• Utama

1) Apakah hukum menyertai ‘Program Menjana Pendapatan secara Pos?

Berdasarkan kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili m/s 855 jilid VII:

Program ini termasuk dalam program Multi Level Marketing. Walaupun program ini tidak melibatkan penjualan barangan dengan harga yang mahal tetapi dengan hanya menunggu dan mengharapkan keuntungan dari rangkaian peserta untuk mendapat kekayaan dengan cepat. Oleh itu, wujud keraguan dari keuntungan yang diberi oleh setiap peserta. Rasulullah SAW bersabda:

“دع ما يريبك إلى ما لا يريبك “

(Tinggalkanlah sesuatu yang meragukanmu, beralih kepada sesuatu yang tidak meragukanmu).

2) Apakah beza hukum Insurans Konvensional dan Insurans Takaful?

1) Insurans Konvensional mengamalkan cara muamalah yang fasid atau rosak kerana mengandungi unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba (faedah). Oleh itu, ianya haram.

2) Insurans Takaful mengamalkan dasar tabarru’ (derma). Dasar ini bertepatan dengan muamalah Islam dan selamat dari unsure gharar dan maisir. Oleh itu, ianya halal.

3) Isteri saya telah meminjamkan wangnya kepada ibu (mertua isteri) saya sebanyak RM 250.00 untuk membuka tanah yang dipusakainya. Ibu saya telah meninggal dunia dan tanah tersebut diwarisis oleh kakak saya. Isteri saya telah menuntut bayaran hutangnya sebanyak RM20, 000.00.

Hutang yang perlu dibayar adalah RM250 sahaja dengan tiada penambahan kerana setiap penambahan yang terdapat dalam hutang seperti mengambil keuntungan dan manfaat dari hutang tersebut atau dikenali sebagai riba. Berdasarkan kaedah Fiqh ada menyatakan: كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعًا فَهُوَ رِبًا Maksudnya: “Setiap hutang yang membawa keuntungan, maka hukumnya riba”. Manakala bayaran selebihnya bergantung kepada ihsan atau perkiraan waris yang mempusakai tanah tersebut.

4) (i) Apakah hukumnya saya menyertai pelan perlindungan Takaful Nasional? (ii) Bagaimana pula jika saya menjadi wakil dan mengajak orang lain untuk menyertainya?

(i) Harus menggunakan pelan ini. Hal ini kerana Sistem Takaful adalah berasaskan dasar tabarru’ (derma) yang bertepatan dengan muamalat Islam. (ii) Islam menganjurkan kita saling tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan melarang tolong-menolong dalam perkara dosa dan kemungkaran. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2: وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” Pelan perlindungan Takaful Nasional ini termasuk dalam perkara yang bermanfaat kepada individu dan masyarakat secara umum. Oleh itu, menyertainya adalah harus begitu juga mengajak orang untuk menyertainya.

5) Saya bercadang hendak menanam saham berbentuk bon 10 ser dengan harga RM100.00 sesaham, sebagai membiayai urusan pemindahan wang dibank-ink luar negara ke dalam negeri. Pihak syarikat telah memberikan bonus bayaran 50% bagi satu sirnya. Adakah wang bonus tersebut boleh kami gunakan sebahagiannya untuk diderma bagi pembinaan masjid, qurban atau menunaikan haji atau bantu kepada pembiayaan pesantren atau urusan bayaran hutang biasiswa anak kepada mara atau institusi kewangan anak-anak untuk maslahat umum.

Untuk makluman tuan, jika pemberian wang tersebut adalah wang bonus maka hukumnya harus digunakan untuk apa-apa tujuan yang diperlukan.

6) Saya amat berbesar hati sekiranya pihak tuan dapat memberi penjelasan penuh tentang perkara berikut: i) Perbezaan antara takaful dan insurans ii) Hukum bagi takaful dalam Islam dan dari sudut manakah pahala yang dapat diperolehi jika menyertainya? iii) Hukum bagi insurans dalam Islam.

Untuk makluman puan, penggunaan Insurans Konvensional adalah haram disebabkan percampurannya dengan sistem riba. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 16 yang bersidang pada tahun 15-16 Februari 1979 telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu mengandungi gharar (ketidaktentuan), mengandungi unsur judi dan mengandungi muamalah riba. Manakala berkenaan system Takaful pula, ulama telah bersepakat mengatakan ia adalah ganti kepada insuran konvensional. Hal ini disebabkan pengamalan dasar tabarru‘ yang menjadi teras utamanya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah memutuskan bahawa konsep dan pelaksanaan takaful di Malaysia adalah bertepatan dengan Syariat Islam.

CetakEmel