perjumpaan jmnpk IPOH, 11 MEI 2016 – Buat pertama kalinya pada tahun ini telah diadakan ‘Perjumpaan Tan Sri Mufti Bersama Pegawai Dan Kakitangan Di Jabatan Mufti Negeri Perak. Perjumpaan yang diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan, bermula jam 9.00 pagi itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama seluruh anggota kakitangan jabatan, selain untuk berkongsi pandangan dan pendapat serta berbincang permasalahan dan penyelesaiannya berkaitan hal ehwal para pekerja dan peranan masing-masing demi kebaikan dan kepentingan jabatan.

Selepas menikmati jamuan sarapan yang disediakan, program dimulakan dengan mendengar ucapan aluan dan amanat daripada mufti Perak yang juga selaku ketua jabatan iaitu SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria. Banyak pengalaman yang telah dikongsikan oleh beliau kepada pegawai serta kakitangan jabatan khususnya berkaitan perkembangan kerjaya beliau dari awal remaja sehingga menjawat jawatan sebagai mufti kini.

Program diteruskan dengan sesi interaksi bersama Tan Sri Mufti, Pegawai Kanan dan semua kakitangan jabatan. Pelbagai soalan dan pertanyaan telah diajukan kepada Tan Sri Mufti khususnya dan mendapat respon yang baik oleh beliau. Salah seorang pegawai, Fatimah Binti Ayob telah memberi nasihat dan peringatan agar semua anggota jabatan dapat bermuhasabah dan berubah kepada yang lebih baik sekaligus dapat mencerminkan imej yang baik selaras dengan nama baik jabatan.

Selesai sesi interaksi, para pegawai dan kakitangan telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi tahun 2016 di hadapan Tan Sri Mufti. Kesemua dokumen yang telah ditandatangani oleh pegawai dan kakitangan kemudiannya dibawa ke Tan Sri Mufti untuk ditandatangani oleh beliau.

Sesi perjumpaan ini berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan yang akan bertukar pada 16 Mei ini, iaitu En. Azizan Bin Mokhtar. Beliau akan bertukar ke Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Agama Islam Perak. Seterusnya penyampaian cenderamata kepada pegawai dan kakitangan yang menyambut hari lahir pada bulan April, Mei dan Jun iaitu Pn. Pahiyah Binti Idarmawi, En. Zainuddin Bin Muhammad, En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Tan Sri Mufti sendiri. Turut diraikan ialah kakitangan yang baru menerima cahaya mata iaitu pasangan En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Pn. Nurul Asma Binti Ramly.

Perjumpaan ini berjalan dengan lancar dan sangat meriah. Ia disudahi dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak pentadbiran jabatan.

perjumpaan jmnpk
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak Emel