msnms04 IPOH, 27 FEBRUARI 2018 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini. Ia telah berlangsung bermula 25 hingga 27 Februari. Muzakarah ini merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perak yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Sebagai menyahut saranan dan cadangan YAB Menteri Besar Perak, buat julung kalinya muzakarah ini telah dinaiktaraf ke peringkat antarabangsa. Tema yang telah diangkat pada kali ini ialah, ‘Kepemimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama’ dan Umara’’. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin, 26 Februari 2018.

 

Muzakarah ini telah diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya. Hampir 200 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan dari seluruh negara hadir bagi mengikuti muzakarah ini. Ia bermula dengan sesi pembentangan Pra-Muzakarah oleh Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamad Redzuan Othman, Naib Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) dengan tajuk: ‘Daulah Uthmaniyyah Dan Pengaruhnya Ke Atas Masyarakat Melayu’.

Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari kedua dengan dihadiri oleh lebih 1000 orang. Turut berkenan hadir DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak, serta YAB Menteri Besar Perak dan isteri. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh ASP Mohd Sahran Bin Termizi. Beliau memperdengarkan bacaan ayat berkaitan kepemimpinan sesuai dengan tema muzakarah, iaitu Surah An-Nur ayat 54-55. Majlis diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan Titah DiRaja oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh Y.B. Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Paduka Seri Setia, Dr. Ustaz Hj Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darul Salam. Beliau membentangkan tajuk utama iaitu tema muzakarah.

Pembentang-pembentang kertas kerja pada muzakarah kali ini ialah Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul  Rahman, Timbalan Setiausaha Agung Union Of NGOs Of The Islamic World, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Amani Ali Elmetwaly Ali Ibrahim dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Pusat Pengajian UniMAP, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Syukri Yeoh bin Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi bin Ab Majid, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Dakwah Negara, dan Y.Bhg. Prof Dato’ Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.

 Muzakarah berakhir dengan majlis perasmian penutup pada hari ketiga. Majlis telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zamby Bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak. Pada majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Nordin Bin Kardi telah membentangkan resolusi muzakarah hasil dari semua pembentangan kertas kerja. Resolusi ini telah dibincang dan dihasilkan oleh Jawatankuasa Resolusi Muzakarah dari USAS.

 


Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, JMNPk

msnms02 msnms03 msnms01
msnms05 msnms06 msnms07

Cetak Emel