1 SEGARI, 12 APRIL - : Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H / 2021M telah diadakan dengan jayanya di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari pada Isnin 29 Syabaan 1442H bersamaan 12 April 2021M. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kol. (Bersara) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Tuan Sharul Azam Bin Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak dan S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
Majlis bermula pada 5.30 petang dengan bacaan tahlil dan doa yang dibimbing oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Bahagian Fatwa. Setelah selesai bacaan tahlil, majlis diteruskan lagi dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Muhammad Faris bin Muhammad Ismi, Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Kajian Fatwa Negeri Perak. Kemudian Taklimat Kenampakan Hilal Ramadan 1442H telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Amri Alhusni bin Mohamad Dasuki, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak.

Setelah Taklimat Kenampakan Hilal selesai para tetamu dan Ahli Jawatankuasa Rukyah melaksanakan aktiviti rukyah iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan teleskop yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak. Apabila aktiviti rukyah hilal selesai setelah anak bulan terbenam, S.S. Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti mewakili S.S. Mufti Negeri Perak telah mengumumkan bahawa hilal tidak kelihatan dan melaporkan kepada Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja Malaysia. Majlis diteruskan dengan solat Maghrib, jamuan makan malam, solat Isyak secara berjemaah dan berakhir setelah para tetamu menikmati jamuan minum malam selepas solat sunat Tarawih secara berjemaah. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urus setia dan tetamu yang terlibat menjayakan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H pada kali ini.

1 3 4

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak

FaLang translation system by Faboba