Sejarah Awal

Negeri Perak merupakan sebuah negeri yang diberi gelaran oleh Kerajaan Penjajah British sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau dalam bahasa Inggerisnya “Federated Malay State”. Ianya telah ditubuhkan dalam tahun 1896. Semenjak tahun 1948, Perlembagaan Negeri Perak telah mengiktiraf dengan rasmi bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak adalah merupakan Ketua Agama dan Adat Melayu dalam negeri Perak dan  agama rasmi bagi negeri tersebut pada masa tersebut adalah agama Islam. Baginda Sultan juga berkuasa penuh dalam segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran.

Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan
 
Terdapat di dalam beberapa catatan sejarah yang mengatakan bahawa, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan atau dalam bahasa Inggerisnya “Ninety Nine Laws Of Perak” yang dikarang oleh Penghulu Teja Tuan Syed Yunus b. Syed Alwi adalah merupakan undang-undang yang tertua sekali dalam negeri Perak. Ianya adalah berkisar tentang Hal Ehwal Agama. Tarikh yang tepat mengenai penguatkuasaan undang-undang ini tidak dapat diketahui, cuma penguatkuasaan undang-undang ini telah dilaksanakan sehingga ke tahun 1900.

Selepas itu, undang-undang ini telah digantikan dengan suatu undang-undang lain yang dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Perkahwinan Orang-orang Islam Bab 197 FMS. Oleh yang demikian, didirikan sebuah bangunan sebagai pejabatnya yang bertempat di kawasan Pejabat Qadhi Wilayah Kuala Kangsar yang dinamakan sebagai “Balai Syarak”. Di pejabat tersebut ditempatkan seorang Qadhi Besar yang mengetuai beberapa orang Qadhi Wilayah. Wilayah Qadhi pada masa tersebut ialah Tanjong Malim, Tapah, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh, Setiawan, Taiping, Simpang Lima, Kuala Kangsar, Selama, Lenggong dan Parit. Di kalangan orang-orang Melayu pada masa tersebut, perkataan Qadhi Besar kurang diketahui umum kerana panggilan “Chief Qadhi” lebih terkenal.

Walaubagaimanapun, menurut sejarah terdahulu, sesungguhnya Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan ini telah wujud semenjak pemerintahan Al-Marhum Sultan Idris Mursidil A’azam Shah dari tahun 1887 sehingga tahun 1916. baginda jugalah yang dipercayai telah melantik Tuan Haji Wan Muhammad b. Wan Hussin sebagai guru agama baginda, malah ada yang menggelarkan beliau sebagai Mufti. Boleh dikatakan bahawa Tuan Haji Wan Muhammad b. Wam Hussin ini merupakan Mufti Perak yang pertama secara tidak rasmi atau tidak dirasmikan. Beliau menjalankan tugasnya sehingga ke zaman pemerintahan anakanda baginda iaitu Al-Marhum Sultan Alang Iskandar pada tahun 1918 sehingga 1938.

Perjumpaan `Alim Ulama’ Perak

Pada pertengahan tahun 1947, ketika kehangatan tanahair kita dengan Perjuangan Nasionalis Melayu menentang Malayan Union masih hangat diperkatakan, muncullah beberapa pertubuhan, persatuan dan sebagainya. Di antaranya yang paling terkenal di Negeri Perak ini ialah Persatuan Melayu Perak yang kemudiannya diikuti dengan satu perjumpaan `Alim Ulama’ secara besar-besaran yang bertempat di Madrasah Iskandariah Kuala Kangsar. Perjumpaan ini telah dilangsungkan pada 10 Ogos 1947 yang mana ianya bertujuan untuk menyatukan seluruh tenaga dan kekuatan `Alim Ulama’ dalam negeri tersebut.

Dalam Hal Ehwal Agama, perjumpaan ini sangat penting kerana inilah buat pertama kalinya satu idea atau pandangan yang bernas telah diutarakan terhadap pihak kerajaan. Antara pandangan tersebut ialah menggesa pihak kerajaan agar dapat menubuhkan sebuah jabatan bagi mentadbir dan mengawal Hal Ehwal Agama Islam khasnya di dalam negeri Perak dan amnya di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Di antara tokoh yang patut diberi penghormatan dan dikenang di dalam perjumpaan tersebut ialah Encik Ali Zaini yang mana sekarang ini dikenali sebagai Dato’ Ali Zaini yang telah menjawat jawatan sebagai Speaker Negeri Perak. Pada perjumpaan tersebut beliau merupakan peserta yang paling muda dan paling berkebolehan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat yang bernas.

