1 IPOH, 3 September - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh, kini semakin pulih dan sudah dipindahkan ke wad biasa. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin, perkembangan terkini itu dimaklumkan Jabatan Mufti Negeri Perak. Katanya, Harussani kini sedang dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi hospital pakar berkenaan, Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir.

"Keadaannya semakin bertambah baik dan beliau sudah boleh tindak balas serta faham apa yang kita cakap, tetapi masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita. "Sebelah bahagian badannya sudah boleh digerakkan, beliau dipindahkan ke wad biasa beberapa hari lalu," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020, di Dewan Saidina Omar Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, lawatan atau ziarah sudah dibenarkan namun perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak hospital. "Jangkaan bila Mufti boleh daftar keluar dari hospital masih belum diketahui, sudah boleh melawat (Mufti) tetapi kena patuh SOP dan kalau boleh bagi peluang kepada Mufti untuk rehat secukupnya," katanya. Sebelum ini NSTP melaporkan, Harussani dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak, selepas mengalami serangan angin ahmar 23 Ogos lalu. Keadaan Harussani sebelum ini lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Sumber: Keratan Akhbar Berita Harian Online| Khamis, 3 September 2020 | 2:53pm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/727525/keadaan-mufti-perak-makin-pulih

Print Email