• Utama
  • Rakyat
  • Koleksi Umum
  • Artikel Khas
  • Penjelasan Isu Hadith Ketaatan Isteri Kepada Suami

Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang isu sindiran berbentuk anugerah penghinaan oleh pihak tertentu kepada mufti Perak S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria. Ia rentetan dari pandangan dan komentar beliau berkaitan istilah perkosa dalam perkahwinan menurut kacamata Islam tahun lalu. Walaubagaimanapun pihak-pihak yang terbabit dalam penganjuran program anugerah itu telah pun dikecam hebat oleh pelbagai pihak sama ada parti-parti politik mahupun badan-badan bukan kerajaan. Mereka mengecam keras tindakan pihak tersebut kerana menghina mufti dan institusi-institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di program yang disebut Ayoh Wat Lah !  itu.

Namun, dalam kehangatan isu tersebut, ada juga individu tertentu yang mengambil kesempatan menyerang secara halus dengan menyalahkan mufti Perak secara berselindung di sebalik dia juga membantah anugerah yang berbentuk sindiran itu. Di dalam sebuah laman web http://www.freemalaysiatoday.com seorang pendakwah berkata mufti Perak itu sepatutnya cermat menyatakan sesuatu hadith agar tidak memberikan gambaran buruk masyarakat terhadap Islam.

“Sebagai manusia, Harussani tidak wajar dihina atas kesalahannya, namun disebabkan tindakan mufti sendiri yang tidak cermat, agak sukar untuk menolak daripada terjadinya anugerah Ayoh Wat Lah ! itu,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan itu, ia adalah satu tuduhan tidak berasas dan tanpa selidik yang boleh membawa kepada fitnah. Ini kerana beliau menyebut bahawa hadith yang dirujuk S.S. Mufti ketika mempertahankan hak suami dalam hubungan seks merupakan hadith dhoif (lemah). Sedangkan apabila diteliti hadith-hadith yang berkaitan ternyata terdapat hadith yang sama kandungannya dengan lafaz yang lain yang dinilai sebagai sohih. Contohnya hadith yang diriwayatkan oleh Zayd ibn Arqam:

لا تُؤدِّي المرأةُ حقَّ ربِّها حتَّى تؤدِّيَ حقَّ زوجِها ولو سألها نفسَها وهي على ظهرِ قتَبٍ لم تمنَعْه

Maksudnya: Seorang wanita tidak akan (sempurna) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya, dan sekiranya dia (suami) memintanya (untuk bersetubuh) di atas Qatbi (pelana di atas unta) dia (isteri) (seharusnya) tidak menolak.

Hadith di atas dinilai sebagai sohih oleh al-Albani di dalam karyanya Sohih al-Targhib wa al-Tarhib (1943). Selain itu, terdapat juga hadith yang berkaitan yang dinilai sebagai hasan sohih oleh al-Albani di dalam Sohih al-Targhib wa al-Tarhib dan juga terdapat dalam Sohih Ibn Majah (1515). Ibnu Hibban juga menilai hadith yang berkaitan sebagai hasan sohih di dalam Sohih Ibnu Hibban (4159).

Berdasarkan ilmu hadith, sekalipun sesuatu hadith itu bertaraf dhoif, martabatnya diangkat menjadi hasan lighoirihi jika terdapat hadith-hadith lain yang menyokong (sama kandungannya tetapi cuma berbeza lafaznya) dari jalur atau jalan (turuq) periwayatannya lain, dengan syarat hadith-hadith dari jalur lain itu sama atau lebih kuat tarafnya dari jalur yang asal itu.

Jadi persoalan yang timbul sekarang ini ialah mengapa berprasangka bahawa hadith yang dibawakan oleh S.S. Mufti itu adalah hadis dho’if ? Mengapa tidak disandarkan hadith rujukan S.S. Mufti itu kepada yang bertaraf hasan sohih malah ada juga yang sohih?

Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan hamba-hambaNya agar menjauhi prasangka melalui firmanNya yang berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”

[Al-Hujurat : 12]

Justeru, kita sebagai umat Islam khususnya yang bergelar pendakwah teramatlah perlu berhati-hati dalam membuat sebarang penilaian atau kenyataan terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan agama Islam serta sumber-sumber hukumnya agar kita tidak tergolong di kalangan orang yang berprasangka.

Kesimpulannya, hadith yang disebut oleh S.S. Mufti Perak ini adalah hadith sohih yang menekankan soal kewajipan isteri memenuhi hak suami. Dalam hadith ini, Rasulullah SAW telah menyampaikan mesej dalam bentuk perumpamaan sebagai penegasan terhadap seorang isteri untuk mentaati suami. Apa yang membimbangkan adalah sebahagian pihak hanya meletakkan fokus kepada perumpamaan dan gambaran yang diungkapkan di dalam hadith ini sahaja sedangkan apa yang lebih penting adalah mesej yang ingin disampaikan iaitu mentaati suami. Wallahu a’lam.

Cetak Emel