1) Adakah dibolehkan membina pusat pengajian tahfiz al-quran di ruangan bawah masjid?

Tiada halangan untuk menggunakan bahagian bawah masjid sebagai pusat pengajian tahfiz al-quran.

2) Bagaimanakah menguruskan aset terpakai masjid?

Bahan binaan yang tidak lagi digunakan selepas pembaikkan masjid boleh dilupuskan dengan cara yang paling menguntungkan masjid:
1- Peralatan masjid yang masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan, terlebih dahulu ditawar kepada masjid yang memerlukan.
2- Apabila masjid lain tidak memerlukan, peralatan tersebut hendaklah dijual, dan wang jualan dimasukkan ke tabung pembangunan masjid atau untuk kemaslahatan masjid.

3) Apakah hukum membina bangunan seperti bangsal sementara di atas tanah perkuburan Islam semasa aktiviti gotong-royong?

Membina bangunan yang tidak kekal di atas tanah perkuburan Islam adalah harus. Di samping itu, pergaulan antara ajnabi mestilah dijaga semasa aktiviti gotong-royong tersebut.

4) Pihak masjid ingin mengadakan tazkirah selama 30 minit sebelum masuk waktu Jumaat, tetapi dibimbangi akan mengganggu jemaah lain yang ingin melakukan ibadat.

Hendaklah dibina sebuah tempat khusus seperti bilik atau dewan khusus untuk menyampaikan tazkirah bagi mengelak dari mengganggu jemaah lain yang sedang solat dan sebagainya.

5) Adakah diharuskan menggunakan wang khairat pembinaan masjid untuk kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan kerja, seperti upah melukis pelan, urusan-urusan pengkomputeran dan sebagainya?

1- Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali ke-152 telah membincangkan isu ini dan memutuskan tidak harus menggunakan kutipan derma pembinaan masjid, sekolah atau sebagainya untuk dijadikan saguhati kerana telah menyalahi niat asal penderma.
2- Pengambilan wang derma itu juga menyalahi kaedah wakaf “ولا يوهب ولا يباع”. Pemberian saguhati hendaklah dari sumber yang lain.

6) Adakah dibolehkan mendirikan kelas tadika Islam di ruangan bawah masjid?

1- Ruangan bawah masjid turut dikira sebagai kawasan masjid walaupun tidak digunakan untuk solat kerana berkemungkinan tenaga pengajarnya adalah wanita. Adapun wanita yang dalam keadaan haid adalah haram untuk memasuki masjid.
2- Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“وقد روى ابن ماجه في سننه عن واثلة بن الأسقع رضيالله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "جنبوا مساجدكم صبيانكم، ومجانينكم، وشراءكم، وبيعكم، وخصوماتكم، ورفع أصواتكم..." إلخ.”

Maksud: Diriwayatkan Ibn Majah dalam sunannya dari Athlah bin Asqak’ r.a. katanya, bahawa Rasullullah SAW bersabda: “Jauhilah masjid kamu dari kanak-kanak, orang gila, sebarang kejahatan, jual beli dalam masjid, permusuhan, meninggikan suara…” Maka, kanak-kanak hendaklah dipantau apabila berada di dalam masjid kerana dikhuatiri mereka akan membuat bising atau meninggalkan najis di dalam masjid.

7) Apakah hukum memindahkan kubur Islam di luar kawasan perkuburan sesuatu kampung dan memindahkannya di tanah perkuburan kampung tersebut?

1- Harus hukumnya memindahkan qubur tersebut jika telah dipastikan bahawa tanah berkenaan adalah tanha persendirian dan bukannya tanah wakaf.
2- Kerja-kerja pemindahan hendaklah disaksikan oleh Pegawai Agama dari Pejabat Agama Daerah.

8) Saya telah mewakafkan sebidang tanah untuk membina masjid sekaligus mahu membina makam persendirian untuk keluarga saya yang mempunyai 11 adik beradik. Saya juga akan turut memindahkan qubur ayah saya ke makam tersebut.

1) Apakah hukum pembinaan Makam persendirian?
2) Adakah benar sesebuah Pusara tidak boleh dibina keterlaluan?
3) Apakah garis panduan yang dibenarkan?

JAWAPAN :
1) Boleh membina makam keluarga dengan syarat tanah tersebut adalah tanah persendirian dan tidak mengganggu wakaf untuk tujuan pembinaan masjid.
2) Berdasarkan kitab al-Majmu’ jilid 5 muka surat 260 menyatakan bahawa:
“Sekiranya kubur itu milik persendirian, adalah harus membina bangunan, namun ianya dihukumkan makruh dan tidak perlu dirobohkan.” Dibolehkan membina pusara atau binaan di atas kubur di tanah persendirian bukan di tanah am. Tidak berupa kubah, masjid, bilik dan lain-lain yang memakan ruang sehingga boleh menimbulkan riak kepada ahli keluarga.
3) Berdasarkan kitab Bughyah al-Tullab, jilid 2, muka surat 27 menyatakan bahawa:
“Dan sunat meninggikan qubur kira-kira sejengkal supaya diketahui orang akan qubur dan diziarahi serta dihormati.” Pada halaman 29, kitab yang sama menyatakan bahawa: “Dan sunat diletakkan batu nisan di kepala dan di kakinya atau pelepah tamar atau kayu.”

9) Bagaimanakah menguruskan peralatan masjid lama yang masih boleh digunakan?

Barang-barang lama yang boleh digunakan hendaklah digunakan dan sekiranya tidak diperlukan hendaklah ditawarkan kepada masjid-masjid atau surau-surau yang memerlukan sebelum dijual dan hasil jualan dimasukkan ke tabung pembangunan masjid.

Cetak

FaLang translation system by Faboba