Pendahuluan

Pemakaian inai bagi segelintir masyarakat di Malaysia sudah menjadi adat kebiasaan terutamanya bagi kaum wanita. Tambahan pula, kini terdapat pelbagai jenis produk yang ditawarkan dipasaran untuk mengilat kuku dan pewarna rambut. Hal ini sekaligus menarik minat wanita untuk mencubanya. Persoalannya di sini ialah walaupun sebahagian jenama ini mempunyai logo halal, adakah ia benar-benar halal untuk digunakan dalam urusan bersuci seperti berwuduk dan mandi hadas besar yang memerlukan air untuk sampai ke semua bahagian kuku dan rambut.

Jika dilihat pada bahan yang digunakan dan fungsi asalnya adalah untuk mewarna kuku atau rambut maka ia tentu akan menghasilkan sesuatu yang bersifat kalis air tetapi bukanlah meresap ke dalam kulit kepala sepertimana meresapnya inai pada jari dan kuku yang mana ianya tidak menghalang air sampai kepada bahagian yang wajib dibasuh sekalipun ianya halal dan suci digunakan. Hal ini menjadi suatu perkara yang membimbangkan terutamanya bagi orang Islam yang menggunakan produk ini ketika ingin melaksanakan ibadah. Ibadahnya menjadi tidak sah oleh kerana hadasnya tidak terangkat. Oleh yang demikian, Islam telah meletakkan satu garis panduan bagi orang Islam tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan dalam pemakaian inai dan mewarnakan rambut.

Definisi Inai
Inai atau nama saintifiknya Lawsonia Inermis berasal dari perkataan Arab iaitu ‘Henna’’ yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari). Di dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan:

الأَصْلُ فِي الأًشيَاءِ الإبَاحَةُ حَتى يَدُل الدَلِيل عَلَى التَّحْرِيم

Bermaksud: “Asal bagi sesuatu itu adalah harus selagi mana tiada dalil yang mengharamkan”. Oleh yang demikian, hukum asal pemakaian inai ini adalah harus. Akan tetapi, isu ukiran inai ditangan sering kali dibahaskan sama ada ia diharuskan atau diharamkan oleh Islam. Berikut adalah garis panduan berhias menurut Islam termasuklah ukiran inai di tangan:

Panduan berhias menurut Islam dari segi mewarnakan rambut dan berinai bagi lelaki dan perempuan adalah seperti berikut:

Mewarnakan rambut
Mewarnakan rambut dengan inai tidak salah dan dibenarkan dalam Islam sebagaimana fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi: “Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut dan janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarnakan rambut dan mengubahnya, dengan beranggapan berhias dan memperelokkan diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dalam agama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan”. Namun Rasulullah S.A.W melarang mengikut jejak langkah sesuatu kaum, agar keperibadian umat Islam berbeza dari segi zahir dan batin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

قَالَ إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لَا يَصْبُغُونَ فَخَالِفُوهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mencelup rambut (uban), kerana itu tunjukkanlah perbezaan anda dengan mereka”. (HR Bukhari dan Muslim)
Perintah yang terkandung di dalam hadis di atas membawa maksud sunat, sebagaimana yang biasa dikerjakan oleh para sahabat. Misalnya, Abu Bakar dan Umar, sedang yang lain tidak melakukannya.

Warna rambut yang dibenarkan bagi orang tua
Sabda Rasulullah SAW kepada Abu Quhafah yang beruban rambutnya:

قال رسول الله اذهَبُوا بِهِ إلى بَعْضِ نِسَائِهِ فَلْتَغَيِّرُه بشيء وَجَنِّبُوهُ السَّوادَ
Maksudnya: “Ubahlah oleh kamu ini dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam” . (HR Muslim, Nasa’ie dan Abu Daud)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mencelup uban dengan menggunakan warna hitam adalah haram kecuali ketika berjihad. Pengharamannya sabit dengan hadis riwayat Jabir r.a di atas. Pengharaman ini tidak ada beza di antara lelaki mahupun perempuan di dalam mazhab Syafie. Bagi Ishak Bin Rahawaih, beliau memberi kelonggaran kepada kaum wanita mencelup uban dengan warna hitam, jika bertujuan berhias untuk suami. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

أُتِيَ بأبي قُحافةَ ، أَوْ جَاءَ ، عامَ الفتحِ أو يومَ الفتحِ ، ورأسُه ولِحيتُه مثلُ الثَّغَامِ أو الثَّغَامةِ . فَأَمَرَ،
أَوْ فَأُمِرَ بِهِ ( إِلَى نِسَائِهِ) ، قال ( غيِّروا هذَا بِشَيءٍ)
Maksudnya: “Dari Jabir, beliau berkata: Abu Quhafah didatangkan atau dia datang pada tahun kemenangan atau hari kemenangan. Rambut kepala dan janggutnya bagaikan tsagham (tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Lalu Rasulullah SAW menyuruh pada isterinya: “Ubahlah ini (rambut dan janggut) dengan sesuatu”.


Warna rambut yang dibenarkan bagi orang muda
Orang yang lebih muda dari Abu Quhafah, tidak berdosa mewarnakan rambut dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri berkata “Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah telah berkedut dan gigi telah goyang, kami tinggalkan warna hitam”

Bahan untuk pewarna rambut

إٍنَّ أَحْسَنَ مَاغَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الحِنَّاءُ وَالكَتَمُ 

Maksudnya: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut yang beruban ialah pokok inai dan katam”. (HR Tarmizi).
Katam ialah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan yang terdapat di negeri Yaman.

Pewarna komersial
Apa-apa produk boleh digunakan selagi mana ia bebas dari najis dan tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau ketika mandi hadas.
Menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu kandungannya.

Biasanya pewarna rambut yang dipasarkan akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, jenis yang semi permanent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya. Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproses di Malaysia sahaja.

Inai ukir
Inai ukir dibenarkan dengan syarat corak-coraknya adalah dari unsur daun dan tumbuh-tumbuhan. Tidak dibenarkan menggunakan corak haiwan, watak dewa dewi dan apa-apa jua lambang yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pewarna kuku
Pewarna kuku (cutex) diharamkan kerana ia menghalang air wuduk daripada terkena di bahagian kuku. Sebaliknya, penggunaan daun inai diharuskan sekiranya atas tujuan berhias untuk suami. Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah menepati tiga syarat iaitu:
1. Boleh menyerap air supaya wuduk dan mandi wajib sah.
2. Tidak mengandungi bahan yang memudharatkan kulit.
3. Bahan tersebut tidak bercampur dengan najis.

Hukum memakai inai bagi lelaki dan wanita:
Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata, Imam as-Syafi'e rahimahullah melarang perbuatan lelaki berinai kecuali bagi tujuan perubatan sahaja. Contohnya seperti berinai untuk merawat penyakit kuku buruk dan uban. Hal ini demikian kerana, perbuatan berinai ini merupakan amalan dan perhiasan yang sinonim bagi kaum wanita sahaja. Islam turut melarang seseorang lelaki menyerupai wanita sama ada melalui pakaian mahupun perhiasan. Antara dalilnya:

أن أبي هريرة رضي الله عته قال: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ
وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: Ibnu Abbas r.anhuma dia berkata: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang meyerupai lelaki." (HR Abu Daud)
Selain itu juga, Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai ditangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Namun begitu, lelaki diizinkan bahkan dianjurkan untuk mewarnakan rambut atau janggutnya yang beruban dengan inai berdasarkan kepada hadis-hadis sahih. Antaranya ialah:

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى أُمِّ سَلَمَةَ فَأَخْرَجَتْ إِلَيْنَا شَعَرًا مِنْ شَعَرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَخْضُوبًا
Maksudnya: Dari Uthman bin Abdullah bin Mauhab dia berkata; “Aku pernah menemui Ummu Salamah lalu dia mengeluarkan kepada kami beberapa helai rambut Rasulullah SAW yang telah diwarnai dengan inai." (HR al-Bukhari)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ
Maksudnya: Dari Abu Dzar, dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sesuatu yang paling baik yang kalian gunakan untuk mengubah uban adalah inai dan katam." (HR Nasai’e)

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa haram bagi kaum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Oleh yang demikian, pemakaian inai ini adalah dilarang sama sekali bagi kaum lelaki kecuali bagi tujuan tertentu.


Seterusnya hukum memakai inai bagi wanita pula adalah diharuskan di dalam Islam.
Bagi para wanita pula, para ulama bersepakat tiada masalah baginya untuk mewarnakan jarinya dengan inai. Di antara dalilnya:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ امْرَأَةً مَدَّتْ يَدَهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ فَقَبَضَ يَدَهُ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَدَدْتُ يَدِي إِلَيْكَ بِكِتَابٍ فَلَمْ تَأْخُذْهُ فَقَالَ إِنِّي لَمْ أَدْرِ أَيَدُ امْرَأَةٍ هِيَ أَوْ رَجُلٍ قَالَتْ بَلْ يَدُ امْرَأَةٍ قَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ بِالْحِنَّاءِ
Maksudnya: Dari 'Aisyah berkata, "Seorang wanita menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab, wanita itu memegang tangan beliau seraya berkata, "Wahai Rasulullah, aku hulurkan tanganku dengan sebuah kitab namun engkau tidak mengambilnya? Beliau bersabda: "Aku tidak tahu, apakah itu tangan seorang wanita atau tangan laki-laki." Wanita itu berkata, "Itu tangan seorang wanita." Beliau bersabda: "Sekiranya aku seorang wanita, sungguh kuku tanganku akan aku beri warna dengan pacar (inai)." (HR an-Nasa'ie).

Hukum Mewarnakan Rambut
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa, hukum asal mewarnakan rambut sama ada dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana perkara-perkara berikut dijaga:
  1. Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna, fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم مَنْ تَشَبَّه
Maksudnya: “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”.(HR Abu Daud)
  1. Wanita yang bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya.
  2. Wanita yang sedang dalam tempoh iddah kematian suami (ihdad) tidak diharuskan mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan menyerlahkan kecantikan, dan perbuatan tersebut dilarang terhadap wanita yang dalam iddah kematian suami.
  3. Mewarnakan rambut bagi orang lelaki hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya: غَيِّرُوا هَذَا وَجَنِّبُوهُ السَّواد (HR Muslim) Maksudnya: “Ubahlah ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”.
  4. Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah dari bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau bercampur dengan bahan najis.
  5. Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan melapisi rambut serta boleh menghalang air daripada mengenai kulit rambut ketika mandi wajib. Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru, perkara ke-6 di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib.
  6. Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu sentiasa berada di rumah kamu dan janganlah kamu berhias diri seperti mana yang dilakukan oleh orang jahiliyyah zaman dahulu.”

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja,manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula,corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
Rumusan
Jabatan Mufti Negeri Perak menggunapakai pandangan yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 dengan saranan bahawa adalah wajar mana-mana pihak meninggalkan sesuatu perbuatan yang meragukan kepada sesuatu perbuatan yang tidak meragukan.

عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنُ بْنُ عَلِي بْنِ أبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ : حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؛ دَعْ مَا يَرِيْبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ.
Maksudnya: “Dari Abu Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam dan kesayangannya, dia berkata: Saya menghafal dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam (sabdanya):Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu”.

Soal Jawab Mengenai Isu Pemakaian Inai
Meletakkan Pewarna Pada Jari Jemari

Soalan:
Saya menaruh pewarna pada jari jemari, kemudian berwuduk dan menunaikan solat tanpa menghilangkannya terlebih dahulu. Adakah solat saya itu sah?

Jawapan:
Solat itu batal, kerana tidak harus menggunakan pewarna kuku bagi wanita ketika menunaikan solat, kerana pewarna itu menghalang air sampai ke kulit jari jemari semasa bersuci. Setiap sesuatu yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak harus menggunakannya bagi orang yang mengambil wuduk atau mandi, kerana Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” (Al-Maidah:6)

Hukum Menggunakan Inai Untuk Pengubatan

Soalan:
Lajnah Daimah Lil Ifta’ ditanya: Apa hukum memakai inai di rambut dengan tujuan mengubati keguguran rambut, bukan untuk mengubah warna rambut?

Jawapan:
Perkara itu dibolehkan secara mutlak.


Pewarna Kuku Dan Wuduk

Soalan
:
Adakah wuduk dan mandi wajib dikira sah sekiranya terdapat pewarna kuku di kuku?

Jawapan:
Para ahli fiqah semua mazhab telah bersepakat mengatakan bahawa air wajib mengenai tubuh badan manusia tanpa ada apa-apa halangan semasa berwuduk dan mandi kecuali kerana darurat seperti luka yang tidak boleh terkena air. Sehubungan itu, mereka mengatakan perlu menyelati jari dan menggerakkan cincin sampai ke kulit. Dalil mereka ialah nas yang terdapat dalam beberapa buah hadith dan yang terkuat ialah hadith Laqid bin Sharah yang mengatakan: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: ‘Khabarkanlah kepadaku tentang (cara) berwuduk.’ Baginda menjawab: ‘Sempurnakan wuduk (kamu) dan selati jari jemari serta sampaikan air ke dalam hidung kecuali ketika kamu berpuasa.’ Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashabus Sunan serta ditashihkan oleh at-Tirmizi.

Apa yang dapat disimpulkan dalam hal ini ialah, wajib menyampaikan air ke semua bahagian badan yang wajib dibasuh. Sesungguhnya terdapat penjelasan perkara ini di dalam kitab fiqah menurut mazhab yang empat: “Menjadi suatu yang disepakati oleh ulama’-ulama’ mazhab yang empat dalam pensyaratan kesahihan wuduk bahawa, tidak boleh adanya penghalang yang menegah air daripada sampai ke kulit seperti lilin, minyak, tepung dan lain-lain lagi seperti tahi mata dan kotoran yang beku terdapat di anggota badan.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa pewarna kuku mempunyai bahan-bahan yang berminyak, maka ia mesti dihilangkan supaya air sampai ke bahagian anggota badan. Dalam hal ini, tidak ada keadaan yang boleh dikiaskan antara pewarna kuku dengan cincin di sisi Malikiyah. Di dalam kitab fiqah bagi mazhab-mazhab yang empat telah menyebutkan bahawa tidak perlu menggerakkan cincin yang ketat atau sempit yang menghalang air untuk sampai ke bahagian kulit, sekiranya cincin itu merupakan cincin yang halal. Adapun cincin sempit yang haram maka wajib digerak-gerakkan daripada kedudukannya. Sehubungan ini, ulama’- ulama’ masa kini berpendapat bahawa: “Dikiaskan pewarna kulit dengan keadaan cincin yang ketat adalah untuk mengatakan kedua-duanya dibolehkan. Tidak wajib menghilangkannya bagi menyampaikan air ke bahagian (kulit) bawahnya. Di samping itu tidak jelas apakah rahsia mereka yang membezakan antara cincin yang halal dengan cincin yang haram.” Terdapat dua kesimpulan penting iaitu:

Pertama:
Para ulama daripada Mazhab Maliki telah berkata: “Apabila ditanggalkan cincin sempit yang halal selepas selesai berwuduk atau mandi maka wajib membasuh bahagian kulit yang berada dibawahnya.”

Kedua:
Mengapakah dikiaskan pewarna kuku dengan cincin sedangkan antara keduanya sangat jauh berbeza dan tidak dikiaskan pula dengan minyak, lilin dan tepung sedangkan persamaan yang ada antara keduanya amat ketara? Ijma’ Fuqaha’ dalam hal ini berpendapat tidak sah wuduk dan mandi sekiranya ada penghalang kepada air tersebut. Ringkasnya Fuqaha’ Mazhab yang empat secara ijma’ telah mengatakan bahawa pewarna kuku itu menjadi penghalang daripada sahnya wuduk dan mandi. Ia mesti dihilangkan terlebih dahulu. Jika menggunakannya selepas wuduk atau mandi.

Hukum Cutex

Soalan:
Adakah boleh membuat cutex setelah berwuduk?

Jawapan:
Tidak ada halangan bagi orang yang ingin membuat cutex di kukunya setelah berwuduk. Tapi jika wuduknya batal, maka tidak boleh berwuduk menurut pandangan hukum syarak kecuali setelah dihilangkan cutex tersebut kerana ia menghalang sampainya air wuduk ke bahagian kuku.

PENUTUP


Kesimpulannya, inai adalah perhiasan bagi wanita sahaja. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi makruh. Bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqaha’ mazhab Syafie ia adalah diharuskan selagi tidak menimbulkan fitnah. Pemakaian inai bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan tertentu bagi tujuan berubat dan sebagainya.

Justeru, adat bagi lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan ia mesti dihentikan. Begitu juga dengan isu mewarnakan rambut, ia diharuskan akan tetapi bahan pewarna yang digunakan itu mestilah mendapat kelulusan daripada pihak Jakim terlebih dahulu. Bagi wanita yang sudah bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus melakukannya. Wallahu’alam.

