Pada 7-8 hb Ogos 2017M  bersamaan 15 Zulkaedah 1438H (Isnin-Selasa), Gerhana Bulan Separa akan berlaku. Ia berlaku selari dengan waktu Bulan berada di fasa Bulan Penuh ketika dalam kedudukan Istiqbal. Gerhana kali ini dapat dilihat sepenuhnya dari Malaysia khususnya di negeri Perak. Ketika gerhana kali ini berlaku, kita akan mendapati cahaya bulan yang sepatutnya terang kelihatan akan kelihatan malap seolah dilindungi awan nipis. Namun, pada saat-saat kemuncak gerhana, bulan akan kelihatan lebih gelap di sebelah selatan permukaan Bulan seolah-olah dilindungi awan tebal. Pada ketika inilah kesan gerhana akan lebih mudah dikenal pasti. Malah pada keseluruhan gerhana ini, kita akan dapat menyaksikan gerhana dengan baik kerana ketika itu Bulan berada tinggi dari ufuk.

 Berdasarkan data yang telah dihisab, Gerhana Bulan Separa dijangka akan berlaku bermula jam 11:50 pm pada malam 7hb Ogos. Namun pada permulaan gerhana ini, kesan gerhana sukar dilihat kerana Bulan baru memasuki bayang penumbra yang kurang gelap. Hanya pada jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos, barulah kesan gerhana akan lebih jelas kelihatan setelah Bulan memasuki bayang Umbra yang lebih gelap. Kesan gelap gerhana akan paling  jelas pada jam 2:20 am. Setelah itu gerhana masih berlaku, cuma kesan gerhana akan semakin hilang ketika ia memasuki fasa penumbra. Gerhana akan tamat pada jam 4:51 am.

Tempoh keseluruhan gerhana ini akan berlaku ialah 5 jam 0 m 53 saat dengan mengambil kira laluan Bulan merentasi bayang Penumbra dan Umbra. Namun kesan ketara gerhana pada bayang Umbra hanya dalam 1 jam 55 minit 14 saat.

 Maka berdasarkan maklumat di atas, seluruh umat Islam khususnya di negeri Perak disarankan untuk melaksanakan solat sunat Gerhana Bulan. Waktu yang disarankan ialah dari jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos. Di samping melaksanakan cerapan gerhana, umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan zikir, tasbih, tahmid dan takbir. Ini kerana gerhana adalah bukti kebesaran Allah S.W.T yang sepatutunya diiringi rasa kekaguman dan kehambaan pada Kebesaran Allah S.W.T. Moga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan kita untuk mencerap gerhana bulan nanti.

 Selamat menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan.

 

Ringkasan Waktu Solat Sunat Gerhana Bulan

 

Tarikh

Hari

Mula

Tamat

15 Zulkaedah 1438 H /

8 Ogos 2017M

Selasa

1:23 am

3:18 am



Muat turun Khutbah Gerhana DI SINI

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel