perhimpunan pagi

IPOH, 16 DISEMBER 2018 - Buat kali pertama dalam tahun 2018, perhimpunan bulanan semua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan jayanya dan dihadiri oleh seluruh warga kerja jabatan. Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma'ulhusna serta diikuti dengan mendengar tausiah dari Mufti Perak, Tan Sri Dato Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria.

Mufti Perak mengingatkan semua kakitangan agar menjaga hubungan silaturrahim dan sentiasa mengamalkan gerak kerja berpasukan bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan akan lebih cemerlang. Beliau berkata, "pelbagai cabaran yang menggugat institusi agama kini sangat berleluasa, maka ia perlu ditangani dengan lebih aktif dan progresif. Juga isu-isu berkaitan kemaslahatan umat Islam perlu diambil pendekatan yang lebih sesuai dan berhemah mengikut perkembangan semasa agar ia mampu diterima dan menjadi contoh terbaik. Jangan sampai tanggungjawab yang kita galas ini, tidak kita laksanakan sebaiknya dan akan menjadi soalan yang tidak mampu kita jawab di hadapan Allah 'azza wa jalla di akhirat kelak."

Mufti Perak turut mengulas berkenaan perayaan sambutan tahun baru 2018 yang diadakan baru-baru ini di segenap pelosok negara. Ujar beliau, "Zaman dahulu, paderi akan membunyikan loceng bagi menyatakan ketibaan tahun baru masihi dan ulama Islam terdahulu telah sepakat menyatakan sambutan tahun baru adalah merupakan budaya yang salah." Tambah beliau,"zaman kini pula, sambutan tahun baru disertai dengan program hiburan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita secara terbuka mahupun tertutup. Ini akan menjurus kepada perbuatan yang salah dan mengundang perlakuan haram disisi agama Islam. Maka penganjuran juga akan turut menjadi haram."

Perhimpunan kali ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan kepada kakitangan yang telah masuk ke hospital atas masalah kesihatan iaitu Ustazah Nadya bt Jamri dan kakitangan yang telah menimang cahaya mata iaitu Ustaz Mohd Tajuddin bin Che Din. Mufti Perak juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli jawatan kuasa MBJ untuk sesi yang lalu serta ucapan tahniah kerana telah melaksanakan tanggangjawab dengan cemerlang.

Selain itu, makluman beberapa program jabatan bagi bulan Januari turut disampaikan oleh Encik Nor Azaman bin Mohd Rashid. Antara program tersebut ialah, Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 Januari 2018 dan Rukyah Hilal Jamadilawal 1439H pada 17 Januari 2018.

Selesai majlis perhimpunan, agenda diteruskan dengan Mesyuarat Jabatan yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri bin Hashim.

perhimpunan bulanan  
 perhimpunan bulanan  
perhimpunan bulanan  

 Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel