1 IPOH, 25 FEBRUARI 2020 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini. Ia telah berlangsung pada 24 dan 25 Februari, di Casuarina Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh. Muzakarah ini merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perak yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Muzakarah pada kali ini adalah kali kedua diadakan bertaraf antarabangsa setelah diangkat ke peringkat antarabangsa pada tahun 2018. Tema yang telah diangkat pada kali ini ialah, ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin, 24 Februari 2020.

Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari pertama dengan dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut berkenan hadir DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak, DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak serta DYAM Raja Puan Muda Perak. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh A.F. Ustaz Mohd Kamaruzzaman Bin Daud. Beliau memperdengarkan bacaan ayat berkaitan kepemimpinan sesuai dengan tema muzakarah, iaitu Surah Ali Imran ayat 33 hingga 37. Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, seterusnya Titah DiRaja oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh YBhg. Dr. ‘Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi, Setiausaha Kesatuan Ulama’ Sedunia, Qatar. Beliau membentangkan kertas kerja utama yang juga merupakan tema muzakarah iaitu ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’.

Pembentang-pembentang kertas kerja pada muzakarah kali ini ialah YBhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bin Bakar, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Bin Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA, S.S. Datuk Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz Bin Hj. Jaafar, Mufti Negeri Sabah serta YBhg. Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, peguambela dan peguamcara. Turut diadakan ialah Forum Eksekutif yang mengulas dan mengupas tema muzakarah. Ahli panel forum terdiri daripada YBhg. Prof Dato’ Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, YBhg. Prof. Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dan YBhg. Tan Sri Musa Bin Tan Sri Haji Hassan, Mantan Ketua Polis Negara. Selain itu, turut diadakan Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam pada Isnin malam bagi membincangkan deklarasi yang mendokong tema agar Kemuliaan Umat Islam di negara ini dijunjung kembali. Seramai 21 orang ulama’ dan cendiakawan Islam telah dijemput bagi memberi idea dan buah fikiran dalam pembentukan deklarasi tersebut.

Muzakarah berakhir dengan majlis perasmian penutup pada Selasa. Majlis telah dirasmikan oleh wakil kepada Menteri Besar Perak iaitu Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pada majlis tersebut, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Prof. Dr. Hj. Jamil Bin Hashim telah membentangkan deklarasi yang dibentuk hasil Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam.

2 3 1
2 3 1
2 3 1

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel