rukyah syawalSEGARI, 14 JUN 2018 – Program Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H bersamaan 2018M telah diadakan dengan jaya pada hari Khamis yang lalu. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 1 Syawal setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah YB Dr. Aziz Bin Bari, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan sekitar daerah Manjung.

 Program bermula dengan bacaan tahlil selepas solat Asar. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Perak. Ia diikuti dengan Taklimat Kedudukan Hilal Syawal yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan. Ia bermula sekitar jam 7.00 petang. Lebih 200 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai.

 Pada jam 7.50 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Syawal telah kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Ini adalah buat kali pertama anak bulan Syawal telah kelihatan di sini sejak 15 tahun yang lalu. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat Maghrib berjemaah.

 

Cetak Emel