gerhana Pada 31 Januari 2018 M / 15 Jamadil Awal 1439 H (Rabu) umat Islam di Perak dan di seluruh Malaysia akan melihat satu lagi petunjuk kebesaran Allah SWT iaitu peristiwa Gerhana Bulan Penuh.  Bagi negeri Perak kita akan dapat melihat peristiwa gerhana bulan ini ketika Bulan baru terbit di ufuk Timur. Ia dijangka akan berlaku bermula jam 7.48 malam hinggalah jam 11.11 malam ini. Kemuncak gerhana akan berlaku pada jam 9.27 malam, dan ketika itu kita akan melihat warna Bulan akan bertukar menjadi hitam kemerahan.

Selari dengan saranan Nabi SAW ketika kita melihat gerhana, maka kita disunatkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana Bulan diiringi dengan khutbah. Perlaksanaan solat sunat ini dapat dibuat di antara jam 7.48 malam hinggalah jam 11.11 malam. Khutbah boleh didapati dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Perak (http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/info_rujukan/khutbah/khutbah_gerhana_jan18.pdf).

Di samping melaksanakan solat dan mendengar khutbah kita juga disarankan untuk membanyak tasbih, tahmid, takbir dan istighfar sepanjang berlakunya gerhana. Semua ibadah ini dilakukan agar kita sedar bahawa kita hanyalah hamba kepada Allah SWT, yang dihidupkan sementara di muka bumi ini untuk kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

Sehungan dengan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak akan mengadakan Majlis Solat Sunat dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh bertempat di Masjid Muhammad al-Fateh, Taman Jati, Meru, Perak pada 31 Januari 2018 M (Rabu). Majlis ini akan dimulakan lebih awal pada jam 3.00 ptg dengan sesi sembang santai falak, pameran, cerapan Matahari dan jualan. Perlaksanaan solat sunat gerhana akan diadakan selepas Maghrib. Selepas Isyak pula, program cerapan gerhana bulan akan dijalankan. Pihak jabatan juga akan menyediakan beberapa teleskop dan penerangan mengenai gerhana pada malam tersebut kepada semua pengunjung. 

Maka, Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan agar semua masjd, surau dan orang perseorangan dapat melaksanakan solat sunat gerhana yang jarang-jarang dapat dilaksanakan ini. Ia juga adalah kesempatan yang amat baik untuk kita dapat melihat peristiwa Gerhana Bulan Penuh yang sangat menarik untuk dicerap. Semua ini adalah untuk menyedarkan kita tentang kebesaran Allah SWT.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel