Pada Hari Khamis, 29 Oktober 2015 yang lalu, bersamaan dengan 16 Muharram 1437 Hijrah, Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganjurkan satu program iaitu Ijtimak Guru-guru Agama Tauliah Mengajar Negeri Perak 2015. Ia berlangsung di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Program ini mensasarkan penglibatan guru-guru agama tauliah dari seluruh negeri Perak sebagai peserta utama selain dari wakil jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.
ujuan program ini diadakan ialah sebagai perhimpunan bagi semua guru-guru agama yang telah diberi tauliah mengajar di Negeri Perak, agar dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka dan berbincang mengenai isu-isu agama, selain untuk mendengar amanat dan nasihat dari SS Tan Sri Mufti Negeri Perak dan juga SS Datuk Paduka Syeikh Mufti Negeri Kedah yang dijemput bagi memeriahkan lagi majlis. 

Secara keseluruhan jumlah kehadiran peserta mencapai sasaran iaitu kira-kira 600 orang di mana lebih kurang 400 daripadanya adalah guru-guru tauliah. Ijtimak ini juga turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat termasuk YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti YB Tuan Haji Abu Bakar Bin Hussian, YB Tuan Mohamad Ziad Bin Dato’ Mohamed Zainal Abidin, YB Tuan Zawawi bin Abu Hassan dan YB Tuan Radzi Bin Zainon.

Pada jam 8.30 pagi, program bermula dengan ucapan aluan pengerusi majlis, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh AF Ustaz Mohd Kamarul Zaman bin Daud, Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Program diteruskan dengan mendengar ucaptama dan amanat oleh SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak. Seterusnya diikuti dengan syarahan dari SS Dato’ Paduka Syeikh Muhamad Baderudin bin Haji Ahmad, Mufti Negeri Kedah memberikan amanat dan nasihat kepada para peserta. Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang dipengerusikan oleh S.F. Ustaz Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Program tamat pada jam 1.00 tengah hari.

Semoga program ini dapat memberikan manfaat yang banyak kepada para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, serta mendapat keredhaan Allah dan dirahmati-Nya. Amin.

Cetak Emel