bengkel tarekat

KUALA KANGSAR, 23 NOVEMBER 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah menjayakan Program Wacana Tarekat Rohani dan Disiplin Ilmunya. Program yang diadakan di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Kuala Kangsar, bermula pada jam 9.00 pagi itu adalah kesinambungan dari Program Training of trainers (TOT): Pengamalan Tarekat di Negeri Perak pada April yang lalu. Ia bertujuan member pendedahan kepada para peserta berkaitan tarekat yang murni serta salasilah kumpulan-kumpulan tarekat yang wujud di Malaysia.

Pembentang jemputan ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah membentangkan 3 kertas kerja iaitu Disiplin Tarekat Rohani, Refleksi Sejarah Ilmu Tarekat Rohani Alam Melayu, dan Zawiyah Dalam Lipatan Sejarah Kenyataan Alam Melayu. Pembentangan dikendalikan oleh moderator dari pihak penganjur iaitu Ustaz Kamaruddin Bin Adam, Ketua Penolong Mufti dan Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Hal Ehwal Islam.

Lebih 150 orang peserta yang hadir terdiri dari Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) dari sekolah-sekolah di bawah pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar (PPD), pegawai-pegawai dari jabatan dan organisasi agama serta guru-guru tauliah. Program berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diadakan lagi bersama pembentang tersebut. Menurut beliau, “Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah merupakan seorang pakar dan ahli dalam bidang tarekat ini, justeru  pelbagai input-input yang sukar didapati dapat ditadah serta pelbagai soalan kemusykilan yang ditimbulkan oleh peserta dapat diberi pencerahan yang baik oleh beliau”.

 

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel