1) Apakah hukum menggunakan kenderaan mewah sebagai kereta jenazah berbanding penggunan van seperti di luar negara?

Hukumnya adalah harus selama mana di dalam atau di luar kenderaan tersebut tidak menggambarkan atau menyerupai unsur agama lain.

2) Saya seorang doktor yang telah mengesahkan kehamilan ramai gadis yang masih belum berkahwin. Apakah peranan kami sebagai doktor selain memberi nasihat untuk bertaubat dan jangan mengulangi kesilapan yang sama, kerana melaporkan kepada pihak berwajib adalah menyalahi etika kedoktoran.

Pihak doktor boleh menyarankan mereka supaya berkahwin dengan segera jika kandungan mereka masih awal bagi tujuan menjaga nasab dan mengelak kecelaruan batasan aurat. Bayi yang lahir kurang dari tempoh 6 bulan 2 lahzah (detik) tidak akan disabitkan anak tersebut kepada suami. Hal ini telah termaktub dalam kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili pada muka surat 855 jilid VII sebagaimana berikut: “Jika anak itu dilahirkan kurang dari tempoh minimum masa mengandung iaitu enam bulan dua lahzah, maka ulama’ bersependapat tidak sabit nasab daripada si suami dan ia merupakan bukti bahawa kehamilan itu berlaku sebelum aqad perkahwinan, kecuali sekiranya suami mendakwa anak itu adalah anaknya, kerana dakwaan itu di andaikan bahawa perempuan adalah hamil dengannya sebelum aqad perkahwinan sama ada aqad lain, aqad yang fasid ataupun berlaku persetubuhan shubhah” .

3) Saya ada membaca buku “Panduan Halal Haram” yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Saya menghadapi masalah dalam meyakinkan masyarakat, khususnya pengguna Islam bahawa makanan segera adalah haram kerana kesucian dan kehalalan makanan tersebut adalah diragukan (syubhah)

KFC kini dimiliki oleh Perbadanan Negeri Johor dan diakui halal manakala buku “Panduan Halal Haram” adalah hasil kajian secara umum Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

4) Apakah garis panduan pelupusan abu atau sisa bahan bakar ayat-ayat suci al-Quran?

Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-30 bertarikh 22 Ogos 1992:

  1. Al-Quran yang telah rosak, koyak, tidak lagi boleh dibaca dan bukan resam Uthmani hendaklah dilupuskan.
  2. Kaedah pemabakaran adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam di tempat yang dikawal.
  3. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urus Setia atau Majlis dan Jabatan Agama islam Negeri-Negeri. Ia dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.

    5) Apakah hukum pendermaan organ?

    Haram menderma seluruh badan bagi tujuan perubatan dan penyelidikan. Namun yang dibenarkan hanyalah anggota tertentu seperti kornia mata, buah pinggang, jantung dan hati.

    6) Siapakah yang harus bertanggungjawab menjaga seorang ibu antara anak lelaki dan anak perempuan?

    Wajib hukumnya anak-anak menjaga kebajikan ibunya. Haram menderhaka padanya dan wajib bersabar di atas segala kerenahnya khusus apabila umurnya semakin lanjut. Firman Allah SWT:

وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ ﴿٦٨

(Maksud: “Dan barangsiapa yang Kami panjangkan umurnya, nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (kembali menjadi lemah dan kurang akal) maka adakah mereka tidak memikirkannya.” Surah Yasin: 68

7) Apakah hukum anak-anak yang tidak mengambil tahu hal bapa sendiri dan bersikap derhaka?

Dosa derhaka kepada bapa termasuk dosa besar yang paling besar. Rasulullah mengingatkan agar tidak melakukan sesuatu yang menyakiti mereka dengan sabdanya:

Maksud: “Perlukah aku beritahu kamu tiga perkara dosa besar yang paling besar? Kami (para sahabat) menjawab: ‘Tentu, ya Rasulullah.’ Maka beliau berkata: ‘Menyekutukan Allah dan menderhaka kepada ibu bapa.’ Pada mulanya Rasul bersandar lalu beliau duduk untuk melanjutkan percakapan. ‘Begitu juga dengan pembohongan dan penyaksian palsu.’ Beliau terus mengulang-ulangnya sehingga kami ingin beliau berhenti.

Seorang bapa hendaklah bersabar dan berdoa semoga allah memberi hidayah kepada anak-anak. Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: “Keredhaan Allah ada kaitannya dengan keredahaan kedua ibu bapa dan kemurkaanNya bergantung kepada kemaraham ibu bapa.

8) Adakah pembogelan dalam penyiasatan dibolehkan dalam Islam?

Mendedahkan keaiban seseorang adalah dilarang dalam Islam berdasarkan hadith Nabi SAW: Maksud: “Dari Anas, bahawasanya aku melakui suatu kaum yang mempunyai kuku panjang dari tembaga, kemudian mereka mencakar dada dan wajah mereka sendiri. Tanyaku: “Wahai Jibri, siapakah kaum itu?”. Jawab Jibril: “Mereka adalah orang-orang yang sentiasa memburuk-burukkan orang lain dan menodai kehormatan mereka”. (HR abu Dawud) Maksud: Dari Said ibni Zaid, bahwasanya Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya antara dosa riba yang paling besar adalah seorang yang sentiasa memburuk-burukkan seorang Muslim tanpa alasan yang benar. (HR Abu Dawud, Al-Baihaqi dalam Syi’bul Iman)

Mendedahkan keaiban itu bermaksud dari segi perkataan atau perbuatan. Bagi tujuan penyiasatan, saya bersetuju dengan syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Bebas iaitu balai-balai polis diseluruh Negara dipasang alat pengimbas untuk memeriksa tubuh tahanan. Pemeriksaan fizikal melibatkan bahagian sulit baddan hendaklah dilakukan oleh doktor, pembantu perubatan atau jururawat bertauliah sama jantinanya dengan tahanan.

9) Apakah hukum membenarkan peronda bukan Islam masuk ke kawasan surau diri Jumaat bagi tujuan pendaftaran kehadiran peronda Rukun Tetangga?

Harus menggunakan perkarangan surau diri Jumaat bagi kehadiran peronda Rukun Tetangga terbabit. Al-Imam al-Nawawi dalam Kitab Syarah Sahih Muslim dalam jilid 12 halaman 87 telah menghuraikan: وَفِيْ هَذَا جَوَازٌ رِبْطًا لِأَسِيْرِ وَحَبْسِهِ وَجَوَازٌ إِدْخَالِ الْمَسْجِدِ الْكَافِرَ وَمَذْهَبُ الشَّافِعِيُّ جَوَازُهُ بِإِذْنِ مُسْلِمٍ سَوَاءٌ كَانَ الْكَافِرُ كِتَابِيًّا أَوْ غَيْرُهُ وَقَالَ عُمَرِ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيْزِ وَقَتَادَةٌ وَمَالِكٍ لَا يَجُوْزُ Maksudnya: “Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Dalam huraian tersebut telah menyatakan pendapat Mazhab Syafie menyatakan keharusan dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dalam kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun khalifah Umar Abdul Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskan.”

10) Saya pembekal E.M. (effective microorganism) yang boleh memakan mikrob-mikrob yang menyebabkan pencemaran dan boleh merawat air kumbahan najis khinzir menjadi bersih. Apakah hukum menerima upah dari pengusaha ternak khinzir tersebut?

Menerima upah dan bayaran hasil dari kemahiran merawat air kumbahan dan najis khinzir adalah diharuskan atas tujuan menyekat dari pencemaran udara di sebabkan air kumbahan tersebut dan menjaga kesejahteraan masyarakat setempat.

11) Apakah hukum meneroka tanah Kerajaan, rizab-rizab Kerajaan dan hutan simpan secara haram atau tidak sah?

Haram menceroboh tanah Kerajaan tanpa kebenaran pihak yang berkenaan.

12) Apakah hukum meracun rumput-rumpai di atas tanah perkuburan?

Harus hukumnya. Tiada nas yang melarangnya.

13) Saya amat memerlukan penjelasan berhubung dengan beberapa isu kerana saya amat khuatir dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Isunya adalah seperti berikut: i. Majlis makan beradap adalah tradisi Kolonial zaman penjajah yang kesinambungannya diteruskan hingga ke hari ini. ii. Majlis makan beradap sering diiringi dengan hentakan “drum” sekali bunyi satu pergerakan makan sehingga akhir. iii. Aturcara kedudukan anggota adalah diselang-seli antara anggota lelaki dan wanita. iv. Majlis pada akhirnya nanti akan diserikan lagi dengan suai kenal dan ramah mesra dengan Pegawai-pegawai akan diperkenalkan pada anggota dan beramah -mesra. v. Majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan berlanjutan sehingga ke dini hari. Isu aktiviti MES-MES. (Kelab Sarjan dan Peg. Waran): i. Isteri saya ketika kenaikan pangkat terpaksa memandikan anggota lelaki dengan air bercampur ais yang sepatutnya beliau juga dimandikan, oleh kerana simpati dari Pengerusi MES, maka anggota yang merupakan seorang ustazah dikecualikan. Selepas itu dia terpaksa makan “Burger Belacan” dalam keadaan saling berhadapan di antara lelaki dan perempuan sambil diketawakan oleh yang lain. ii. Aktiviti MES meraikan anggota sering diiringi dengan “Band” (kugiran dan hiburan lagha’) iii. Majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan berlanjutan hingga ke dini hari. Saya pernah mengutarakan kegusaran kepada beliau agar tidak menyertainya namun itu adalah arahan yang wajib dipatuhi tidak kira sama ada anggota itu seorang ustazah atau ustaz. Beliau enggan menamatkan perkhidmatan kerana berasa ralat akan tidak berpencen. Penjelasan Ybhg. S.S. amat saya perlu agar dapat membantu saya membuat keputusan dan tindakan bagi menamatkan kecelaruan ini.

Saya berpandangan bahawa budaya ini seharusnya tidak diteruskan pengamalannya kerana ia menjurus kepada perbuatan haram, percampuran antara lelaki dan perempuan, mendekatkan diri kepada perbuatan maksiat serta melalaikan dan terdapat unsure penghinaan sesama manusia. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW telah bersabda: لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوْقٍ فِيْ مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah SWT.” (Riwayat al-Tabrani)

14) Apakah hukum melihat wayang di pawagam.

Hukum melihat wayang di pawagam perlu diteliti dalam beberapa perkara. Pertama, sekiranya tayangan di pawagam itu berkisarkan cerita-cerita yang bermanfaat dan mempunyai pengajaran yang berguna maka hukumnya harus untuk menontonnya. Namun, sekiranya cerita-cerita yang ditayangkan menjurus ke aras unsur-unsur kemaksiatan atau keganasan maka haram ditonton. Kedua, sekiranya suasana di pawagam berkenaan dilihat berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan ajnabi maka hukumnya haram berada di tempat berkenaan.

15) Apakah hukum menghadiri sebuah majlis contohnya “annual dinner” yang dalamnya turut dihidangkan minuman keras?

Orang Islam adalah dilarang menghadiri sebarang majlis yang mengandungi unsur maksiat seperti majlis yang dihidangkan arak. Sabda Rasulullah SAW: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَقْعُدْ عَلَى مَائِدَةٍ يُشْرَبُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, janganlah dia berada dalam hidangan yang tersedia arak di dalamnya.” (Riwayat Imam Ahmad)

16)Sukacita dimaklumkan bahawa jenazah seorang muallaf berbangsa India yang telah meninggal dunia dan dikebumikan mengikut agama asalnya di daerah Slim River (kini dikenali sebagai Muallim). Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin mendapatkan fatwa daripada YABhg S.S. Tan Sri sama ada jenazah tersebut perlu digali semula untuk dikebumikan secara Islam atau tidak?

Saya berpandangan bahawa sekiranya mayat tersebut diyakini telah busuk dan hancur, ia tidak perlu digali semula. Namun, jika ia baru sahaja dikebumikan maka hendaklah digali semula serta dikebumikannya di perkuburan Islam. Hal ini bersandarkan nas yang terdapat di dalam kitab al-Majmu‘ jilid ke lima pada muka surat 248: اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا رَحِمَهُمُ اللهُ عَلَى أَنَّهُ لَا يُدْفِنُ مُسْلِمَ فِيْ مَقْبَرَةِ كُفَّارٍ ، وَلَا كَافِرَ فِيْ مَقْبَرَةِ مُسْلِمِيْنَ Maksudnya: “Telah bersepakat ulama Syafi‘eyyah bahawasanya seseorang Muslim tidak boleh dikebumikan di perkuburan Kafir dan seorang Kafir tidak boleh dikebumikan di perkuburan Muslimin.”

17)Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah saya akan mengadakan “Pertandingan Memancing” melibatkan hadiah yang lumayan lebih kurang di antara nilai RM10,000 hingga RM18 000. Manakala, yuran penyertaan RM70.00 bagi setiap joran. Di samping itu juga, ada cabutan bertuah. Sesiapa yang membayar RM2.00 atau dengan kadar yang tertentu akan mendapat satu kupon dan layak untuk menjadi pemenang cabutan bertuah. Berikut adalah beberapa persoalan mengenai program “Pertandingan Memancing” untuk perhatian pihak tuan: i) Apakah garis panduan yang membolehkan sesuatu pertandingan terselamat dari unsur-unsur perjudian? ii) Adakah cabutan bertuah yang dinyatakan di atas mempunyai unsur-unsur perjudian? iii) Jika sesuatu pertandingan itu memang telah thabit terjebak dengan unsur-unsur perjudian atau terkeluar daripada garis panduan yang diharuskan oleh Syarak maka bagaimanakah untuk membelanjakan seluruh aset dan keuntungan hasil dari pertandingan tersebut? iv) Apakah hukum menyertai pertandingan ini?

i) Untuk makluman tuan, sesuatu pertandingan itu dianggap selamat dari unsur perjudian sekiranya tiada terdapat sebarang unsur pertaruhan. Sila rujuk ‘Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah’ yang telah disediakan oleh pihak JAKIM melalui pautan ini: http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_peraduan_berasaskan_hadiah.pdf ii) Dalam kes ini, hadiah cabutan bertuah tidak boleh melibatkan wang yang dibayar oleh peserta sebagai yuran penyertaan atau apa-apa bayaran yang dikenakan. Hadiah hendaklah disertakan oleh pihak yang ketiga dengan menggunakan sumber yang lain. iii) Segala perbelanjaan bagi pertandingan tersebut termasuk keuntungan yang diterima hendaklah dimasukkan ke dalam peruntukan baitulmal. iv) Hukum menyertai pertandingan berkenaan bergantung kepada syarat-syarat atau terma-terma yang telah ditetapkan. Sekiranya bebas dari sebarang unsur perjudian, maka harus menyertainya begitu juga jika sebaliknya. Sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: وَالْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا Maksudnya: “Orang-orang Islam itu tergantung kepada syarat-syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (Riwayat al-Tirmizi)

Cetak

FaLang translation system by Faboba