1) Apakah hukum membahagikan tanah wakaf perkuburan kepada wakaf am dan wakaf perkuburan?

Tanah yang telah diwakafkan khas sebagai tanah perkuburan tidak boleh diubah tujuan asalnya.

2) Apakah hukum membahagikan tanah rizab perkuburan kepada wakaf am dan wakaf perkuburan dan persaraan?

Dibolehkan kerana tidak bersalahan mana-mana hukum syarak.

3) Apakah hukum membina padang futsal di atas tanah wakaf am?

Harus hukumnya membina padang futsal di atas tanah wakaf am.

4) Adakah dibolehkan membina bangunan dewan orang ramai di atas tanah rezab perkuburan Islam?

Tanah yang direzabkan sebagai tanah perkuburan Islam tidak boleh dibina sebarang bangunan yang bersifat kekal dan ditanam tanaman kekal di atasnya.

5) Apakah keharusan sesebuah syarikat membayar sebahagian sahaja jumlah zakat yang wajib kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melyu Perak manakala sebahagian bakinya diagihkan sendiri oleh syarikat?

Sesebuah syarikat perlulah membayar keseluruhan wang zakat terus kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam dan Adat Melyu Perak bagi mengelakkan pembahagian yang tidak mengikuti tata cara pengagihan asnaf bertepatan al-Quran. Pembayaran ini bertepatan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Seksyen 76:

“Majlis berkuasa memungut zakat dan fitrah yang kena dibayar oleh tiap-tiap orang Islam did lam Negeri Perak Darul Ridzuan mengikut Hukum Syarak bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan.”

Dalam kitab al-Majmu’ Syarhu al-Mazhab, Jilid 6, muka surat 166 menyatakan: Imam Rafi’e berkata bahawa ashab as-Syafieah (pengikut Mazhab Imam Syafie’) berpendapat bahawa jika pemerintah meminta zakat yang zahir, nescaya wajib untuk membayar kepada pemerintah tanpa khilaf semata-mata kerana taat kepada pemerintah. Jika mereka enggan, perangilah mereka, walaupun mereka mahu mengeluarkannya (zakat) sendiri. Orang yang hendak membahagikan zakat itu sendiri perlulah mempunyai ilmu yang cukup untuk menentukan dan mengenalpasti setiap asnaf yang telah ditetapkan dalam al-Quran.

6) Apakah hukum menjalankan projek pertanian sementara melalui kaedah sewaan di atas tanah yang diwartakan sebagai tanah perkuburan dan wakaf am?

i) Harus menggunakan tanah tersebut sebagai tempat projek pertanian melalui kaedah sewaan dengan syarat pertanian tersebut berbentuk sementara dan boleh dikosongkan semula pada bila-bila masa apabila diperlukan untuk tujuan asal.
ii) Perjanjian dengan penyewa hendaklah jelas agar tidak timbul masalah pada masa akan datang.
iii) Hasil sewaan tanah perlu dimasukkan dalam tabung tanah perkuburan tersebut.

7) Adakah dibolehkan membangunkan pondok sebagai Pusat Ilmu di tanah wakaf tapak masjid lama yang telah tidak digunakan lagi?

Tanah wakaf tapak masjid tidak boleh ditukar tujuan asalnya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "وَلَا يُوْهَبُ وَلُا يُبَاعُ" Maksudnya: “Harta wakaf tidak boleh dijual dan tidak boleh dihibahkan.” (Riwayat al-Bukhari). Namun, tanah sekitarnya bolehlah dimanfaatkan seperti membangunkan Pusat Ilmu seperti yang telah dinyatakan. Sekiranya masjid lama berkenaan masih wujud, eloklah dijadikan sebagai masjid tidak jami’ ( tidak didirikan solat Jumaat ) bertujuan untuk pengimarahannya semula.

8) Bagaimanakah kiraan gaji atau upah kepada amil zakat dalam kalangan kakitangan Majlis Agama Islam Perak?

Sebagai seorang kakitangan Majlis, mereka dibayar gaji atas tugas yang lain. Manakala bayaran sebagai amil pula seperti yang telah ditetapkan di dalam al-Quran iaitu 1/12 bagi amail fitrah dan 1/16 bagi amil harta.

9) Adakah peruntukan bagi pengubahsuaian masjid boleh diambil dari Baitulmal?

Masjid tidak termasuk dalam golongan asnaf yang lapan. Tetapi, masjid boleh mendapat perolehan zakat jika tiada jawatankuasa yang menguruskannya.

10) Seorang siak masjid telah menduduki sebuah tanah wakaf masjid dan membina kediaman untuk memudahkannya menjalankan tugas harian. Beliau bercadang untuk menjadikan tanah wakaf tempat beliau tinggal sebagai miliknya dan ditambah sedikit keluasan dengan harapan beliau dapat duduk kekal memandangkan tempat tinggalnya jauh daripada masjid.

Apabila sesuatu wakaf telah terjadi maka ia tidak boleh dijual, dihibahkan dan diperlakukan dengan sesuatu yang menghilangkan kewafakannya.. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “الوقف لا يبالع ولايوهب ولايورث”. (wakaf tidak dijual, tidak dihibahkan dan tidak diwariskan).

11) Seorang bekas Ketua Kampung, sebelum kematiannya telah berbicara dengan saya berkenaan lot tanahnya yang mahu diwakafkan menjadi tanh perkuburan. Allahyarham turut memaklumkan perkara tersebut kepada anak-anaknya. Namun, anak-anaknya telah meninggal dunia, dan tanah tersebut masih belum diwartakan sebagai tanah wakaf perkuburan. Apakah amanah yang telah dilafazkan secara lisan oleh Allahyarham masih boleh digunapakai?

Mengumpulkan terlebih dahulu waris-waris yang masih ada dan memaklumkan hasrat si mati supaya tidak timbul permasalahan di masa akan datang. Hal ini perlu dilakukan sebelum dipanjangkan ke Bahagian Hartanah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bagi tujuan pendaftaran dan gazet.

12) A mempunyai tanah di Lot A1 sebanyak 7/12 hektar. Manakala, B mempunyai tanah yang diwakafkan di Lot A2 sebanyak 7/24 hektar dan tanah wakaf lain di Lot B2 sebanyak 7/24 hektar. A mencadangkan agar membuat pindahmilik silang. Pihak A akan mengambil Lot B1 iaitu 7/24 hektar manakala pihak B akan memiliki Lot A1 iaitu sebanyak 7/12 hektar. Adakah dibolehkan untuk melakukan pindahmilik bersilang (cross transfer)?

Dicadangkan supaya tanah tersebut dibeli oleh pihak B memandangkan ketiadaan dharurah untuk membuat pindah miliksilang (cross transfer).

13) Apakah status sekolah Agama Rakyat yang dibina atas tapak yang diwartakan sebagai sebuah masjid?

Mesyuarat Jawatankuasa Negeri Perak telah meluluskan untuk ditukar maksud warta kepada wakaf tapak sekolah agama rakyat. Namun, jika tanah tersebut diperlukan untuk pembinaan masjid di kemudian hari maka pihak sekolah hendaklah menyerahkan tanah tersebut.

14) Si mati (isteri) beragama Islam berkesedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam beragama Hindu dan telah mempunyai dua orang anak lelaki. Kedua-dua anak si mati telah telah memeluk agama Islam pada tahun yang lalu. Oleh itu, adakah mereka layak mewarisi harta si mati?

Kedua-dua anak si mati yang telah memeluk Islam boleh mewarisi harta si mati. Tambahan pula, anak-anak tersebut mempunyai hubungan nasab dengan si mati yang merupakan sebab utama bagi mereka untuk mewarisi harta yang ditinggalkan oleh ibu mereka. Hal ini telah dinyatakan secara jelas dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah karangan Dr. Muhammad Ali al-Sabuni pada muka surat 82 iaitu: هُنَاكَ صِنْفٌ مِنَ الْوَرَثَةِ، لَا يَحْجُبُوْنَ حَجْبٌ حِرْمَانِ أَصْلًا لِأَنَّهُمْ لَا بُدَّ لَهُمْ أَنْ يَرِثُوْا، وَهُمْ سِتَّةَ أَفْرَادٍ: فَالْأَوَّلُ، الْإِبْنُ الصِّلْبِيِّ..... Maksudnya: “Terdapat kategori tertentu dalam isu perwarisan yang tidak menghalang dengan halangan syarak kerana mereka sememangnya layak untuk mewarisi pusaka tersebut. Ada enam kategori, pertama anak kandung...”

15) Adakah kami, pihak masjid memohon alat siaraya masjid lain memandangkan mereka telah mempunyai siaraya yang baru. Tapi, siaraya yang lama adalah sumbangan dan waqaf orang ramai yang telah tidak digunakan..

Barang-barang waqaf masjid yang telah tidak digunakan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke 140 yang bersidang pada 27 Ogos 1997 telah menyatakan: “Bahan binaan bangunan yang tidak sesuai digunakan selepas pembaikan masjid yang rosak boleh dilupuskan dengan cara yang paling menguntungkan masjid iaitu : a) Peralatan masjid yang lama dan tidak digunakan lagi oleh masjid tetapi masih dalam keadaan baik, hendaklah ditawarkan terlebih dahulu kepada masjid-masjid lain yang memerlukan. b) Apabila masjid lain tidak memerlukan, peralatan tersebut hendaklah dijual dan hasil jualan itu dimasukkan ke tabung pembangunan masjid atau untuk kemaslahatan masjid.”

16) Terdapat pihak yang berhasrat untuk membina sebuah gelanggang futsal di atas tapak Tanah Wakaf Am (Wakaf Saraan Masjid) dan ia bersebelahan dengan bangunan masjid. Mohon pandangan YBhg Tan Sri berkaitan perkara tersebut.

Harus hukumnya membina futsal di atas tanah wakaf am tersebut. Hal ini kerana tanah wakaf am adalah untuk tujuan umum umat Islam seperti kemudahan atau pembangunan ekonomi umat Islam menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan berasaskan hukum Syarak. Ia berbeza dengan tanah wakaf khas yang diperuntukkan bagi tujuan manfaat tertentu umat Islam seperti pembinaan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan Islam dan lain-lain yang telah dikhususkan oleh pewakaf.

17) Adalah dimaklumkan bahawa bapa saya, M. Adnan bin Saidi telah meninggal dunia pada 23/02/1959 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Beliau telah membuat wasiat “Will of M. Adnan bin Saidi” dan salinan surat keterangan seperti yang dilampirkan bersama-sama ini. Saya amat berbesar hati sekiranya pihak Tan Sri Dato’ Seri Mufti dapat memberi pandangan sama ada ia adalah hibah atau wasiat.

Untuk makluman tuan, jika pembahagian harta ini berkuatkuasa sebelum M. Adnan bin Saidi meninggal dunia, maka ia menjadi hibah. Manakala, jika ia berlaku selepas meninggal dunia maka ia menjadi wasiat. Namun, dinasihatkan supaya perkara ini dirujuk ke Mahkamah Syariah yang berdekatan bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenainya.

18) Suami saya telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri (saya), ibu, dan 3 orang anak yang berumur lebih 21 tahun dan telah tamat belajar (anak gemulah dengan isteri terdahulu). Saya juga telah menerima bayaran ganjaran pencen gantian cuti rehat Allahyarham suami yang dibayar 9/10 atas nama saya dan 1/10 kepada ibu gemulah. Mengikut kelayakan yang dikeluarkan oleh pihak JPA, penerima ganjaran dan pencen terbitan adalah: i. Isteri ii. Ibu iii. Anak-anak berumur 21 tahun Saya ingin kepastian bagi memuaskan hati semua pihak adakah bayaran-bayaran yang diterima itu adalah hak saya mutlak (mengikut JPA) atau ada hak anak-anak gemulah. Pembahagiannya adakah perlu mengikut faraid atau terpulang kepada saya? Saya bertanya yang demikian kerana bercadang untuk membahagi secara samarata antara saya dan anak-anak memandangkan mereka adalah darah daging gemulah.

Untuk makluman puan, menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988 telah membincangkan berkenaan Ganjaran Terbitan dan Pencen Terbitan “Muzakarah telah memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.” Gantian cuti rehat ialah cuti rehat yang tidak dapat dihabiskan dalam satu-satu tahun bekerja dan dikumpulkan sehingga maksimum 120 hari, dan digantikan dengan wang tunai. Cuti rehat tesebut telah wujud semasa pekerja itu masih hidup dan berterusan sehingga bersara. Setelah bersara, cuti rehat yang dikumpulkan itu dikira dan digantikan sejumlah wang, maka ia menjadi milik pesara berkenaan. Justeru, saya berpandangan bahawa Gantian Cuti Rehat termasuk dalam harta pusaka dan perlu diagih berdasarkan kaedah hukum faraidh. Jika puan bermurah hati untuk membahagi-bahagikan hak puan kepada anak-anak gemulah secara samarata, itu adalah hak puan untuk berbuat demikian.

19) Adakah wajar zakat diagihkan sendiri tanpa melalui institusi yang dipertanggungjawabkan?

