KUALA TERENGGANU, 15 OGOS 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Terengganu telah mengadakan satu program kerjasama iaitu Liqa’ Mahabbah antara kedua-dua jabatan tersebut. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah diadakan di sini bermula pada hari Jumaat, 12 Ogos hingga Ahad, 14 Ogos 2016 dengan seramai 45 orang ahli rombongan dari Jabatan Mufti Perak termasuk pegawai, dan kakitangan jabatan serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah berangkat ke Kuala Terengganu. 

Rombongan yang menaiki bas dan 3 buah kereta bertolak dari Jabatan Mufti Negeri Perak sekitar jam 9.30 pagi dan berhenti di Kem Sri Banding untuk makan tengah hari dan solat Jumaat di surau diri Jumaat Kem749. Makan tengah hari telah ditaja oleh Perajurit. Perjalanan diteruskan dan selamat tiba di Hotel Grand Puteri pada jam 8.00 malam, diikuti dengan makan malam.

Keesokan paginya program diteruskan dengan lawatan ke Desa Murni Batik dan Pasar Payang. Pada sebelah malam, diadakan satu forum Bicara Mufti yang bertempat di Masjid Kristal Kuala Terengganu. Ahli-ahli panel forum tersebut terdiri daripada Y.Bhg. SS Tan Sri Dato’ Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, Mufti Negeri Perak, Y. Bhg. Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, dan SF Ustaz Mohd Zaki Bin Mat Yakim dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu sebagai moderator. Selesai forum tersebut, seluruh rombongan dari Perak dijamu dengan hidangan makan malam yang istimewa iaitu steamboat. Kemudian pihak tuan rumah telah membawa ahli rombongan ke Taman Tamadun Islam dengan menaiki Cruise, iaitu kenderaan khas di situ sebelum pulang ke hotel.

Pada hari Ahad, Majlis Ramah Mesra antara pegawai dan kakitangan kedua-dua jabatan diadakan di Jabatan Mufti Negeri Terengganu. Kedua-dua mufti mewakili jabatan masing-masing telah dijemput bagi menyampaikan sepatah dua kata seterusnya memperkenalkan pegawai dan kakitangan, sebelum membincangkan beberapa perkara dan isu yang berkaitan hal ehwal agama Islam di Negara ini. Selesai sesi pertemuan tersebut, ahli rombongan dari Perak bertolak pulang dan selamat tiba di Ipoh kira-kira jam 11.00 malam. Tan Sri Mufti negeri Perak berharap agar program kerjasama seperti ini dapat diadakan lagi pada akan datang bagi menjalin dan mengeratkan lagi silaturrahim antara institusi-institusi Islam.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel