LUMUT, 23 SEPTEMBER 2017- Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah menerima anugerah Tokoh Ar-Ridzuan sempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat negeri Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Pemilihan Tan Sri Harussani, 78, sebagai penerima anugerah ini adalah berdasarkan kepada sumbangan besar beliau kepada pembangunan Islam di negeri Perak.

Tan Sri menganggap anugerah ini sebagai satu ujian Allah untuk melihat sejauh mana keimanannya sebagai muslim sejati, sama ada akan menjadi bongkak atau sebaliknya.

Beliau menegaskan akan terus berpegang kepada prinsip berkata benar biarpun pahit.

 “Saya berpegang kepada prinsip berkata benar walaupun pahit dan perkara ini saya gunakan untuk menegur pemimpin bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

 “Katakan yang benar sekalipun pahit kerana yang benar tuhan akan tolong. Beri idea sejujurnya supaya negara ini dapat dibangunkan sebagai negara Islam yang unggul," katanya.

 Tan Sri telah menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, medal, sijil, plak dan hadiah iringan.

Turut menerima anugerah ialah bekas Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf. Beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah atas sumbangan dan jasa beliau dalam perundangan Islam di Negeri Perak.

Semua anugerah di Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M ini telah disampaikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel