Pada 23 Mac 2016M (Rabu), yang bersamaan dengan 15 Jamadil Akhir 1437H, Gerhana Bulan Penumbra akan berlaku. Umumnya gerhana bulan berlaku apabila bumi menghalang cahaya matahari dari jatuh ke atas bulan. Ia berlaku pada fasa bulan penuh (al-Istiqbal). Dalam kajian ahli falak, gerhana merupakan salah satu fenomena penghijaban (occultation). Ketika gerhana bulan, kesan gelap yang wujud pada permukaan bulan adalah kesan dari bayang bumi yang jatuh ke atas bulan. Namun bayang bumi wujud dalam dua bentuk. Pertama ialah bayang umbra (Dzil) dan kedua penumbra (Syibhu Dzil). Umbra berasal kata latin yang bermaksud bayang. Ia merujuk kepada bahagian paling dalam dan paling gelap dari bahagian bayang. Dalam konteks gerhana bulan, bayang umbra akan menyebabkan pencerap akan melihat kesan gelap yang lebih ketara. Ketika Bulan memasuki bayang umbra, cahaya bulan akan merosot hingga bulan akan bertukar sama ada menjadi hitam, merah atau oren.

Penumbra pula berasal dari gabungan dua perkataan latin iaitu paene yang bermaksud hampir dan umbra yang bermaksud bayang. Ia merujuk kepada bayang luar bayang bumi, di mana bayang penumbra yang wujud adalah lebih cerah berbanding bayang umbra. Dalam erti kata lain ia adalah bahagian yang berlawanan dengan bahagian umbra. Ketika ini pula, umumnya cahaya bulan akan turut merosot, namun ia kurang jelas berbanding bayang umbra. Malah peratusan kurang dari 60%, mata kasar manusia hampir mustahil untuk melihat perubahan kecerahan bulan yang memasuki bayang penumbra.

Gambar menunjukkan Geometri Gerhana Bulan dan Kedudukan Bulan dalam Bayang Umbra dan Penumbra.
(Sumber : www.universetoday.com)

Ketika Gerhana Bulan Penumbra  berlaku pada 23 Mac ini, kedudukan bulatan piring bulan hanya memasuki bayang penumbra bumi tanpa menyentuh bayang umbra bumi. Gerhana bulan penumbra mempunyai dua fasa dengan merujuk kepada sentuhan bulan terhadap bayang bumi, iaitu : 

  1. Sentuhan Pertama iaitu sentuhan pertama piring bulan dengan bayang penumbra bumi di mana gerhana penumbra diistilahkan baru berlaku. Ia diberikan simbol P1.
  2. Sentuhan Keenam iaitu ketika seluruh piring bulatan bulan telah berada di luar bayang penumbra bumi di mana berakhirnya fasa gerhana. Ia diberikan simbol P4.

Jadual Menunjukkan Perbezaan Ketara Perubahan Cahaya Bulan Ketika Fasa Gerhana Penuh, Separa Dan Penumbra.

(Sumber : www.mreclipse.com)

Bil Gambar Jenis Gerhana Bulan
1. Gerhana Bulan Penuh
2. Gerhana Bulan Separa
3. Gerhana Bulan Penumbra
Bagaimanapun kesan bayang penumbra bumi yang jatuh ke atas bulan, tidak sejelas bayang umbra. Menurut kajian Espanek dan Meeus, bayang penumbra gerhana bulan boleh dikesan dengan mata kasar dan peralatan optik oleh seorang ahli falak apabila fasa bulan memasuki 60% bayang penumbra. Jika ia diukur dengan nilai magnitud gerhana, nilainya perlu melebihi -0.6. Ini bermakna sentuhan pertama (P1) dan sentuhan keempat (P4) penumbra adalah sangat mustahil untuk dicerap dengan mata atau peralatan optik. Bagi masyarakat awam kesan gelap bulan hanya dapat dikesan ketika 5% atau 0.05 magnitud gerhana. Ini bermakna gerhana bulan separa telah pun berlaku. 

Pada 23 Mac ini, bulan akan mula merentasikan  bayang penumbra bermula jam 5.39 pm (P1). Bulan akan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra pada jam 9.54 pm (P4). Magnitud maksimum gerhana penumbra kali ini hanya mencapai -0.7 pada jam 7.47 pm. Bulan tidak akan menyentuh bayang umbra. Ini berikutan matahari berada 9 darjah dari titik nod sementara bulan pula berada 14 darjah dari titik nod. Sudut satah bulan berbanding dengan ekliptik pula melebihi 1 darjah.  Ini menyebabkan bulan hanya akan memasuki bayang penumbra pada 70% saja sebelum keluar semula. Umumnya bagi  Malaysia, kita akan berpeluang menyaksikan gerhana pada magnitud -0.7, kerana bulan telah terbit ketika itu. Bagi umat Islam, solat gerhana sunat dilaksanakan ketika berlakunya gerhana. Para ulama telah sepakat meletakkan syarat bahawa solat gerhana hanya akan dilaksanakan ketika jelas kesan gelap di bulan. Berdasarkan pandangan Imam Syafie waktu solat gerhana bulan secara khususnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian :

Namun Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada 23 Mac ini, tidak mudah untuk dikenal pasti oleh mata kasar. Ini kerana bulan akan hanya memasuki bayang penumbra yang agak kabur, tanpa menyentuh bayang umbra yang lebih gelap. Apatah lagi tanpa bantuan dan rujukan kepada hisab yang disediakan terlebih dahulu.Walaupun dari sudut ilmu falak ia dinamakan gerhana, namun kerana syarat gelap yang nyata itu tidak dipenuhi, maka solat gerhana tidak diharuskan. Permukaan bulan hanya akan mengalami sedikit perubahan warna dari putih bersinar ke warna putih suram, malah pencerap mungkin keliru dengan warna bulan yang kelihatan malap, hingga disangka perubahan cahaya bulan hanyalah kerana wujudnya awan. Maka berdasarkan keadaan di atas, solat sunat gerhana bulan penumbra pada 23 Mac ini, tidak diharuskan kerana syarat kenampakan tidak dipenuhi. Namun jabatan ini akan tetap menjalankan cerapan dan kajian bagi tujuan pengumpulan data. Dapatan kajian ini, akan dianalisis bagi mendapatkan nilai peratus dan magnitud gerhana yang akan dapat dilihat oleh mata manusia. Maka Jabatan Mufti Negeri Perak mengalukan-alukan bagi sesiapa saja yang berminat untuk menjadi responden dalam kajian. Semoga hasil sumbangan anda semua akan memperkayakan lagi khazanah ilmu falak di Malaysia.

Cetak

FaLang translation system by Faboba