1) Sesetengah orang menggunakan surah al-Maidah: 44 sebagai hujah untuk mengkafirkan golongan yang lain. Mereka berhujah, “Negara kita Malaysia tidak menggunakan hukum yang diturunkan oleh Allah, jadi pemerintah Negara dan pengikutnya menjadi kafir.” Apakah betul pernyataan ini?

Hukum Hudud merupakan salah satu dari hukum Allah yang bersumberkan dalil Qat‘iyy dari al-Quran dan Hadis. Manakala hujah yang dikemukakan pula tidak selaras dengan realiti semasa. Hakikatnya, Malaysia telah lama mengamalkan hukum Allah iaitu sejak sebelum kemerdekaan lagi. Mahkamah Syariah yang dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Qadhi telah lama ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam berkenaan Hukum Syarak. Perlu difahami bahawa hukum Allah itu mempunyai takrifan yang luas yang meliputi hal ehwal ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Namun, perlaksanaan hukum Hudud adalah tertakluk kepada pihak pemerintah. Justeru, pemerintah berhak untuk melaksanakan hukum hudud dengan melihat keadaan dan suasana yang mengizinkan serta aman dari anasir fitnah.

2) Apakah pandangan Islam jika sesebuah Negara itu tidak menggunakan hukum Hudud sebagai undang-undang Negara seperti mana Malaysia?

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi maka perlaksanaan hukum tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemerintah dan bukan rakyat. Namun, perlu difahami bahawa urusan siyasah (politik) ini adalah tergolong dalam perkara ijtihadi. Justeru, ia bukanlah isu sama ada negara Islam mesti melaksanakan hudud atau tidak tetapi keadilan yang mampu dicapai hasil dari pelaksanaan undang-undang berkenaan. Keadilan ini pula mestilah dirasai oleh semua entiti masyarakat tanpa mengambil kira kaum dan agama. Sekiranya keadilan tersebut tidak dapat dicapai maka dibimbangi timbulnya fitnah yang berpanjangan di kalangan masyarakat terhadap hukum tersebut. Hal ini terbukti melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab ketika mana beliau menjadi khalifah Islam. Beliau telah menangguhkan pelaksanaan hukuman had (hudud) terhadap pencuri kerana berlakunya kemarau panjang pada masa itu. Ironinya, jika dilaksanakan juga hukuman tersebut maka dibimbangi ketidakadilan terhadap pesalah akan timbul seperti keadaan yang terdesak dan sebagainya.

Print

FaLang translation system by Faboba