Dalam kitab al-Majmu’ Syarhu al-Mazhab, Jilid 6, muka surat 139 menyatakan: قَالَ الرَّافِعِيُّ حِكَايَةً عَنِ الْأَصْحَابِ: لَوْ طَلَبَ الْإِمَامُ زَكَاةُ الْأَمْوَالِ الظَّاهِرَةِ وُجِبَ التَّسْلِيْمُ إِلَيْهِ بِلَا خِلَافَ بَذْلًا لِلطَّاعَةِ، فَإْنْ امْتَنَعُوْا قَاتَلَهُمْ الْإِمَامُ، وَإِنْ كَانَ مُجِيْبِيْنَ إِلَى إِخْرَاجِهَا بِأَنْفُسِهِمْ،... Maksudnya: “Imam Rafi’e berkata bahawa ashab as-Syafieah (pengikut Mazhab Imam Syafie’) berpendapat bahawa jika pemerintah meminta zakat yang zahir, nescaya wajib untuk membayar kepada pemerintah tanpa khilaf semata-mata kerana taat kepada pemerintah. Jika mereka enggan, perangilah mereka, walaupun mereka mahu mengeluarkannya (zakat) sendiri.” Orang yang membahagikan zakat sendiri perlu mempunyai ilmu yang cukup untuk menentukan dan mengenalpasti setiap asnaf yang telah ditetapkan dalam al-Quran.

20) Apakah syarat-syarat yang harus dipatuhi untuk memolehkan seseorang individu/ syarikat mengagihkan zakatnya sendiri?

Adapun jika harta batiniah, maka dalam Mazhab Syafie terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi apabila hendak mengagihkan tanpa amil. - Jika semua golongan ada, maka ia wajib diserahkan kepada mereka semua dan tidak boleh dikecualikan walaupun satu golongan. - Jika satu golongan tiada, bahagiannya dibahagikan kepada golongan yang lain. - Jika bahagian satu golongan melebihi keperluan ahli golongan itu, lebihan perlu diserahkan kepada golongan yang lain. - Zakat dibahagikan kepada semua golongan yang ada secara rata walaupun keperluan mereka berbeza kecuali amil, dia mendapat upah sebelum zakat dibahagikan berdasarkan apa yang telah dijelaskan. Tidak disyaratkan sama rata antara ahli bagi satu golongan bahkan boleh dilebihkan sebahagian dari yang lain. Apabila pemilik mahu membahagikannya sendiri ataupun melalui wakilnya, dia wajib membahagikannya kepada 3 orang setipa golongan sekiranya bilangan mereka tidak dapat dikira. Sekiranya boleh dibilang, mudah diketahui dan boleh ditetapkan maka zakat tersebut wajib diserahkan kepada semua. Jika dia tidak memberi kepada salah seorang dan dia tahu, maka hendaklah dia memberi dengan nilai harta yang paling minima.

21) Terdapat pihak yang menggunakan isu ketidaktelusan dan ketidakkepercayaan kepada institusi zakat sebagai alasan untuk tidak menunaikan zakat kepada institusi yang dilantik. Apakah pandangan Tan Sri?

Pihak yang menggunakan alasan ketidaktelusan dalam institusi-institusi zakat hendaklah membawakan bukti sebagai penguat kepada tuduhan mereka.

22) Bagaimanakah cara untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat di institusi yang telah dilantik berbanding mengagihkannya sendiri?

Mengukuhkan dan memperkasakan institusi zakat di setiap peringkat sama ada dari sudut pentadbiran, pengagihan dan sebagainya supaya masyarakat dapat menanam kepercayaan bahawa wang zakat merekea sampai kepada yang sepatutnya.

23) Saya adalah salah seorang Imam dan Amil Zakat harta yang telah dilantik oleh Majlis Agama Islam dan Zakat Perak dan telah berkhidmat lebih kurang 10 tahun sehingga ke hari ini. Persoalan saya adalah: Bolehkah saya mengambil bahagian 1/16 di atas zakat harta saya sendiri? Apakah hukumnya di atas pengambilan itu? Adakah halal atau sebaliknya?

Berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji, juzuk satu pada muka surat 321 ada dinyatakan: “Amil: Pegawai dan pemungut zakat yang dilantik oleh pemerintah untuk mengumpul dan membahagikan zakat. Mereka diberikan upah berdasarkan kerja yang mereka lakukan; tidak boleh ditambah dan tidak boleh diberikan peratus tertentu daripada hasil kutipan. Hal ini kerana tidak ada dalil dalam syariat Allah mengenainya. Mereka hanyalah orang yang diberikan upah, jadi mereka diberikan upah berdasarkan kerja mereka.” Berdasarkan penjelasan mengenai takrifan amil di atas, maka tindakan untuk mengambil sendiri bahagian amil adalah tidak dibolehkan walaupun zakat tersebut adalah zakat harta sendiri.

Cetak

FaLang translation system by Faboba