesanan fungsi serta tugas jabatan kepada pelanggan. Fasilitator yang bertanggungjawab mengendalikan kursus ini ialah En. Sahrul Nizam Bin Jaafar, Penolong Perunding Latihan, Unit Penyampaian Perkhidmatan, INTURA.

Sepanjang kursus ini beliau telah membentangkan tajuk kandungan penyediaan, dokumentasi, kaedah penyediaan, serta auditan MPK dan fail meja. Matlamat kursus ini tercapai dengan bertambahnya fungsi atau senarai tugas jabatan dalam MPK. Fail meja semua pegawai dan kakitangan kini dapat dikemaskini berdasarkan MPK jabatan yang terkini. Kursus ini berakhir dengan jayanya dan diharapkan dapat memberi motivasi dan semangat kepada semua pegawai dan kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang.

mpk mpk

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak 2017

penyampaian tauliah

IPOH, 17 APRIL 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 semalam. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah diadakan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Seramai 81 orang yang telah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga lisan tahun lalu telah dijemput bagi menerima watikah tauliah pada majlis kali ini. Watikah tauliah telah ditandatangani dan disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua (YDP)  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin.

Turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan S.F. Tuan Haji Asad Bin Awang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JAIPk. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga bagi para penerima watikah.

Sebelum penyampaian watikah, S.S. Tan Sri Mufti Perak dan YDP MAIAMP telah memberikan tausiyah dan ucapan nasihat kepada semua tetamu terutamanya para penerima watikah. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan sesi fotografi diadakan bagi para penerima watikah tauliah, diikuti jamuan makan tengah hari.

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.2/2017

himpun IPOH, 4 APRIL 2017 – Perjumpaan bulanan anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali keduanya pada tahun ini. Kehadiran S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak yang sebelum ini tidak dapat hadir pada perjumpaan yang lalu, memeriahkan lagi perjumpaan kali ini. Pada jam 9.00 pagi semua pegawai dan kakitangan termasuk pelajar-pelajar latihan industri berbaris menghadap Tan Sri Mufti dan menyanyikan lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna. Seterusnya, Tan Sri Mufti dijemput untuk menyampaikan tausiyyah dan nasihat kepada semua warga jabatan.

Antara amanat yang ditekankan beliau ialah perlunya kita sebagai umat Islam menangani dan menghadapi cabaran aqidah yang pelbagai. Terbaru isu berkaitan individu yang menimbulkan teori bahawa Tuhan wujud melalui getaran, dan isu beberapa orang ahli politik negara yang ingin meminda akta 164 – Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, yang jika berjaya dipinda akan menyebabkan; jika berlaku penceraian;- anak daripada perkahwinan mereka tidak boleh didaftarkan sebagai agama Islam sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, ia tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan tahun.

Selesai tausiyyah, pengacara menjemput Penolong Pegawai Tadbir, Puan Norizah Binti Mohamad Nordin bagi menyampaikan taklimat berkaitan aktiviti dan program jabatan sepanjang bulan April. Antara aktiviti dan program penting yang akan diadakan pada bulan ini ialah Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak pada 15 April, Bengkel Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja pada 21-23 April, dan Peperiksaan Tauliah pada 29-30 April. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan pada kira-kira jam 11.00 pagi.

himpun

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK