rukyah SEGARI, 2 OGOS 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Zulhijjah 1440H bersamaan 2019M telah berjaya dilaksanakan semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh 1 Zulhijjah setiap tahun Hijri seterusnya tarikh Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah dapat ditentukan. Ia telah diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Orang-orang Besar Negeri Perak serta Pegawai Daerah Hilir Perak. Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 6.00 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan taklimat kedudukan Hilal Zulhijjah yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 300 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai. Pada jam 7.53 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Zulhijjah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah adalah pada hari Jumaat, 2 Ogos 2019 berdasarkan laporan rukyah hilal tempat-tempat lain di seluruh negara. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat fardhu Maghrib.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak

FaLang translation system by Faboba