pemukiman SEBERANG PERAK, 10 MAC 2017 – Program Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Perak Tengah telah diadakan dengan sangat meriah. Program yang yang berakhir pada tengah hari tadi merupakan program bulanan Kerajaan Negeri Perak di mana YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak dan agensi-agensi agama ‘turun padang’ untuk memberikan perkhidmatan masing-masing ke daerah-daerah di seluruh Negeri Perak.

Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan khemah pameran di sekitar Masjid Al-Ansar, FELCRA Seberang Perak, lokasi program kali ini. Antara agensi yang terlibat menyediakan kaunter perkhidmatan dan pameran ialah Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), Bahagian Penyelidikan serta Bahagian Pendidikan dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang hadir.

Pada jam 11.00 pagi, diadakan Tausiyyah Ahlul Ilmi oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diikuti dengan Taujihat oleh YAB Menteri Besar Perak. Program berhenti pada jam 1.00 tengahari untuk beri laluan kepada para hadirin menunaikan solat fardhu Jumaat yang diimami oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki. Program diakhiri dengan ‘Kenduri Rakyat’ iaitu jamuan makan kepada para hadirin selesai solat Jumaat.

Terdahulu pada petang Khamis turut diadakan perlawanan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak dan penduduk sekitar bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi dan orang awam. Perlawanan tersebut diadakan dengan format pertandingan dan pasukan badminton Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul naib juara setelah tewas dengan penduduk setempat di final.

Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Manjung pada bulan April nanti.

pemukiman pemukiman

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel