• Home
  • News & Activities
  • Berita Keratan Akhbar: Jabatan Mufti ucap terima kasih perutusan takziah, petugas barisan hadapan.
ts Berkata Imam Hassan al-Basri rahimahullah :

موت العالم ثلمة في الإسلام لا يسدها شيء ما اختلف الليل والنهار

Bermaksud : “Matinya seorang alim laksana patahnya mercu tanda Islam yang tidak akan mampu ditampung sesuatu pun, walau silih berganti malam dan siang” ( Sunan al-Darimi : 333). Tarikh 30 Mei 2021 M bersamaan 18 Syawal 1442 H jam 2.45 petang akan terpahat dalam sejarah, pemergian insan mulia ke sisi Rabbnya setelah lebih separuh dari usianya telah diberikan untuk ummah ini. Kembalinya Allahyarham Tan Sri Dato Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria ke rahmatullah ketika usia 82 tahun, setelah 36 tahun memberikan khidmat kepada ummah sebagai seorang yang digelar Mufti. Sepanjang tempoh itulah tanpa mengenal jerih atau perih, siang atau malam, Allahyarham memberikan segalanya untuk mentarbiah ummah ini.

Perwatakan tegas, berani dan teguh dalam memegang prinsip adalah wajah Allahyarham yang dilihat di paparan media. Penghujahan dan perdebatannya sentiasa berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dengan logik qias yang cukup bernas. Namun ketika di pejabat bahkan di rumah, Allahyarham adalah ‘tok ayah’ yang sentiasa kaya dengan nasihat dan hikmah yang cukup mendamaikan. Deretan pengalaman melalui hidup zaman penjajahan dan kemerdekaan, bahkan bertemu langsung dengan nama-nama besar dalam sejarah negara dan dunia, membuatkan kita terlalu kerdil ketika berhadapan dengannya. Sepanjang hidupnya, tidak sedikit dugaan yang dihadapinya. Isu agama Islam dan bangsa Melayu adalah dua tunjang perjuangan yang kukuh dalam hati sanubarinya. Jangan sesiapa yang berani membuat onar dan duri dalam dua isu ini, akan diredah, ditegur dan dinasihati. Malah jika ada isu politik, ekonomi dan masyarakat yang pada pandangannya perlu diperbetulkan, Allahyarham akan bersuara, menegur dan menasihat dengan penuh keberanian tanpa mengira mereka pemimpin atau rakyat.

Namun, semua itu adalah kenangan. Kembalinya Allahyarham ketika ummah ini masih memerlukan nasihat dan pedoman terutama ketika ini kita masih berhadapan situasi getir dengan dugaan pandemik covid 19 ini. Jauh lebih menyedihkan, Allahyarham juga meninggalkan kita disebabkan jangkitan covid 19 ini. Walau terasa berat hati mahu menerima pemergian Allahyarham, namun memujuk hati ini, mungkin inilah masanya insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabbnya, bertemu Rasul yang sentiasa dirindukannya. Meninggalkan pejuangan untuk kita ‘anak-anaknya’ untuk diteruskan. Sesungguhnya, kami bersaksi bahawa air mata murabbi ini pernah menitis memikirkan nasib agama dan bangsanya. Moga dengan air mata itulah akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita. Maka, duhai hati, relakanlah pemergian sang murabbi, untuk dirinya memasuki jannah firdhausi, dengan maghfirah dan redha Ilahi dan syafaat Rasul yang dicintai. .....Dengan linangan air mata, kami relakan dan ingin katakan, berehatlah wahai Murabbi...

Catatan..‘Anak-anak’ Warga JMNPk.
Kredit : AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani

Print Email