MARI SEMAK ARAH KIBLAT

Pada 28 Mei 2019M bersamaan dengan 23 Ramadan 1440H, kita berpeluang lagi untuk menyemak arah kiblat. Ini kerana pada tarikh tersebut akan berlaku istiwa A’dzam.

Kaedah ini sebenarnya telah disebutkan di dalam kitab-kitab ulamak terdahulu seperti Kitab Tadzkirah Fil Ilmil al-Hayyah oleh Nasaruddin al-Tusi ( kurun ke-14 ) dan al-Syamsu al-Fatihah oleh Syeikh Umar Ismail Nuruddin 1343 H ( Tok Guru Sg. Keladi ). Ia mula ditimbulkan semula di pada 1990 oleh Prof. Madya Dr. Baharuddin Zainal, dari UNISZA dalam artikelnya di Berita Minggu 27 Mei 1990.

Ia akan berlaku ketika nilai sudut istiwa matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah iaitu 21°, di mana kaabah terletak. Ketika fenomena ini berlaku, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Qiblat.

Kejadian matahari istiwa ( rembang ) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku mengikut waktu tempatan di Malaysia pada:

  1. 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang
  2. 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang

Oleh kerana fenomena ini berlaku di sebelah petang bagi negara Malaysia, bayang objek akan jatuh ke sebelah Timur dan arah qiblat ialah arah yang mengarah ke barat. Bayang objek yang panjang sewaktu petang juga menyebabkan arah kiblat lebih mudah untuk diukur.

Penentuan arah kiblat ini, boleh dilakukan dengan panduan berikut :

  1. Pilih tempat yang agak lapang dan terdedah kepada cahaya matahari.
  2. Pacakkan satu tiang dikawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
  3. Pastikan tiang tersebut dengan tegak dan lurus.
  4. Tepat jam 5:16 ptg pada 28 Mei atau 5:28 petang pada 16 Julai, bayang objek yang wujud ketika itu bersamaan dengan arah kiblat.

Selain dari tiang yang dipacakkan, semakan boleh juga dibuat berdasarkan tiang rumah, sisi rumah yang tegak atau mana-mana objek yang tegak.

Maka, semua pihak digalakkan untuk melakukan semakan arah kiblat pada tarikh dan masa tersebut. Bagi musalla, rumah, bilik dan premis persendirian semakan terus boleh dilakukan oleh semua pihak. Bagi masjid dan surau, semakan perlulah dilakukan dengan kebenaran dan dilakukan bersama AJK bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Namun perlu diingat, semakan arah kiblat bukan bermaksud arah kiblat berubah pada setiap tahun. Cuma ia bertujuan untuk memastikan arah kiblat yang telah diukur adalah tepat secara anggaran. Bagi premis yang tidak diketahui kedudukan arah kiblatnya, maka dengan kaedah ini pengukuran dapat dilakukan secara efektif dan mudah.

Selamat Mengukur Kiblat!

Cetak

FaLang translation system by Faboba