• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Perhimpunan Bulanan Bilangan 1/2020

IPOH- Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Bilangan 1 Tahun 2020 telah diadakan di ruang legar Jabatan Mufti Negeri Perak pada 22 Jun 2020 dengan kehadiran semua pegawai dan kakitangan jabatan. Perhimpunan pada kali ini sedikit berbeza dengan amalan norma baharu melibatkan penjarakan fizikal dan SOP yang berkaitan.

Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato’Haji Zamri bin Hashim dalam ucapannya menegaskan amalan norma baharu yang wajib dipatuhi oleh semua warga JMNPk bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Selain itu, beliau turut mengingatkan semua anggota agar sentiasa mematuhi peraturan pejabat melibatkan waktu bekerja, etika berpakaian serta menjaga keharmonian dan keutuhan organisasi.

Perhimpunan pada kali ini juga turut dimeriahkan dengan sambutan hari lahir warga JMNPk yang lahir pada bulan April, Mei dan Jun.

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 22 Jun - Satu majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak telah dilaksanakan di Ruang Pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak pada jam 10.00 pagi. Majlis tersebut di hadiri oleh YBhg. SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak dan Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak serta pegawai dan kakitangan jabatan.

Agenda majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan dari YBhg. SS Tan Sri Mufti. Perhimpunan tersebut diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pegawai dan kakitangan yang meraikan hari lahir pada bulan April hingga Jun.

Walaubagaimanapun ketua jabatan tetap memberi peringatan kepada pegawai dan kakitangan jabatan supaya mengamalkan penjarakkan sosial bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.

2 1

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cerapan Gerhana Bulan Penumbra

1 SEGARI, 6 Jun - Gerhana Bulan Penumbra telah berlaku pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M bermula jam 1.45 pagi dan tamat pada jam 5.04 pagi. Kemuncak gerhana pula telah berlaku pada jam 3.25 pagi. Tempoh gerhana ialah 3 jam 18 minit. Gerhana Bulan Penumbra merupakan gerhana yang berlaku apabila bulan hanya memasuki bayang penumbra bumi. Gerhana Bulan Penumbra kali ini hanya berlaku pada magnitud penumbra 0.5683 ( magnitud umbra : - 0.4053 ).

Berdasarkan fakta di atas, gerhana pada kali ini tidak dapat dilihat kerana kesan gelap pada permukaan bulan adalah sangat minimum. Dalam kajian terdahulu, magnitud penumbra kurang dari 0.6 tidak akan mampu dilihat atau dikesan dengan mata kasar atau peralatan optik. Ini menyebabkan solat sunat gerhana juga tidak perlu dilaksanakan. Namun magnitud penumbra ini masih perlu dikaji bagi mengesahkan kenampakan gerhana penumbra.

Oleh itu, pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M seramai 4 orang kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak dan 3 orang AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Negeri Perak telah mengadakan cerapan. Cerapan telah dilakukan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Perak.

Cerapan telah dilakukan beberapa peralatan antaranya :

1. Teleskop Orion berserta kamera DSLR Canon 550 D.
2. Teleskop Vixen berserta kamera Sony.
3. Kamera DSLR Canon 1100.
4. Teropong.
5. Mata Kasar.

Senarai peserta yang terlibat :

BIL.

NAMA

JABATAN / INSTITUSI

1

Mohamad Faizal Bin Jani

Jab. Mufti Negeri Perak

2

Fatimah Binti Ayoub

Jab. Mufti Negeri Perak

3

Nor Izwan Bin Hamdan

Jab. Mufti Negeri Perak

4

Mohd Tajudin Bin Che Din

Jab. Mufti Negeri Perak

5

Masrita Binti Mohd

AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

6

Hj. Hashim Bin Mat Salleh

AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

7

Abdul Halim Bin Din

Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

LAPORAN AKTIVITI

Sehari sebelum cerapan, hujan telah turun. Namun pada hari cerapan cuaca agak baik dengan angin yang bertiup agak kuat dan berawan. Ombak juga agak kuat menghempas di sisir pantai dengan bunyi yang cukup jelas. Cuaca di sebelah petang juga baik dengan cahaya matahari dapat dilihat hingga hampir maghrib. Namun terdapat awan tebal berhampiran dengan ufuk yang menghalang matahari kelihatan ketika ia terbenam.

