• Utama
  • Rakyat
  • Koleksi Umum
  • Artikel Khas
  • Pandangan Hukum Berkaitan Menghisap Vape (Rokok Elektrik)
PENDAHULUAN

Dewasa kini, pelbagai bentuk dan cara berpakaian yang digunakan oleh kaum wanita dalam melaksanakan ibadat solat sama ada yang selaras dengan syariat Islam mahupun yang bercanggah dengannya. Kebiasaannya, kaum wanita dilihat sering memakai set kain putih yang dikenali sebagai telekung setiap kali menunaikan solat dan menjadikannya suatu kebiasaan yang tidak boleh ditinggalkan. Hakikatnya, penggunaan telekung adalah untuk memudahkan para wanita yang ingin menunaikan solat sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah dengan sempurna, namun ia bukanlah syarat wajib untuk menunaikan solat.

Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: “ Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali memasuki masjid”. (Al-A’raf: 31)

Pakaian yang indah dalam ayat ini bermaksud pakaian yang boleh untuk menutup aurat. Dalam pada itu, masjid pada ayat tersebut bermaksud solat. Jadi, ayat di atas mengandungi erti, " tutupilah aurat kamu setiap kali hendak solat ".
Hakikatnya, wanita yang ingin menunaikan solat tidak semestinya perlu memakai telekung putih sepertimana kebiasaan umum. Bahkan, kita diharuskan untuk memakai pakaian selain daripada telekung untuk menunaikan solat asalkan ianya menutup aurat.  Tatacara berpakaian harian seperti labuh, longgar dan dapat menutup aurat dengan sempurna diperlukan bagi menepati piawaian syarak disamping dapat melaksanakan ibadat solat.
Syarat sah solat adalah syarat yang mesti dipenuhi sebelum mengerjakan solat. Jika salah satunya tiada, maka solat itu tidak sah. Antara syarat-syarat sah solat adalah seperti berikut:
  1. Mengetahui masuknya waktu solat.
  2. Suci dari hadas besar dan kecil.
  3. Suci badan, pakaian, dan tempat solat daripada najis.
  4. Menutup aurat.
  5. Menghadap ke arah kiblat.
AURAT WANITA KETIKA SOLAT

Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah solat yang perlu diambil kira bagi wanita dalam memastikan ibadat solat diterima oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ
Maksudnya:  “dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya..” (Al-Nur: 31)

Ayat di atas memberi pengertian bahawa wanita tidak boleh menampakkan bahagian-bahagian aurat tubuh badan mereka kecuali muka dan telapak tangan.
Dira’ ialah baju wanita yang dipakai daripada pangkal leher sampai ke badan ( seperti gaun, blaus, kemeja atau baju kurung). Manakala Khimar pula ialah penutup kepala dan tidak disyaratkan menutup muka.
Sabda Rasulullah SAW:
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Allah SWT tidak menerima solat wanita yang telah baligh, kecuali dengan memakai khimar”.

Hal ini menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan agar setiap wanita menutup bahagian kepalanya jika ingin bersolat. Sepertimana perintah Allah SWT kepada para wanita supaya menutupnya sehingga sampai ke dada:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya:  “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.    ( Surah Al-Nur: 31)

Wanita harus menyediakan pakaian yang bersesuaian untuk mendirikan solat. Pakaian tersebut hendaklah menepati syarat-syaratnya seperti labuh, panjang dan tebal serta tidak menampakkan warna kulit. Sekiranya pakaian tersebut nipis, maka tidak sah dipakai ketika solat.
 
Syeikh Abu Malik Kamal Bin As-Sayid Salim. 2012. Ensiklopedia Fiqah Wanita Muslimah. Selangor: Berlian Publications Sdn Bhd. m.s 79.
Haya Binti Mubarok Al-Barik. 1999. Ensiklopedia Wanita Muslimah. Kuala  Lumpur: Pustaka Syuhada. m.s. 80-81.
Sunan Abu Dawud, No.641, Sunan Ibnu Majah, No.655. Status Hadis: Sahih.

Cetak Emel