1) Adakah boleh diambil kira pekerja-pekerja yang baru berpindah ke qaryah sebagai penduduk tetap untuk menunaikan solat Jumaat? Adakah anak-anak asal yang merantau menimba ilmu turut dikira sebagai jemaah Jumaat?

Berdasarkan kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Ulama Syafie’ menyatakan bahawa: لَا تَنْعَقِدُ الْجُمْعَةَ بِالْعَدَدِ الْمَطْلُوْبِ وَهُوَ أَرْبَعُوْنَ بِالْمُسَافِرِ، بَلْ لَّا بُدَّ مِنْ كَوْنِ الْأَرْبَعِيْنَ مُتَوْطِنِيْنَ، فَالْاِسْتِيْطَانُ شَرْطُ الْاِنْعِقَادِ لَا شَرْطَ الْوُجُوْبِ لِلْجُمُعَةِ، كَمَا أَنَّ شَرْطٌ صِحَّةٌ الْجُمُعَةِ هُوَ وُقُوْعُهَا فِيْ بِنَاءٍ لَا فِيْ صَحْرَاءٍ. Maksudnya: “Tidak sah solat jumaat sekiranya bilangan 40 orang termasuk orang yang bermusafir. 40 orang itu hendaklah dalam kalangan penduduk tetap (bermastautin), kerana tinggal tetap adalah syarat sah solat Jumaat dan bukan syarat wajib solat Jumaat.” Maka, wajib ke atas imam menunggu makmum yang bermastautin mencukupi sebelum memulakan solat Jumaat. Sekiranya tidak mencukupi, maka tunaikanlah solat Zohor atau menunaikan solat Jumaat di qaryah lain bagi mereka yang bermukim.

2) Apakah dibolehkan menggunakan perkataan ‘engkau’ dalam doa untuk merujuk kepada Allah?

Dibolehkan kerana penggunaan perkataan ini menunjukkan keakraban dan tiada jurang pemisahan antara Tuhan dan hambanya. Hal ini merujuk kepada penggunaan Bahasa Malaysia yang telah lama diguna dan diterima pakai dalam perbualan seharian. ‘Anta-dhamir lilmukhatab’ yang bermaksud engakau dalam Bahasa Arab dan dalam konteks doa ia tidak menjadi satu kesalahan.

3) Bagaimanakah dengan status amalan tarikat Sammaniah Malaysia?

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak tidak mempertikaikan tentang Amalan tarikat Sammaniah Malaysia. Namun, surat pengesahan bagi memperakukan kesahihan tarikat ini tidak dapat dikeluarkan kerana sering terdapat penyelewengan dalam amalan-amalan tarikat.

4) Apakah hukumnya imam memakai alat pembesar suara berpengepit yang pada wayarnya terdapat kesan najis?

Selagi wayar penyepit alat pembesar suara itu panjang dan bahagian yang terkena najis itu tidak bergerak/ bergoyang disebabkan pergerakan imam dan yakin bahawa ia tidak terkena najis tersebut maka ia tidak dikira najis.

5) Apakah hukumnya sekiranya lantai Masjid tidak sama rata? Adakah sah solat jemaah yang berkedudukan lebih rendah atau lebih tinggi?

Walaupun lantai tidak sama rata, ia masih berada dalam satu masjid dan berjamaah bersama imam.

6) Telah menjadi tradisi, keluarga saya akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa (Moreh) pada malam 27 Ramadhan. Tetapi, baru-baru ini pihak Jawatankuasa Masjid mahu menganjurkan sendiri moreh malam 27 tanpa mengambil kira perasaan kami.

Mengadakan moreh pada mana-mana malam dalam bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran yang sama jika di lakukan dengan ikhlas.

7) Apakah hukumnya sekiranya lantai Masjid tidak sama rata? Adakah sah solat jemaah yang berkedudukan lebih rendah atau lebih tinggi?

Walaupun lantai tidak sama rata, ia masih berada dalam satu masjid dan jemaah tidak terhalang dari melihat pergerakan imam maka, sah solat berjemaah tersebut.

8) Apakah hukumnya Imam solat Jumaat menanggung najis?

Sekiranya najis itu ditentukan melalui penglihatan makmum sendiri maka solat Imam berkenaan dikira batal dan wajib bagi imam untuk mengulangi solatnya semula. Makmum pula tidak wajib mengulangi solatnya.

9) Imam yang telah uzur tidak mahu meletak jawatan?

Sekiranya imam berkenaan masih meneruskan tugasnya tanpa berlaku sebarang kecacatan pada pergerakan mahupun pada lisannya maka solat dengannya dikira sah, namun sekiranya ada yang lebih layak dan sihat tubuh badan maka afdhal diserahkan tugas Imam kepada yang berkenaan.

10) Sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian ini telah menerima permohonan daripada Jawatankuasa Kariah Masjid Menglembu yang ingin memohon penjelasan dan kebenaran mengenai melaungkan azan sejam lebih awal sebelum masuk waktu Subuh. Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini ingin mendapatkan penjelasan mengenainya.

Berhubung dengan persoalan yang ditimbulkan, saya berpandangan bahawa tindakan melaungkan azan sejam sebelum azan Subuh (Fajar) adalah sunat bahkan digalakkan menurut pandangan Jumhur Ulama. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru: إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِاللَّيْلِ فَكُلُوْا وَاشْرَبُوْا حَتَّى تَسْمَعُوْا أَذَانٌ ابْنِ أُمِّ مَكْتُوْمٌ، زَادَ الْبُخَارِيُّ: وَكَانَ رَجُلًا أَعْمَى لَا يُنَادَى حَتَّى يُقَالُ: أَصْبَحَتْ، أَصْبَحَتْ. Maksudnya: “Bahawa Bilal melaungkan azan pada waktu malam. Oleh itu, makan dan minumlah (bersahur) sehingga kamu mendengar azan Ibnu Ummi Maktum. Al-Bukhari menambah, ‘Dia adalah seorang buta dan tidak akan azan sehingga diberitahu kepadanya, telah masuk waktu Subuh, telah masuk waktu Subuh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Sekiranya mahu berbuat demikian, eloklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada orang ramai mengenai tujuan azan berkenaan dibuat bagi meredakan sebarang bentuk kekeliruan di kalangan mereka. Walau bagaimanapun, tindakan mengalunkan bacaan al-Quran, zikir atau tahrim sama ada rakaman atau sebaliknya dengan menggunakan pembesar suara adalah tidak digalakkan bagi mengelakkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan masjid dan surau tersebut. Apatah lagi ada di kalangan penghuni berkenaan terdiri daripada kanak-kanak kecil yang sedang tidur, orang yang uzur dan sebagainya.

11) Di kesempatan ini, pihak kami memohon penjelasan YABhg Tan Dato’ Seri (Dr) berhubung beberapa perkara di bawah ini: i) Umur kambing dan biri-biri untuk akikah Saya inginkan kepastian bahawa berapa umur kambing yang boleh dibuat akikah, dan kiranya tiada rekod umur bagaimana untuk mengenal pasti kambing tersebut telah cukup umur/boleh dibuat akikah? Keduanya, adakah kambing berumur 6-8 bulan boleh dibuat akikah kerana kambing pada umur tersebut adalah sekitar 20-35kg yang ia sudah sesuai untuk dibuat sembelih dan kos yang rendah membolehkan ia dijual dengan harga lebih rendah dan mampu dibeli oleh rata-rata penduduk Islam di negara ini khususnya di negeri Perak. ii) Jantina kambing dan bebiri Bolehkah kambing betina dibuat akikah? iii) Kambing atau bebiri patah tanduk Bolehkah kambing yang patah tanduk dibuat akikah? iv) Kambing atau bebiri kasi Adakah kambing yang dikasi boleh dibuat akikah?

Jawapan kepada persoalan tuan adalah seperti berikut: i) Umur kambing dan bebiri untuk akikah ialah dua tahun masuk tahun ke tiga. Sekiranya umur kambing kurang daripada itu maka tidak sah untuk dibuat akikah. ii) Tidak timbul isu jantan atau betina dalam urusan korban atau akikah. Hal ini bermaksud kedua-duanya boleh digunakan untuk urusan akikah. iii) Sah korban dengan binatang yang tidak bertanduk atau patah tanduknya kerana masih dikira dalam kategori kecacatan yang dimaafkan. iv) Harus hukumnya mengkasi binatang tersebut bagi tujuan korban atau akikah.

12) Bilakah disunatkan bagi umat Islam untuk melaungkan takbir hari raya?

Jawapan kepada persoalan adalah seperti berikut: Disunatkan ke atas umat Islam untuk melaungkan takbir hari raya selepas terbenamnya matahari iaitu pada malam satu Syawal selepas selesai dari menunaikan solat Maghrib. Al-Imam al-Syafie telah menyatakan pandangannya di dalam kitab al-Umm, jilid kedua pada muka surat 519: قال الشافعي رضى الله عنه: يكبر الناس في الفطر، حين تغيب الشمس ليلة الفطر، فرادى وجماعة، في كل حال حتى يخرج الإمام لصلاة العيد، ثم يقطعون التكبير. Bermaksud: “Al-Imam al-Syafie r.a. telah berkata: “Umat Islam bertakbir pada hari raya ketika terbenamnya matahari pada malam Hari Raya ‘Aidilfitri sama ada secara individu mahu pun berjemaah pada semua keadaan sehinggalah keluarnya imam untuk menunaikan solat hari raya dan terhentilah takbir hari raya apabila bermulanya Takbiratul ihram.” Takbir pada Hari Raya Aidilfitri juga dikenali sebagai takbir mutlak atau takbir mursal. Ia boleh dilaksanakan sama ada di masjid, rumah serta ketika dalam perjalanan yang bermula pada malam hari raya sehinggalah pada pagi hari raya iaitu sebelum solat sunat Hari Raya ‘Aidilfitri ditunaikan.

13) Apakah sighah takbir hari raya?

Jawapan kepada persoalan adalah seperti berikut: Jabatan Mufti Negeri Perak setelah merujuk dan meneliti beberapa pandangan yang terdapat dalam mazhab Syafie maka berpandangan bahawa sighah takbir raya yang berdasarkan urutan adalah seperti berikut: 1. الله أكبر (tiga kali) 2. لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد 3. الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا، لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وهزم الأحزاب وحده، 4. الله أكبر كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا، لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون، لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده، 5. لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

14) Semasa menunaikan solat hari raya secara berjemaah, imam telah terlupa mengangkat takbir sebanyak lima kali ketika rakaat kedua lalu terus membaca surah al-Fatihah. Setelah ia diingatkan, imam tersebut mengulang takbir sebanyak lima kali kemudian barulah ia membaca surah al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan surah. Persoalannya, apakah hukumnya berkenaan situasi ini dan adakah solat tersebut sah menurut syarak?

Jawapan kepada persoalan adalah seperti berikut: Hukum mengangkat takbir selepas takbiratul ihram iaitu tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua adalah sunat. Oleh itu, sekiranya imam terlupa dari melakukannya pada mana-mana rakaat maka sah solat tersebut. Demikian juga, tidak harus ke atas imam untuk mengulangi takbir berkenaan apabila ia teringat semasa membaca surah al-Fatihah. Al-Imam al-Nawawi telah menjelaskan perkara ini di dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, jilid kelima pada muka surat 18: (فرع) لو نسي التكبيرات الزائدة في صلاة العيد في ركعة فتذكرهن في الركوع أو بعده مضي في صلاته ولا يكبرهن ولا يقضيهن فإن عاد إلى القيام ليكبرهن بطلت صلاته إن كان عالما بتحريمه وإلا فلا ولو تذكرهن قبل الركوع إما في القراءة وأما بعدها فقولان (الصحيح) الجديد أنه لا يأتي بهن لفوات محلهن وهو قبل القراءة .... (والصواب) الأول وبه قطع الجمهور ونص عليه في الأم واتفقوا على أنه لو تركهن حتى تعوذ ولم يشرع في الفاتحة أتي بهن لأن محلهن قبل القراءة وتقديمهن على التعوذ سنة لا شرط ولو أدرك الإمام في أثناء الفاتحة أو قد كبر بعض التكبيرات الزائدة فعلى الجديد لا يكبر ما فاته... Bermaksud: “(Cabang masalah) Jika seorang imam terlupa untuk mengangkat takbir tambahan semasa solat hari raya pada mana-mana rakaat lalu ia teringat semasa sedang rukuk atau selepasnya bahawa ia belum menyempurnakan takbir berkenaan. Oleh itu, apabila ia berdiri semula untuk menyempurnakan takbir tersebut maka batallah solatnya jika sekiranya ia mengetahui akan pengharaman mengenainya. Jika ia tidak mengetahuinya maka solatnya tidak batal. Namun, sekiranya ia teringat semasa sebelum ia rukuk sama ada ketika ia sedang membaca (al-Fatihah atau surah) atau setelah ia selesai membacanya maka terdapat dua pandangan. (Pandangan yang sahih) iaitu pandangan dari Qaul Jadid bahawasanya ia tidak melakukannya (takbir tersebut) kerana telah luput tempohnya iaitu dilakukan sebelum ia membaca surah al-Fatihah… (Pandangan yang betul) iaitu pandangan yang pertama dan ia telah diputuskan oleh jumhur ulama dan ia juga telah dinaskan di dalam kitab al-Umm. Ulama dalam mazhab Syafie juga telah bersepakat untuk tidak mengulanginya jika tertinggal dari melakukannya sehingga ia membaca isti‘azah iaitu sebelum membaca surah al-Fatihah kerana tempoh untuk melakukannya telah luput. Sedangkan melakukannya sebelum membaca isti‘azah adalah sunat hukumnya tanpa syarat. Sekiranya imam mengetahuinya semasa membaca surah al-Fatihah atau setelah melakukan sebahagian dari takbir tersebut maka berdasarkan pandangan menerusi Qaul Jadid, ia tidak perlu melakukannya atas perkara yang telah tertinggal itu…”

15) Apakah hukumnya jika pelaksanaan solat sunat khusuf adalah seperti solat sunat yang lain dengan ketiadaan dua kali rukuk dan dua kali qiam (berdiri)?

Jawapan: Sekiranya dilaksanakan solat sunat khusuf seperti mana solat sunat biasa iaitu dengan hanya sekali rukuk dan sekali qiam maka sah solat tersebut. Hal ini bersandarkan sebuah hadis daripada Abu Bakrah r.a.:
Bermaksud: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah menunaikan solat Khusuf dua rakaat sepertimana solat yang kamu tunaikan ini (solat sunat lain).” (Riwayat Ibnu Hibban)
Perhatian :
Bersama-sama dengan ini disertakan Kaifiyat Solat Sunat Gerhana Matahari dan Bulan terbitan Jabatan Mufti Negeri Perak sebagai panduan umum kepada masyarakat khususnya umat Islam di Negeri Perak. Walau bagaimanapun, ia adalah pilihan kepada umat Islam sama ada untuk melaksanakannya menurut kaifiyat yang diberi atau berdasarkan penjelasan yang terdapat pada soal jawab di atas mengikut kemampuan masing-masing.

Cetak

FaLang translation system by Faboba