Bermula jam 2.00 pagi, cerapan telah dimulakan. Pada awal cerapan, awan agak tebal. Namun angin agak kuat dan ini menyebabkan pergerakan awan yang agak laju. Pada jam 2.49 pagi bulan telah kembali kelihatan. Cahaya bulan kelihatan penuh pada fasa bulan purnama namun tidak kelihatan kesan gerhana ketika ini. Permukaan bulan kadangkadang kelihatan berwarna putih dan kadang-kadang berwarna kuning. Ini disebabkan terdapat awan nipis yang menghalang permukaan bulan. Sepanjang tempoh ini angin terus bertiup dari timur (darat) ke barat (laut). Pada malam ini juga terdapat nyamuk yang aktif dan ia sedikit berbeza dengan cerapan sebelum ini di mana tiada nyamuk.
Pada kemuncak gerhana iaitu pada jam 3.25 pagi, bulan telah kelihatan pada magnitud penumbra 0.5. Ketika kemuncak gerhana, angin bertiup agak perlahan. Namun setelah itu angin bertiup kembali. Terdapat perubahan kelajuan angin yang dapat dilihat dan dirasai dengan ketara antara angin yang bertiup di bawah yang bertiup di atas. Ada saat angin dibawah bertiup kuat namun kelihatan awan menutupi bulan tidak langsung bergerak.

Sehingga 4.25 pagi awan bersilih ganti menutupi bulan dengan awan tebal dan nipis. Sekali -sekala planet Musytari dan Zuhal turut kelihatan. Namun selepas itu awan tebal terus menutupi langit sebelah barat dan menutupi bulan sehingga tamat gerhana. Hujan renyai juga telah turun selepas itu.

Berdasarkan laporan cuaca dari beberapa negeri yang lain, pada hari kejadian, kebanyakkan lokasi hujan dan mendung. Ini menyebabkan sebahagian lokasi tidak langsung dapat melakukan cerapan.

HASIL KAJI SELIDIK

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan pada pagi tersebut, kesemua 7 responden menyatakan bahawa tiada perubahan pada cahaya bulan yang menunjukkan bahawa bulan sedang gerhana.

Dapatan ini selari dengan teori sebelum ini. Malah ia juga selari dengan cadangan oleh Prof. Madya Dr. Abd. Halim Bin Abd. Aziz sebelum ini yang mencadangkan nilai magnitud penumbra 0.8 sebagai nilai yang lebih berhati-hati bagi magnitud kenampakan gerhana penumbra bagi perlaksanaan solat sunat gerhana.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Ziarah Mahabbah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak

1 14 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Yang Berhormat Tuan Mohd Akmal bin Haji Kamarudin telah mengadakan lawatan atau Ziarah Mahabbah ke Jabatan Mufti Negeri Perak. Beliau telah disambut oleh semua pegawai tertinggi jabatan yang diketuai oleh SS Dato’ Haji Zamri Bin Hasmi Timbalan Mufti Negeri Perak.

Satu perbincangan telah diadakan Bilik Persidangan MAIPk. Sesi Perbincangan tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan SS Dato' Haji Zamri bin Hashim. Yang Berhormat Tuan Mohd Akmal bin Haji Kamaruddin telah memberi ucaptama berkenaan hasrat dan hala tuju semua agensi yang berada di bawah seliaan beliau khususnya Jabatan Mufti Negeri Perak. Yang Berhormat dan deligasi lawatan telah di beri penjelasan fungsi dan peranan utama Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pelbagai perkara telah dibincangkan dengan menyeluruh dan memfokuskan kepada perkhidmatan Agama khususnya peranan Jabatan Mufti Negeri Perak. Lawatan atau Ziarah Mahabbah pada petang ini telah diakhiri dengan sesi fotografi bersama semua deligasi yang hadir ke sesi taklimat dan perjumpaan pada hari ini.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak di atas kesudian mengadakan lawatan ke Jabatan Mufti Negeri Perak. Jazakallahu Khairan Kathira.

2 1 3
2 1 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Penentuan dan pengesahan arah kiblat di Istana Firuz

1 IPOH, 29 April - Satu program penentuan dan pengesahan arah kiblat telah dijalankan di Istana Firuz, No 1, Jalan Lumba Kuda, 30250 Ipoh, Perak Darul Ridzuan bermula jam 9.00 pagi.

Program ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dan antara yang terlibat adalah Ustaz Mohamad Faizal b. Jani, Ustaz Nor Izwan b. Hamdan dan Ustaz Mohd Tajuddin b. Che Din.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1441H / 2020M

1 PANTAI PASIR PANJANG, 23 April - Satu program cerapan telah dilaksanakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari pada jam 6.00 petang. Walaubagaimanapun hasil Rukyah mendapati bahawa Hilal tidak kelihatan kerana faktor cuaca (hujan) pada petang tersebut.

Merujuk kepada Resolusi Muzakarah Khas Jawatankuasa MKI memutuskan bahawa Majlis Rukyah Hilal perlu diteruskan ketika dalam tempoh PKP ini. Oleh itu, Jabatan Mufti Negeri Perak telah melaksanakan Majlis Rukyah Hilal Ramadan pada petang Khamis 23 April 2020.

Jabatan ini amat berterima kasih kepada YB Tuan Mohd Akmal bin Kamarudin, Exco Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak Darul Ridzuan turut hadir pada majlis tersebut. Jabatan ini mengucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Pelapor dan Urus Setia Bahagian Falak yg hadir selamat menjalankan tugas dan tetap mengamalkan langkah2 keselamatan bagi mencegah wabak COVID-19.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pelantikan Exco Perak

1 IPOH, 31 Mac - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan pelantikan 7 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang baharu. Mereka terdiri daripada YB Dato’ Saarani b Mohamad, YB Dato’ Shahrul Zaman b Yahya, YB Dato’ Dr Wan Norashikin bt Wan Noordin, YB Dato’ Abdul Yunus b Jamhari, YB Dato’ Nolee Ashilin bt Mohammed Radzi, YB Tuan Hj Razman b Zakaria dan YB Ustaz Mohd Akmal b Kamarudin.

Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak di Istana Kinta, hari ini. Media Mufti Perak telah berjaya mendapatkan temubual daripada wakil Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu Ustaz Hafiz b Sulaiman. “Saya bagi pihak seluruh warga kerja jabatan ini ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua Exco kerajaan Negeri Perak yang baharu,” ujar beliau yang merupakan Ketua Bahagian Maktabah iaitu bahagian yang bertanggungjawab menyelaraskan semua informasi dan maklumat jabatan ini.

Semoga dengan pelantikan ini akan terus memacu kejayaan dan kecemerlangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

2

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Kursus Pengenalan Dunia Falak Peringkat Negeri Perak Tahun 2020

1 Tanjung Malim, 13 Mac - Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dengan jayanya telah mengadakan Kursus Pengenalan Dunia Falak Peringkat Negeri Perak Tahun 2020 yang berakhir semalam. Ia diadakan di Pusat Kecemerlangan Ukur Geodetik INSTUN, Tanjung Malim bermula Isnin.

Objektif kursus ini ialah memupuk minat para pelajar kepada ilmu falak, sebagai pendedahan ilmu falak kepada pelajar terutama dalam konteks ibadah iaitu arah kiblat, waktu solat dan takwim, dan memberi peluang kepada mereka mengenali dan menggunakan peralatan falak moden seperti teleskop, teodolit dan kamera.

Peserta terdiri daripada 40 orang pelajar dari 14 buah sekolah menengah di negeri Perak termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah-sekolah persendirian.

Manakala pembentang kursus adalah dari para pegawai INSTUN dan Jabatan Mufti Negeri Perak. Modul-modul kursus yang dibentangkan ialah Pengenalan Ilmu Falak, Pengenalan Waktu Solat, Penentuan Arah Kiblat, Pengendalian Peralatan Cerapan serta Cerapan Langit Malam.

Semoga para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman ini dalam mempraktikkan teori ilmu falak di sekolah dan di luar.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

1 IPOH, 25 FEBRUARI 2020 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini. Ia telah berlangsung pada 24 dan 25 Februari, di Casuarina Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh. Muzakarah ini merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perak yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Muzakarah pada kali ini adalah kali kedua diadakan bertaraf antarabangsa setelah diangkat ke peringkat antarabangsa pada tahun 2018. Tema yang telah diangkat pada kali ini ialah, ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin, 24 Februari 2020.

Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari pertama dengan dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut berkenan hadir DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak, DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak serta DYAM Raja Puan Muda Perak. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh A.F. Ustaz Mohd Kamaruzzaman Bin Daud. Beliau memperdengarkan bacaan ayat berkaitan kepemimpinan sesuai dengan tema muzakarah, iaitu Surah Ali Imran ayat 33 hingga 37. Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, seterusnya Titah DiRaja oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh YBhg. Dr. ‘Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi, Setiausaha Kesatuan Ulama’ Sedunia, Qatar. Beliau membentangkan kertas kerja utama yang juga merupakan tema muzakarah iaitu ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’.

Pembentang-pembentang kertas kerja pada muzakarah kali ini ialah YBhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bin Bakar, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Bin Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA, S.S. Datuk Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz Bin Hj. Jaafar, Mufti Negeri Sabah serta YBhg. Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, peguambela dan peguamcara. Turut diadakan ialah Forum Eksekutif yang mengulas dan mengupas tema muzakarah. Ahli panel forum terdiri daripada YBhg. Prof Dato’ Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, YBhg. Prof. Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dan YBhg. Tan Sri Musa Bin Tan Sri Haji Hassan, Mantan Ketua Polis Negara. Selain itu, turut diadakan Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam pada Isnin malam bagi membincangkan deklarasi yang mendokong tema agar Kemuliaan Umat Islam di negara ini dijunjung kembali. Seramai 21 orang ulama’ dan cendiakawan Islam telah dijemput bagi memberi idea dan buah fikiran dalam pembentukan deklarasi tersebut.

Muzakarah berakhir dengan majlis perasmian penutup pada Selasa. Majlis telah dirasmikan oleh wakil kepada Menteri Besar Perak iaitu Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pada majlis tersebut, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Prof. Dr. Hj. Jamil Bin Hashim telah membentangkan deklarasi yang dibentuk hasil Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam.

2 3 1
2 3 1
2 3 1

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Penyampaian Watikah Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak Sesi 2020

1 IPOH - 30 JANUARI 2020 5 Jamadil Akhir 1431H: Program ini dijayakan di sekolah menengah Agama Izuddin Shah Ipoh dan seramai 134 orang penerima anugerah telah hadir bagi menerima watikah tersebut. Majlis penyampaian tauliah mengajar agama Negeri Perak ini akan diadakan sebagai mengiktiraf pada penerima tauliah dan sebagai simbolik kepercayaan kepada mereka yang menyampaikan ilmu yang sahih dan berlandaskan hukum syarak.

Ia juga menepati tuntutan agama dan mendokong perintah Allah SWT iaitu menyampaikan ilmu. Program ini turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria, Mufti Negeri Perak bersama-sama berapa orang jemputan khas. Majlis ini turut diserikan dengan Tausiah Khas yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Sohibus Samahah Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Bin Haji Ahmad Mantan Mufti Negeri Kedah Darul Aman. Acara kemuncak bagi majlis ini adalah penyampaian watikah tauliah mengajar agama yang disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria, Mufti Negeri Perak.

2 3 1

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.