KUALA KANGSAR, 5 APRIL 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak, dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar telah menganjurkan satu program Bengkel Training of Trainers (TOT): Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang amalan tarekat yang benar serta memperjelaskan isu-isu berkaitan dengannya yang sering menjadi kontroversi di kalangan kelompok masyarakat. Ia diadakan selama dua hari pada 4-5 April 2016 iaitu pada hari Isnin dan Selasa, bertempat di Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar.

Bengkel ini dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta yang terdiri dari guru-guru tauliah, pegawai-pegawai mahkamah, dan pegawai-pegawai dari institusi agama negeri dan daerah. Antara pembentang-pembentang yang dijemput ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Kesemua sesi pembentangan diadakan pada hari Isnin.

Pada hari kedua, diadakan sesi perbincangan Isu-isu Tasauf bersama dengan A.F. Dr. Mohd. Faizal Bin Abdul Khair dan A.F. Dr. Mohd Fuad Bin Mokhtar dari Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar. Bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog bersama Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Husin, dan Ketua Hakim Syarie, Y.A.A. Tuan As’ari Bin Haji Mohd Yazid.

Bengkel ini berakhir pada jam 1.00 petang hari Selasa dan berjalan dengan lancar dan jayanya.
Para peserta fokus mendengar pembentangan yang disampaikan
Pembentangan oleh S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan bertajuk Analisis Tarekat-tarekat Terpilih Di Negeri Perak

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak Emel