1 Tanjung Malim, 13 Mac - Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dengan jayanya telah mengadakan Kursus Pengenalan Dunia Falak Peringkat Negeri Perak Tahun 2020 yang berakhir semalam. Ia diadakan di Pusat Kecemerlangan Ukur Geodetik INSTUN, Tanjung Malim bermula Isnin.

Objektif kursus ini ialah memupuk minat para pelajar kepada ilmu falak, sebagai pendedahan ilmu falak kepada pelajar terutama dalam konteks ibadah iaitu arah kiblat, waktu solat dan takwim, dan memberi peluang kepada mereka mengenali dan menggunakan peralatan falak moden seperti teleskop, teodolit dan kamera.

Peserta terdiri daripada 40 orang pelajar dari 14 buah sekolah menengah di negeri Perak termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah-sekolah persendirian.

Manakala pembentang kursus adalah dari para pegawai INSTUN dan Jabatan Mufti Negeri Perak. Modul-modul kursus yang dibentangkan ialah Pengenalan Ilmu Falak, Pengenalan Waktu Solat, Penentuan Arah Kiblat, Pengendalian Peralatan Cerapan serta Cerapan Langit Malam.

Semoga para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman ini dalam mempraktikkan teori ilmu falak di sekolah dan di luar.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Print Email