1) Seorang gadis telah mengandung sebelum bernikah. Kemudian, berkahwin dengan lelaki yang mengandungkannya atau berkahwin dengan lelaki lain. Adakah bayi tersebut boleh di ‘bin’ / ‘binti’ kan kepada si suami?

Berdasarkan kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili m/s 855 jilid VII:

Jika anak itu dilahirkan kurang dari tempoh minimum masa mengandung iaitu enam bulan dua lahzah (detik), maka ulama’ bersepakat tidak sabit nasab daripada si suami dan ia merupaka bukti bahawa kehamilan itu berlaku sebelum aqad perkahwinan, kecuali sekiranya suami mendakwa anak itu adalah anaknya, kerana dakwaan itu diandaikan bahawa perempuan adalah hamil dengannya sebelum aqad perkahwinan sama ada aqad lain, aqad yang fasid ataupun berlaku persetubuhan syubhah.”

Bayi tersebut boleh dinasabkan (bin / binti) kepada suami sekiranya bayi tersebut lahir selepas 6 bulan 2 lahzah (detik) lebih dari tarikh perkahwinan mereka.

2) Saya ingin berkahwin dengan seorang duda. Ibu saya tidak melarang, tetapi abang-abang dan kakak-kakak saya tidak bersetuju sekiranya saya berkahwin dengannya akibat mendengar fitnah dan tuduhan palsu daripada bekas isteri duda tersebut sehinggakan mereka tidak mahu bertegur sapa dengan saya lagi.

Saudari boleh meneruskan perkahwinan tersebut dan jika keluarga (abang) tidak mahu menerimanya maka bolehlah membuat permohonan di mahkamah.

3) Saya telah menjatuhkan talak kepada isteri saya pada kemudian rujuk kembali. Selepas itu, saya menceraikannya sekali lagi. Kemudian, isteri saya telah mengadukan perceraian tersebut dan rujuk semula. Selepas itu, saya telah melafazkan cerai di hadapan Hakim mahkamah syariah dengan talak dua sedangkan saya telah tiga kali menceraikannya.

Sekiranya lafaz akhir yang diucapkan itu hanya sebagai penjelasan kepada mahkamah tentang bentuk lafaz yang diucapkan pada kali ke-2, maka talak tidak jatuh pada ketika itu. Tetapi sekiranya memang bertujuan untuk menjatuhkan talak maka gugurlah dan jadilah talak 3.

4) Saya telah bernikah dengan bersaksikan saksi yang dibawa oleh wakil daripada pihak Wali Hakim. Selepas beberapa ketika, saya mendapat tahu, salah seorang daripada saksi tersebut telah melakukan sumbang mahram. Apakah status perkahwinan saya?

Berdasarkan kitab Fiqh & Perundangan Islam oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili m/s 855 jilid VII:

Adil sekalipun secara lahiriyah: iaitu orang yang lurus dan jujur serta sentiasa berpegang kepada ajaran agama, sekalipun hanya dapat diperhatikan pada lahiriyah sahaja, asalkan ternyata ia tidak sama sekali menonjolkan perbuatan fasik dan menyeleweng daripada ajaran agamanya yang sebenar.”

Perkahwinan adalah sah. Saksi tersebut layak secara lahiriah. Perkhabaran tersebut tidak menjejaskan status perkahwinan kerana perbuatannya adalah antara dia dan Tuhan dan tiada siapa tahu akan tingkah laku saksi berkenaan sebelum akad berlangsung.

5) Bagaimanakah kiraan kadar harta sepencarian antara suami isteri?

Kadar pembahagiaan harta sepencarian adalah bergantung kepada pertimbangan Mahkamah Syariah.

Cetak Emel