1) Sesetengah orang menggunakan surah al-Maidah: 44 sebagai hujah untuk mengkafirkan golongan yang lain. Mereka berhujah, “Negara kita Malaysia tidak menggunakan hukum yang diturunkan oleh Allah, jadi pemerintah Negara dan pengikutnya menjadi kafir.” Apakah betul pernyataan ini?
Hukum Hudud merupakan salah satu dari hukum Allah yang bersumberkan dalil Qat‘iyy dari al-Quran dan Hadis. Manakala hujah yang dikemukakan pula tidak selaras dengan realiti semasa. Hakikatnya, Malaysia telah lama mengamalkan hukum Allah iaitu sejak sebelum kemerdekaan lagi. Mahkamah Syariah yang dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Qadhi telah lama ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam berkenaan Hukum Syarak. Perlu difahami bahawa hukum Allah itu mempunyai takrifan yang luas yang meliputi hal ehwal ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Namun, perlaksanaan hukum Hudud adalah tertakluk kepada pihak pemerintah. Justeru, pemerintah berhak untuk melaksanakan hukum hudud dengan melihat keadaan dan suasana yang mengizinkan serta aman dari anasir fitnah.
2) Apakah pandangan Islam jika sesebuah Negara itu tidak menggunakan hukum Hudud sebagai undang-undang Negara seperti mana Malaysia?
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi maka perlaksanaan hukum tersebut adalah di bawah tanggungjawab pemerintah dan bukan rakyat. Namun, perlu difahami bahawa urusan siyasah (politik) ini adalah tergolong dalam perkara ijtihadi. Justeru, ia bukanlah isu sama ada negara Islam mesti melaksanakan hudud atau tidak tetapi keadilan yang mampu dicapai hasil dari pelaksanaan undang-undang berkenaan. Keadilan ini pula mestilah dirasai oleh semua entiti masyarakat tanpa mengambil kira kaum dan agama. Sekiranya keadilan tersebut tidak dapat dicapai maka dibimbangi timbulnya fitnah yang berpanjangan di kalangan masyarakat terhadap hukum tersebut. Hal ini terbukti melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab ketika mana beliau menjadi khalifah Islam. Beliau telah menangguhkan pelaksanaan hukuman had (hudud) terhadap pencuri kerana berlakunya kemarau panjang pada masa itu. Ironinya, jika dilaksanakan juga hukuman tersebut maka dibimbangi ketidakadilan terhadap pesalah akan timbul seperti keadaan yang terdesak dan sebagainya.
3) Apakah Islam mempunyai Sistem Perundangan Jenayah tersendiri sebagai penyelesaian kepada masalah kemasyarakatan?
Sebagai agama Islam yang syumul dan diredhai Allah, pastinya Islam tidak meninggalkan satupun ruang kehidupan melainkan dikurniakan panduan Ilahi bagi manfaat manusia seluruhnya. Islam menetapkan Sistem Jenayah Islam yang merangkumi jenayah Hudud, Qisas dan Takzir.
4) Adakah semua umat Islam wajib berusaha untuk melaksanakan Sistem Perundangan Islam?
Setiap umat Islam wajib berusaha melaksanakannya sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat. Sejarah telah merekodkan usaha-usaha yang dilakukan pelbagai pihak untuk merealisasikannya.
5) Apakah langkah yang perlu diambil bagi membanteras persepsi segelintir manusia yang merasakan bahawa hukuman Hudud adalah bersifat kejam?
Langkah yang perlu diambil bagi membanteras perkara ini tidak lain dan tidak bukan ialah dengan pendidikan dan kesedaran. Dengan cara ini ia dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap prinsip, matlamat dan niat di sebalik hukuman dalam kerangka hukum Islam. Ini boleh dilakukan melalui kempen jangkauan, seminar, kuliah, atau program pendidikan yang menggali lebih mendalam prinsip-prinsip syariat Islam dan perspektif yang luas.
Cetak