Penubuhan Majlis Agama Islam Perak
 
Pada 23 Oktober 1949 bersamaan 1 Muharram 1369 Hijrah iaitu pada hari Ahad, kerajaan Perak telah mewujudkan sebuah pejabat agama yang dinamakan sekarang sebagai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Penubuhan ini adalah bertujuan untuk menasihati dan membantu Sultan dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan Adat Melayu Perak di negeri Perak. Pada 1 Mei 1952, Kerajaan Perak telah meluluskan Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Seterusnya pada 1 Mei 1965, Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Perak pula telah diluluskan sebagai pengganti kepada undang-undang sebelumnya.Dengan penubuhan Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak ini, pejabat Qadhi Besar yang sebelum ini berada di Kuala Kangsar telah dipindahkan dan disatukan di Ipoh. Di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam pula, beberapa bahagian tertentu telah diwujudkan bagi melancarkan sebarang urusan yang dijalankan. Bahagian-bahagian tersebut adalah:
  1. Bahagian Fatwa – dipengerusikan oleh Mufti.
  2. Mahkamah Syariah – diketuai oleh Qadhi Besar dan Qadhi Besar Daerah.
  3. Bahagian Pelajaran – dikelolakan oleh Nazir.
  4. Bahagian Am – di bawah pentadbiran seorang Kerani Besar yang menjalankan urusan untuk semua bahagian.
Pada tahun 1951, telah diperkenalkan tiga undang-undang iaitu :
  1. Undang-undang Perak No.6 / 1951 berkaitan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu.
  2. Undang-undang Perak No.1 / 1951 berkaitan Baitul Mal, Zakat dan Fitrah.
  3. Undang-undang Perak No.8 / 1951 berkaitan Kawalan Wakaf.
Pada tahun 1951, Undang-undang Pentadbiran Agama Islam telah diluluskan dan dilaksanakan bagi menggantikan enakmen sebelum ini. Kedudukan Agama Islam di Tanah Melayu semakin kukuh apabila negara ini mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957. Pada zaman kemerdekaan inilah, Majlis Agama Islam atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah diasaskan di setiap negeri di semenanjung.

Selepas tahun 1965, semua undang-undang yang telah digubal pada tahun 1951 tidak lagi digunakan. Ini adalah berikutan daripada tindakan Majlis Agama Islam yang telah mengadakan satu undang-undang baru yang merangkumi seluruh bidang Pentadbiran Agama yang dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Agama Islam 1965.
Tujuan utama penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ini adalah untuk menasihati dan membantu Sultan mengenai hal pentadbiran sekolah agama, harta wakaf, guru agama, baitul mal, zakat fitrah, masjid, madrasah dan menyusun semula mahkamah Qadhi juga perkara-perkara yang berkaitan dengan Mufti Perak.

Pada asasnya Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah disusun semula bagi mematuhi perakuan Unit Pemodenan dan Tadbiran Sumber Manusia (MAMPU) yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pada tahun 1989. Namun, pejabat-pejabat Agama Daerah tidak termasuk di dalam penyusunan semula ini. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) melalui arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meminta Jabatan Agama Islam Perak menyusun semula organisasi secara menyeluruh dan berperingkat-peringkat. Berdasarkan arahan ini jabatan telah mengkaji dan mendraf semula kewujudan jawatan-jawatan baru secara menyeluruh selaras dengan keperluan negeri ini dalam meningkatkan keupayaan jabatan di dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan teratur.

Sejarah Perlantikan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

Dalam tahun 1935, baginda Sultan Iskandar dengan rasminya telah melantik Tuan Haji Muhammad Zain bin Muhammad Amin sebagai Mufti Perak yang pertama. Sebelum itu, Tuan Haji Muhammad Zain ialah guru agama kepada baginda Sultan. Pejabat Mufti Perak ini adalah bertempat di bangunan yang sekarang ini menjadi Dewan Orang Ramai Jalan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar. Sebelum ini tempat tersebut merupakan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan. Tuan Haji Muhammad Zain ini juga merupakan bapa kepada Dato Seri Haji Ali Zaini iaitu bekas Speaker Negeri Perak.

Pada tahun 1941, Mufti Perak yang pertama meninggal dunia. Selepas itu jawatan Mufti ini telah disandang oleh Tuan Haji Ismail Hamzah yang kemudiannya meninggal dunia pada 5 Oktober 1954. Pada 1 November 1955 dilantik pula Tuan Haji Tahir dan beliau bersara pada 31 Disember 1957. Kemudian, diganti pula oleh Tuan Haji Sha’aya bin Abdul Majid yang meninggal dunia pada 12 Julai 1963. Selepas itu, jawatan Mufti disandang oleh Dato’ Haji Abu Hassan bin Abdul Majid DPMP, dan apabila beliau bersara dalam tahun 1977 jawatan Mufti telah digantikan oleh Dato’ Haji Muhammad Ghazali bin Haji Abdullah yang kemudiannya bersara pada tahun 1981.
Selepas daripada itu, telah dilantik OKK Imam Paduka Tuan, Dato’ Haji Abdul Malek bin Haji Nordin. Pada tahun 1985 Dato Haji Abdul Malek telah menamatkan kerjayanya dan akhirnya telah disandang pula oleh Dato’ Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria sehinggalah sekarang ini.

SEJARAH PERLANTIKAN MUFTI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN:

1. Tuan Haji Muahammad Zain bin Muhammad Amin - 1935 hingga 1941
2. Tuan Haji Ismail bin Haji Hamzah - 1941 hingga 1954
3. Tuan Haji Muhammad Tahir bin Muhammad Saman - 1955 hingga 1957
4. Tuan Haji Sha'aya bin Abdul Majid - 1957 hingga 1963
5. Dato' Haji Abu Hassan bin Abdul Majid DPMP - 1963 hingga 1977
6. Dato' Haji Muhammad Ghazali bin Haji Abdullah - 1977 hingga 1981
7. Dato' Seri Haji Abdul Malek bin Haji Nordin - 1981 hingga 1985
8. Tan Sri Dato' Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria - 1985 hingga 2021
9. Dato' Haji Wan Zahidi bin Wan Teh - 2022 hingga kini

Cetak

FaLang translation system by Faboba