BIBLIOGRAFI
  1. Al-Quran
  2. Al-Hadis
  3. Al-Imam Jalaluddin Abdurrahman Bin Abi Bakar As-suyuti. Ashbah wan Nazair fi Qawa’id Furu’ Fiqh As-Syafi’e. 2005. Beirut. Dar Al-Kotob Al-ilmiyah.
  4. Dr Basri Bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari. 2007. Himpunan Fatwa-fatwa Semasa Daripada Zaman Salafus Soleh Sehingga Ke Zaman Ulama Masa Kini. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication
  5. Ghayatul maram fi takhrij al-ahadith halal dan haram oleh Yusuf Al-Qardhawi. m.s 105. Status hadis: sahih
  6. Hasanuddin Dollah. Lc H.Ribut Hasanuddin Batubara. Lc & H.Muhammad Zuhirsyan.Lc. 2008.”Fatwa-fatwa Kontemporari Syeikh Ali Jum’ah”. Kuala Lumpur. Berlian Publication Sdn. Bhd
  7. Imam Al-Hafiz Ahmad Bin Ali Bin Hajar Al-‘Asqalani. 2012. “Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari”. Kaherah. Darul Al-Gaddil Jadid.
  8. Kamus Dewan Edisi Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. KH. Adib Bisri Musthofa. April 1993. “Tarjamah Shahih Muslim”. Semarang. CV. Asy Syifa Semarang
  9. Sayyid Muhammad Al-Gahrwi Syeikh Yaseer Mazih. 1998. “Kitabul Fiqh ‘ala Mazahib Arba’ah”. Beirut, Lubnan. Dar As-saqalain
  10. Syed Ahmad Semat. “Halal dan Haram Dalam Islam”. Singapura. Pustaka Islamiyah Pte Ltd.
  11. Syeikh Abu Malik Kamal Bin As-Sayid Salim. 2009. “Ensiklopedia Fiqah Wanita Muslimah”. Puchong: Berlian Publications Sdn Bhd.
  12. Syeikh Ahmad Semait. 1995. “Halal dan Haram Dalam Islam”. Pustaka Islamiyah Pte Ltd.
  13. Syaikh Muhammad Bin Ibrahim Alu-Asy-Syaikh & Syaikh Abdullah Bin Humaid. 200 ”Wanita Bertanya Ulama Menjawab”. Kuala Lumpur. Berlian Publication
  14. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. 1997. “Soal Jawab Wanita Islam”. Kuala Lumpur: Perniagaan Rita.
  15. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. 1997. “Soal Jawab Wanita Islam”. Kuala Lumpur: Perniagaan Rita.
Internet
  1. http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-wanita-mewarnakan-rambut
  2. http://www.oxforddictionaries.com/definition/learner/nail-polish
  3. http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/7554-panduan- mewarnakan-rambut-dan-memakai-inai-menurut-islam.html
https://youtu.be/1IKyztRa6JQ
Diakses pada 10 April 2015. http://herba.berita1.com/pokok-inai-lawsonia-inermis
  1. n.a. “Kamus Dewan Edisi Baru”. 1991. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m.s 450.
  2. Al-Imam Jalaluddin Abdurrahman Bin Abi Bakar As-suyuti. Ashbah wan Nazair fi Qawa’id Furu’ Fiqh As-Syafi’e. 2005. Beirut. Dar Al-Kotob Al-ilmiyah. Jil.1. m.s. 131.
  3. Sahih Ibnu Majah. M.s 2934. Status hadis: Sahih
  4. Syed Ahmad Semat. 1995. “Halal dan Haram Dalam Islam”. Singapura. Pustaka Islamiyah Pte Ltd. m.s 148
  5. Syeikh Abu Malik Kamal Bin As-Sayid Salim. 2009. “Ensiklopedia Fiqah Wanita Muslimah”. Puchong: Berlian Publications Sdn Bhd. m.s. 314.
  6. KH. Adib Bisri Musthofa. April 1993. “Tarjamah Shahih Muslim”. Semarang. CV. Asy Syifa’ Semarang. m.s 898
  7. Abu Quhafah merupakan bapa kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq
  8. Syeikh Ahmad Semait. 1995. “Halal dan Haram Dalam Islam”. Singapura. Pustaka Islamiyah Pte Ltd. m.s 149
  9. Imam Al-Hafiz Ahmad Bin Ali Bin Hajar Al-‘Asqalani. 2012. “Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari”. Kaherah. Darul Al-Gaddil Jadid. Jil.5. m.s ***
  10. Majma’ Zawaid. M.s 5/163. Status hadis: Sahih
  11. Syed Ahmad Semat. 1995. “Halal dan Haram Dalam Islam”. Singapura. Pustaka Islamiyah Pte Ltd. m.s 149
  12. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0402&pg=ba_02.htm&sec=Bicara_Agama&y=2010. Diakses pada 15 April 2015.
  13. Majmuk. m.s 4/469. Status hadis: sahih
  14. Sahih Bukhari. m.s 5897. Status hadis: sahih
  15. Sahih an-Nasai’e. m.s 5097. Status hadis: sahih
  16. Sahih Nasa’ie. m.s 5104. Status hadis: sahih
  17. m.s 4031. Status hadis: sahih

Cetak

FaLang translation system by Faboba