SEGARI, 26 JUN 2017 – Program Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H bersamaan 2017M telah berjaya diadakan pada hari Sabtu yang lalu. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 1 Syawal setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari bermula jam 5.30 petang.

Program ini buat julung-julung kalinya telah dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan sekitar daerah Manjung.

Program bermula dengan Majlis Bacaan Tahlil selepas solat Asar, diikuti dengan Taklimat Kedudukan Hilal Syawal yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu program diteruskan dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan yang disediakan. Ia bermula sekitar jam 6.45 petang. Tetamu-tetamu kehormat serta hampir 300 orang awam yang hadir berpeluang menggunakan peralatan-peralatan tersebut.

Pada jam 7.48 malam, S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Syawal telah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Ianya berpunca dari faktor awan yang tebal. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat Maghrib.

Laporan Rukyah Hilal Syawal Bagi Tahun 1438H / 2017M
Tarikh : 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M (SABTU)
Masa : 5.30 Petang
Tempat : Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.
Kehadiran Jemputan: Hampir 300 orang hadir.
YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Ketua Hakim Syariah Negeri Perak Orang-Orang Besar Jajahan, Ketua-Ketua Jabatan Daerah Manjung serta wakil Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Rukyah Hilal Syawal Pegawai-Pegawai Agama dan orang awam. Majlis bermula 5.30 ptg hingga 8.30 mlm.

5.30 ptg : Ketibaan para tetamu
5.45 ptg : Ketibaan Dif-dif jemputan
             : Tahlil
             : Taklimat Kedudukan Hilal Syawal Oleh:
               Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
6.45 ptg : Aktiviti Rukyah Dimulakan
             : Pengumuman Kenampakan Hilal Oleh:
               S.S. Tuan Hj. Zamri b. Hashim. Timbalan Mufti Negeri Perak
             : Solat Maghrib
             : Makan Malam
             : Majlis Bersurai Pada jam 6.45 petang, sesi cerapan Hilal Syawal dimulakan.

Pengumuman kenampakan hilal di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu telah diumumkan oleh S.S Tuan Hj. Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak setelah hilal terbenam pada jam 7.48 mlm.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Print Email