SUNGKAI, 21 JULAI 2017 – Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak diteruskan lagi dan kali ini ia diadakan di Daerah Muallim. Melalui portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shasiah, YB Dato’ Drs. Mohd Nizar Bin Zakaria telah berlangsung Karnival Mahabbah Eidul Fitri YAB Menteri Besar Perak Bersama Institusi Agama dan Warga FELDA di Parlimen Tanjung Malim semalam bersempena dengan program pemukiman ini.

Kali ini Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Felda Gunung Besout 3 terpilih sebagai lokasi. Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan pameran disediakan oleh agensi yang terlibat seperti Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), serta beberapa bahagian dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada warga FELDA yang hadir.

Pada jam 11.00 pagi, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dijemput menyampaikan taujihat bersama kader JAIPk dan warga FELDA. Ia diikuti dengan penyampaian elaun kepada pengerusi dan pegawai-pegawai masjid serta penyampaian saguhati kepada bakal-bakal haji peneroka, petugas dan guru-guru sekolah di FELDA Besout 3. Program berakhir dengan Kenduri Rakyat iaitu jamuan makan sekitar jam 12.00 tengahari.

Pada sebelah petang pula diadakan sukan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak serta penduduk sekitar. Ia diadakan di SMKA Slim River, bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi berkenaan serta orang ramai. Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul juara dalam acara badminton serta mendapat naib juara dalam acara futsal.

Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Batang Padang pada bulan September dan di Daerah Manjung Oktober nanti.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel