himpun IPOH, 4 APRIL 2017 – Perjumpaan bulanan anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali keduanya pada tahun ini. Kehadiran S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak yang sebelum ini tidak dapat hadir pada perjumpaan yang lalu, memeriahkan lagi perjumpaan kali ini. Pada jam 9.00 pagi semua pegawai dan kakitangan termasuk pelajar-pelajar latihan industri berbaris menghadap Tan Sri Mufti dan menyanyikan lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna. Seterusnya, Tan Sri Mufti dijemput untuk menyampaikan tausiyyah dan nasihat kepada semua warga jabatan.

Antara amanat yang ditekankan beliau ialah perlunya kita sebagai umat Islam menangani dan menghadapi cabaran aqidah yang pelbagai. Terbaru isu berkaitan individu yang menimbulkan teori bahawa Tuhan wujud melalui getaran, dan isu beberapa orang ahli politik negara yang ingin meminda akta 164 – Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, yang jika berjaya dipinda akan menyebabkan; jika berlaku penceraian;- anak daripada perkahwinan mereka tidak boleh didaftarkan sebagai agama Islam sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, ia tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan tahun.

Selesai tausiyyah, pengacara menjemput Penolong Pegawai Tadbir, Puan Norizah Binti Mohamad Nordin bagi menyampaikan taklimat berkaitan aktiviti dan program jabatan sepanjang bulan April. Antara aktiviti dan program penting yang akan diadakan pada bulan ini ialah Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak pada 15 April, Bengkel Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja pada 21-23 April, dan Peperiksaan Tauliah pada 29-30 April. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan pada kira-kira jam 11.00 pagi.

himpun

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Cetak Emel