WISMA PERAK BAITUL RIDZUAN,KAHERAH, 23 APRIL 2025 – Mesyuarat penyelarasan panel penemuduga telah diadakan bersempena lawatan kerja Jabatan Mufti Negeri Perak ke Republik Arab Mesir. Mesyuarat bertujuan bagi menyelaraskan pelaksanaan proses temuduga yang akan diadakan selama 2 hari ( 24 April 2025 dan 26 April 2025) kepada pelajar- pelajar Negeri Perak nanti. Kesemua enam panel temuduga hadir bagi memastikan keseragaman dalam pendekatan penilaian serta kefahaman bersama terhadap garis panduan dan kriteria yang telah ditetapkan. Mesyuarat ini membincangkan aspek penting seperti struktur temuduga, kaedah pelaksanaan, kaedah pemarkahan, serta aspek adab dan keilmuan yang perlu diberi perhatian dalam menilai kelayakan calon untuk menerima tauliah mengajar di Negeri Perak. Langkah penyelarasan ini dilihat penting bagi memastikan proses temuduga berjalan secara teratur, adil dan mengikut piawaian yang telah digariskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Pada sebelah malamnya, satu taklimat khas kepada para pelajar Negeri Perak telah diadakan di lokasi yang sama dan seramai lebih kurang 100 calon hadir pada sesi taklimat tersebut. Taklimat telah disampaikan oleh SS Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato Haji Zamri bin Hashim dan Prof. Dr. Yahya Mat Som. Taklimat tersebut menyentuh kepentingan tauliah, tanggungjawab guru agama, dan panduan persediaan menghadapi sesi temuduga, di samping memberi motivasi kepada para pelajar agar bersedia menyumbang kepada pembangunan dakwah dan pendidikan Islam di tanah air. |
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.