Inisiatif Identiti Digital Nasional

Pengenalan

Identiti Digital Nasional merupakan Platform Pengesahan yang dipercayai yang bertujuan untuk mengesahkan identiti di internet atau identiti virtual seseorang individu di alam siber dan tidak bertujuan untuk menggantikan MyKad. Platform pengesahan Identiti Digital adalah untuk kegunaan sektor perkhidmatan Kerajaan dan swasta khususnya bagi memenuhi keperluan untuk mengesahkan identiti individu yang mengakses perkhidmatan elektronik, melaksanakan transaksi serta tandatangan digital yang disediakan oleh mereka.

Latarbelakang

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan Malaysia mempunyai ketersediaan daripada segi lanskap digital dan infrastruktur telekomunikasi. Hasilnya, pada ketika ini 90% daripada perkhidmatan Kerajaan boleh didapati secara dalam talian, manakala kadar penembusan pengguna e-dagang adalah 61.6%. Sementara itu, didapati bahawa sebanyak 62% syarikat perniagaan melanggan perkhidmatan internet. Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merekodkan penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di Malaysia pada kadar 121.1% untuk tahun 2018 sementara kadar penembusan selular mudah alih pula mencapai 130.2% pada masa yang sama. Ketersediaan daripada segi lanskap digital dan infrastruktur telekomunikasi adalah mustahak untuk memastikan keberkesanan transformasi digital sektor perkhidmatan, menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan menggalakkan gaya hidup digital di kalangan rakyat secara inklusif di mana pihak SKMM telah melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sebagai antara strategi terkini untuk menyokong pencapaian aspirasi tersebut.

Pada masa yang sama, aspek ketersediaan infrastruktur ini perlu disokong dengan aspek permintaan yang berupa kepelbagaian perkhidmatan yang menggalakkan langganan kepada infrastruktur telekomunikasi. Justeru, Inisiatif Identiti Digital Nasional menjadi langkah strategik yang memberi tambah nilai kepada  perkembangan dan keperluan transformasi sektor perkhidmatan masakini yang kian beralih kepada platform digital. Secara tidak langsung, ia juga boleh menyokong inisiatif seperti Government Online Services 2.0 (GOS 2.0) oleh pihak MAMPU, Financial Sector Blueprint 2011 - 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kegunaan elektronik Know-Your-Customer> (e-KYC) oleh sektor perbankan dan juga selaras dengan Pelan Halatuju Strategik E-Dagang Kebangsaan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Sharing Economy Roadmap oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Di peringkat wilayah dan global, Malaysia mampu menerokai perkhidmatan digital berteraskan ‘cross-border’ dengan negara-negara luar menerusi sokongan ekosistem Identiti Digital yang selamat dan terjamin.

Penyataan Masalah

Pada masa kini, pemberi perkhidmatan digital Kerajaan dan swasta menyediakan sistem pengurusan pengesahan identiti digital pelanggan masing-masing secara berasingan yang menyebabkan timbulnya masalah seperti berikut:

  1. fragmentasi sistem mengakibatkan berlakunya duplikasi kos penyediaan dan penyelenggaraan;
  2. ketiadaan standard pengesahan identiti;
  3. ancaman terhadap keselamatan dan privasi data pengguna; dan
  4. pengguna tidak memperoleh pengalaman digital yang lancar menggunakan perkhidmatan digital kerana perlu mengingat pelbagai kata laluan untuk mengakses perkhidmatan digital yang berlainan.

Objektif 

Pelaksanaan platform Identiti Digital Nasional akan menyokong penyampaian perkhidmatan digital Kerajaan yang lebih efisien dan menjana pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif serta meningkatkan keyakinan kepada penyampaian perkhidmatan digital Kerajaan dan sektor swasta. Ia dijangka akan memberikan manfaat dan impak positif kepada pelbagai pihak seperti berikut:

Pihak

Manfaat

RAKYAT/ PENGGUNA

  • Menikmati pengalaman menggunakan perkhidmatan digital yang lebih lancar, selamat dan terjamin privasi data.
  • Menjimatkan masa dan wang berbanding bertransaksi secara di kaunter.

KERAJAAN

  • Menggiatkan ekonomi digital dan memacu negara ke arah transformasi digital dengan meningkatkan kepercayaan dan keselamatan pengguna untuk bertransaksi secara digital.
  • Meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan digital yang lebih efisien serta menjimatkan kos penyampaian perkhidmatan.

PENYEDIA PERKHIDMATAN DIGITAL

  • Meningkatkan efisiensi serta menjimatkan kos dari segi mendaftar pengguna, membangun dan menyelenggara sistem pengesahan identiti digital mereka sendiri.
  • Menggalakkan penawaran perkhidmatan digital yang baharu seperti fintech & platform economy & apps economy dan lain-lain.

Status Terkini

Menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), cadangan MCMC berkenaan pelaksanaan inisiatif Identiti Digital Nasional telah dibawa kepada Mesyuarat Jemaah Kabinet dan ia telah mendapat kelulusan Jemaah Kabinet menerusi mesyuarat bertarikh 8 Mei 2019.  Kelulusan ini merangkumi persetujuan untuk KKMM menjadi agensi teraju bagi mengkoordinasi inisiatif Identiti Digital Nasional dan menerusi MCMC, kajian terperinci mengenai lanskap, model pelaksanaan, analisis kos, langkah susulan dan manfaat daripada Identiti Digital Nasional akan dikemukakan. Kajian terperinci ini akan melibatkan penyertaan dari pelbagai pihak pemegang taruh utama dan pihak industri dari sektor awam dan swasta yang dikenalpasti menjadi pendokong kepada pencapaian pelaksanaan inisiatif Identiti Digital Nasional.

Sebagai input dan sokongan kepada kajian terperinci ini, sesi pembuktian konsep Proof of Concept (PoC) untuk Identiti Digital kini sedang dilaksanakan oleh Pasukan Kerja Identiti Digital yang dipengerusikan oleh MCMC di bawah naungan Kumpulan Fokus Tematik Kluster Ekonomi Digital (DEFG), KKMM. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dipertanggungjawabkan untuk menerajui PoC Identiti Digital bagi Sektor Awam manakala Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melaksanakan PoC bagi Sektor Swasta.

Sumber dipetik daripada Laman Web MYGOV (UNIT PEMODENAN TADBIRAN DAN PERANCANGAN PENGURUSAN MALAYSIA)

Cetak Emel

FaLang translation system by Faboba