1 PARIT BUNTAR, 1 OGOS - “Bulan dipagari awan”, begitu ungkapan para petugas Bahagian Falak ketika program Cerapan Bulan Penuh di Masjid Tebuk Haji Musa, Parit Buntar. Program kerjasama di antara Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dengan Pengurusan Masjid Tebuk Haji Musa ini telah berjaya menarik minat kira-kira 100 orang jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak.
Program dimulakan dengan kuliah Maghrib Khas yang telah disampaikan oleh AF Ustaz Mohd Hafiz bin Sulaiman, Ketua Bahagian Maktabah yang juga anak jati qariah masjid ini. Beliau mengupas tentang ayat-ayat kauniyyah yang menyatakan tentang kejadian objek samawi yang harus dijadikan sebagai fenomena rujukan dan kajian yang berteraskan ibadah kita sebagai umat Islam. Kejadian siang dan malam serta pergerakan dan peredaran objek di langit merupakan salah satu tanda keAgungan Allah serta kaitannya secara langsung dengan pelaksaan ibadah umat Islam.
Usai solat Isyak, para jemaah yang hadir telah diperkenalkan dengan beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti cerapan bulan penuh. Sesi cerapan ini diketuai oleh AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ketua Bahagian Falak. Sebanyak 5 buah teleskop pelbagai jenis telah dipasang untuk sesi cerapan tersebut di antaranya ialah teleskop MEADE ETX 80, MEADE LX200, SHARPSTAR 100mm dan ORION 80mm.
Walaupun pada awal sesi cerapan, awan menutupi bulan namun sekitar jam 10 malam, Allah memberi rezeki kepada para pengunjung untuk menatapi keindahan bulan melalui teleskop yang telah disediakan. Rata-rata pengunjung yang berpeluang mencerap bulan melalui teleskop menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman pertama serta pengalaman yang amat bermakna. Program sebegini dilihat sebagai salah satu kaedah pendekatan pendidikan falak kepada masyarakat secara langsung.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel