NOTES:- All the articles are available only in Bahasa Melayu format. It is endorsed by the Fatwa Committee of the National Council for Malaysian Islamic Religious Affairs and the decision of the Perak Fatwa Meeting) |
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang telah memberi sebaik-baik nikmat berupa iman dan Islam. Selawat dan doa keselamatanku terlimpahkan selalu kepada Nabi agung Muhammad SAW beserta keluarga dan para sahabat baginda semuanya. Baru-baru ini, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, Menteri Besar Negeri Perak, dalam membentangkan Ucapan Bajet 2016 Negeri Perak Darul Ridzuan, telah menekankan 7 fokus utama belanjawan tersebut. Saya mewakili pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, bersetuju dan menyokong sepenuhnya ketujuh-tujuh fokus belanjawan negeri Perak ini, khususnya Fokus Ketujuh iaitu Menyemarakkan Syariat. Ini adalah kerana menyemarakkan syariat adalah satu fokus atau konsep yang mendokong tuntutan Islam dan bertepatan dengan perintah Allah SWT di dalam satu ayat yang menekankan kewajipan kerajaan menjaga hal ehwal agama rakyatnya, iaitu firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 41:
Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Dalam ayat yang lain pula, Allah telah menjanjikan para pemerintah dengan kebaikan-kebaikan, sekiranya dia menjaga dan melaksanakan syariat-Nya di muka bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 55:
Maksudnya: ‘Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa, dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.’ Ini adalah janji Allah kepada Rasul-Nya, bahawa Dia akan menjadikan umat ini sebagai khalifah di muka bumi, iaitu menjadi pemimpin umat manusia dan pengusaha mereka. Di tangan merekalah negeri-negeri akan menjadi baik. Umat manusia tunduk kepada mereka. Dan Dia benar-benar akan merubah (keadaan) mereka setelah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa, menjadi hakim di tengah manusia. Allah telah melaksanakan janji ini, segala puji dan kurnia hanyalah milik-Nya. Selain itu, mereka yang menjaga agama, dan bagi para pemimpin, yang juga menjaga agama rakyat mereka, akan diangkat darjat yang tinggi dan kedudukan yang mulia ke atas mereka.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab r.a. ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Berilah khabar gembira bagi umat ini berupa kedudukan yang mulia, darjat yang tinggi, agama yang teguh, pertolongan, dan kekuasaan di atas muka bumi. Barang siapa dari mereka yang mengerjakan amalan akhirat untuk kepentingan dunia, maka ia tidak akan memperoleh bahagian sedikit pun di akhirat”. Pelaksanaan syariat merupakan satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah sesebuah negara Islam. Kerajaan wajib menyemarakkan syariat di kalangan rakyatnya agar mereka menyedari dan cakna akan tuntutan-tuntutan syariat ini dan seterusnya ia dapat diamalkan di seluruh pelusuk negara. Allah SWT telah berfirman memberikan nasihat sekaligus peringatan kepada kita khususnya para pemerintah, agar tidak mendapatkan azab dan bencana dunia seperti yang telah ditimpakan kepada orang-orang yang sebelum kita. Generasi sebelum kita itu lebih kuat, lebih banyak jumlahnya, lebih kaya, lebih banyak keturunan, lebih tinggi kedudukannya daripada kita, dan lebih hebat pembangunannya. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 6:
Maksudnya: “Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain.” Maka berhati-hatilah wahai sekalian manusia terutamanya para pemimpin, agar kita tidak ditimpa seperti apa yang ditimpakan kepada mereka generasi-generasi yang terdahulu sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ayat di atas. Semoga Allah memelihara agama kita dan tanggungan kita dari ancaman syirik dan kesesatan.
Disediakan oleh:
Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.