• Utama
  • Rakyat
  • Koleksi Umum
  • Artikel Khas
  • Penjelasan : Gerhana Bulan Penumbra Pada 23 Mac 2016m Dan Keharusan Solat Sunat Gerhana
Jadual Menunjukkan Perbezaan Ketara Perubahan Cahaya Bulan Ketika Fasa Gerhana Penuh, Separa Dan Penumbra.

(Sumber : www.mreclipse.com)

Bil Gambar Jenis Gerhana Bulan
1. Gerhana Bulan Penuh
2. Gerhana Bulan Separa
3. Gerhana Bulan Penumbra
Bagaimanapun kesan bayang penumbra bumi yang jatuh ke atas bulan, tidak sejelas bayang umbra. Menurut kajian Espanek dan Meeus, bayang penumbra gerhana bulan boleh dikesan dengan mata kasar dan peralatan optik oleh seorang ahli falak apabila fasa bulan memasuki 60% bayang penumbra. Jika ia diukur dengan nilai magnitud gerhana, nilainya perlu melebihi -0.6. Ini bermakna sentuhan pertama (P1) dan sentuhan keempat (P4) penumbra adalah sangat mustahil untuk dicerap dengan mata atau peralatan optik. Bagi masyarakat awam kesan gelap bulan hanya dapat dikesan ketika 5% atau 0.05 magnitud gerhana. Ini bermakna gerhana bulan separa telah pun berlaku. 

Pada 23 Mac ini, bulan akan mula merentasikan  bayang penumbra bermula jam 5.39 pm (P1). Bulan akan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra pada jam 9.54 pm (P4). Magnitud maksimum gerhana penumbra kali ini hanya mencapai -0.7 pada jam 7.47 pm. Bulan tidak akan menyentuh bayang umbra. Ini berikutan matahari berada 9 darjah dari titik nod sementara bulan pula berada 14 darjah dari titik nod. Sudut satah bulan berbanding dengan ekliptik pula melebihi 1 darjah.  Ini menyebabkan bulan hanya akan memasuki bayang penumbra pada 70% saja sebelum keluar semula. Umumnya bagi  Malaysia, kita akan berpeluang menyaksikan gerhana pada magnitud -0.7, kerana bulan telah terbit ketika itu. Bagi umat Islam, solat gerhana sunat dilaksanakan ketika berlakunya gerhana. Para ulama telah sepakat meletakkan syarat bahawa solat gerhana hanya akan dilaksanakan ketika jelas kesan gelap di bulan. Berdasarkan pandangan Imam Syafie waktu solat gerhana bulan secara khususnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian :

  • Waktu Permulaan - Waktu permulaannya ialah bila dilihat berlakunya gerhana bulan iaitu gelap seluruh atau sebahagian bulan. Jika berlaku keraguan, maka dikira tidak berlaku berdasarkan kaedah fiqh iaitu al-ashlu adamuhu ( asal sesuatu itu tiada ).
  • Waktu Akhir - Bagi akhir waktu solat gerhana bulan, terdapat 2 keadaan :
    • Tamat gerhana dengan terang kembali bulan sepenuhnya.
    • Terbit Matahari tetapi bukan dengan terbit fajar sadiq atau kazhib

Namun Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada 23 Mac ini, tidak mudah untuk dikenal pasti oleh mata kasar. Ini kerana bulan akan hanya memasuki bayang penumbra yang agak kabur, tanpa menyentuh bayang umbra yang lebih gelap. Apatah lagi tanpa bantuan dan rujukan kepada hisab yang disediakan terlebih dahulu.Walaupun dari sudut ilmu falak ia dinamakan gerhana, namun kerana syarat gelap yang nyata itu tidak dipenuhi, maka solat gerhana tidak diharuskan. Permukaan bulan hanya akan mengalami sedikit perubahan warna dari putih bersinar ke warna putih suram, malah pencerap mungkin keliru dengan warna bulan yang kelihatan malap, hingga disangka perubahan cahaya bulan hanyalah kerana wujudnya awan. Maka berdasarkan keadaan di atas, solat sunat gerhana bulan penumbra pada 23 Mac ini, tidak diharuskan kerana syarat kenampakan tidak dipenuhi. Namun jabatan ini akan tetap menjalankan cerapan dan kajian bagi tujuan pengumpulan data. Dapatan kajian ini, akan dianalisis bagi mendapatkan nilai peratus dan magnitud gerhana yang akan dapat dilihat oleh mata manusia. Maka Jabatan Mufti Negeri Perak mengalukan-alukan bagi sesiapa saja yang berminat untuk menjadi responden dalam kajian. Semoga hasil sumbangan anda semua akan memperkayakan lagi khazanah ilmu falak di Malaysia.

  • 1
  • 2

Cetak Emel